Ucapan Perbahasan Dato Husam Musa: Enakmen Jenayah Syariah 2015 Di Sidang DUN Kelantan.
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ
5:50
- Apakah hukum Jahiliah yang menjadi pilihan mereka, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang benar-benar yakin? 5:50
Dalam Persidangan DUN pada Oktober 2013, saya telah bangkitkan pentingnya langkahan diambil untuk mempastikan Enakmen Jenayah Syariah II melihat sinar pelaksanaan dan tidak hanya menjadi momokan menjelang pilihanraya.
Sidang kali ini, kita akan meluluskan sekali lagi
penjelmaan semula Enakmen yang telah diluluskan pada tarikh bersejarah
1993, dengan beberapa pindaan, kerana sebab-sebab teknikal yang
tertentu.
Enakmen 2015 disekalikan dengan beberapa pindaan dari Enakmen asal 1993.
Pindaan
untuk penambahbaikan ini sekali gus membuktikan dari segi pengkanunan,
ia terbuka bagi pembaikan dari masa ke semasa. Dari segi kedaulatan dan
hakimiyyah Allah mengenai
hukum bagi kesalahan yang telah ditentukan, tidak ragu lagi semua orang
beriman wajib menjunjung dan berhukum dengannya.
Bagi
setiap Muslim yang benar-benar ingin mengikuti tuntutan agama Islam,
mereka mempunyai hak untuk dihukum dan berhukum mengikut hukum agama
mereka. Ia selari dengan amalan demokrasi negara kita dan demokratik
dari segi kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan.
Tuan Speaker,
Berdasarkan kenyataan-kenyataan akhbar pemimpin-pemimpin
Kerajaan Negeri dalam isu ini, harapan untuk melihat fasa pelaksanaan
Enakmen ini sudah semakin hampir; Jawatankuasa Teknikal Bersama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat telah ditubuhkan.
Kerajaan Negeri yakin ia akan mula dilaksanakan pada tahun 2015 ini. Persiapan untuk pelaksanaan termasuk senarai hakim telah pun disiapkan. Bahagian Empat Enakmen ini memperuntukkan penubuhan Mahkamah Bicara Syariah Khas dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas.
Kerajaan Negeri yakin ia akan mula dilaksanakan pada tahun 2015 ini. Persiapan untuk pelaksanaan termasuk senarai hakim telah pun disiapkan. Bahagian Empat Enakmen ini memperuntukkan penubuhan Mahkamah Bicara Syariah Khas dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas.
Saya yakin
Kerajaan Negeri telah pun mendapatkan waran perjawatan dari JPA, waran
dari Perbendaharaan dan budget perjawatan bagi kesemua Hakim-Hakim yang
akan dilantik dan semua jawatan pegawai pelaksana yang lain di semua
peringkat.
Saya juga yakin bahawa Kerajaan Negeri telah pun mempersiapkan semua Enakmen sokongan seperti Enakmen Acara Jenayah Syariah dll. Begitu juga kaedah-kaedah. Misalnya bagi jadual II, III dan IV berkait diyah, saya yakin kaedah-kaedahnya telah pun disiapkan.
Hukuman-hukuman telah dinyatakan. Dari segi kaedah,
misalnya bagi yang telah diputuskan membayar diyah tetapi akhirnya tidak
membayar diyah berkenaan, adakah hartanya boleh disitakan? Ianya saya yakin, telah pun disiapkan sepenuhnya.
Tuan Speaker,
Bagi
majoriti rakyat Kelantan yang telah mengundi parti pemerintah hari ini,
mereka tidak lagi mahu melihat larian setempat dalam pelaksanaan
Enakmen ini. Kerajaan Negeri telah, melalui kenyataan akhbar,
memberikan sedikit gambaran laluan politik, perundangan dan proses lain
menuju pelaksanaan Enakmen ini.
Ada masanya,
proses ke hadapan selepas Enakmen ini diluluskan disebut melalui Bill
Persendirian Ahli Parlimen untuk meminda Perkara 76 (A). Pada ketika
yang lain, langkah seterusnya dikatakan untuk membawa pindaan Akta
Jenayah Syariah 355 di Parlimen sama ada melalui;
Satu,
Menteri akan mencadangkan pindaan Akta Jenayah Syariah 355 dengan menaikkan hukuman rotan mengikut hukum syara’ kepada seratus rotan bagi membolehkan sekurang-kurangnya empat kesalahan syariah di bawah Enakmen ini dilaksanakan.
Ia membuka jalan sebagai
permulaan. Ia menepati kaedah fiqah, apa yang mampu dilaksanakan,
dilaksanakan dan yang lain belum boleh dilaksanakan, di kemudiankan
tanpa meninggalkan kesemuanya atas alasan menunggu dilaksanakan kesemua
sekali sekali gus.
Dua,
Wakil Kerajaan Negeri yang menjadi Ahli Dewan Rakyat membawa Bil Persendirian mencadangkan pindaan Akta 355 dengan tujuan yang sama seperti di atas, tetapi bukan dibawa oleh Menteri.
Tuan Speaker,
Saya difahamkan, tujuan asal Jawatankuasa Teknikal
Bersama ditubuhkan ialah untuk antara lain memutuskan samada laluan 76
(A) atau Akta 355 lebih sesuai untuk dilalui.
Saya difahamkan Menteri berkenaan memberi faham kepada wakil Kerajaan Negeri bahawa Kerajaan Pusat lebih bersetuju dengan laluan pindaan Akta 355 dengan menaikkan hukuman rotan kepada seratus rotan.
Saya difahamkan Menteri berkenaan memberi faham kepada wakil Kerajaan Negeri bahawa Kerajaan Pusat lebih bersetuju dengan laluan pindaan Akta 355 dengan menaikkan hukuman rotan kepada seratus rotan.
Pindaan itu akan dibawa oleh Menteri. Jika ia dibawa oleh Menteri, tentulah dengan kuasa
whip yang ada, semua Ahli Parlimen dari parti Kerajaan baik MCA, MIC,
Gerakan dan wakil dari Sabah dan Sarawak wajib menyokong dan ini
memudahkan kelulusan walaupun pindaan seperti itu hanya memerlukan
simple majority.
Ia juga tidak menakutkan
sesetengah pihak di luar dari batasan sepatutnya kerana empat kesalahan
yang akan terlibat adalah lebih berbentuk kesalahan syariah seratus
peratus dan tidak melibatkan kuasa-kuasa dan kesalahan di bawah Kanun
Kesalahan Jenayah atau Penal Code, kecuali kesalahan liwat.
Begitu
juga dengan bentuk hukuman iaitu rotan yang
telah pun ada dalam sistem perundangan Malaysia kecuali bilangannya
sahaja yang ditambah. Kebelakangan ini, saya mendengar, Kerajaan Pusat
hanya bersetuju meningkatkan bilangan rotan hanya menjadi 39 rotan,
menjadikan kesemua empat kesalahan yang dijanjikan boleh dilaksanakan
menerusi Enakmen ini tetap tidak dapat dilaksanakan.
Kedua, saya difahamkan Menteri mencadangkan Ahli
Parlimen PAS dan bukannya Menteri membawakan usul pindaan Akta 355
denagn alasan-alasan tertentu yang tidak berbangkit pada permulaan
Jawatankuasa Teknikal Bersama herndak ditubuhkan dahulu.
Jika ini berlaku, apa jaminan ia akan mendapat sokongan Ahli Parlimen BN?
Ia
juga menambahkan perlunya pelbagai pihak memberikan sokongan terhadap
usul itu nanti bagi mempastikan kejayaannya dan bukan hanya satu
percubaan yang sia-sia. Di sinilah letaknya keperluan berbahasa dengan
elok dan bijaksana dengan semua pihak.
Jika cubaan berasaskan Bil Persendirian untuk
meminda Akta 355 akan gagal, apa tah lagi pindaan Perkara 76 (A) yang
memerlukan majoriti dua pertiga?
Tuan Speaker,
Aspek
kedudukan nas syarak yang wajib diimani oleh semua orang Islam sudah
tentu tidak boleh dipertikaikan lagi. Kerana itulah Parti Islam
ditubuhkan dan kita semua
mendokongnya. Kerana itulah Enakmen 1993 terlahir sejak sesetengah ADUN
pada hari ini belum lagi menjadi ADUN.
Aspek pengkanunan pula, ia terbuka untuk
perbincangan, penelitian dan penambahbaikan dari semasa ke semasa,
seperti yang berlaku kepada Enakmen ini sendiri. Aspek laluan menuju pelaksanaan adalah aspek ketiga
yang terpaksa diambil kira dengan penuh teliti. Sudah tentu
pertimbangan politik juga wujud dalam aspek ini.
Saya yakin majoriti rakyat Kelantan yang telah
mengundi PAS berkali-kali, ingin melihat pelaksanaan Enakmen ini
diangkat penuh bijaksana, cermat dan berjaya. Bukan semata-mata
kehebohan-kehebohan dan cabar mencabar melebihi keperluan sebenar tetapi
akhirnya terbantut. Semangat permuafakatan lebih memudahkan lalun berbanding dilihat menonjolkan keangkuhan dan kesombongan.
Saya juga yakin bahawa kita semua mengangkat agenda
ini untuk mendapat keredhaan Allah dan bukannya dijadikan satu bola
politik semata-mata dalam apa jua cara dan bentuk.
Saya yakin, rakyat Malaysia, jika berbahasa dengan bahasa yang lunak dan tidak sengaja bertujuan menakut-nakutkan, akan mengizinkan ummat Islam khususnya rakyat Kelantan di mana majoriti mereka beragama Islam dan telah melalui proses demokrasi yang diamalkan oleh negara kita, mendapat hak demokratik beramal dengan Islam anutan mereka sepenuhnya.
Apa lagi, bagi empat kesalahan jenayah syariah
permulaan seperti telah saya sebutkan, bentuk hukumannya telah sedia ada
dalam sistem perundangan negara kita.
وَهُوَ اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ لَهُ الْحَمْدُ فِي الْأُولَى وَالْآخِرَةِ وَلَهُ الْحُكْمُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (28:70)
- Dan Dialah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, bagi-Nyalah segala puji di dunia dan di akhirat, dan bagi-Nyalah segala penentuan dan hanya kepada-Nyalah kamu dikembalikan . 28:70
Husam Musa
ADUN Salor
19 Mac 2015
Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan.
(IH)
ADUN Salor
19 Mac 2015
Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan.
(IH)
No comments:
Post a Comment