Sunday, March 22, 2015

Hudud, Menurut Dr Mujahid


KENYATAAN MEDIA: HUDUD PERLU PANDUAN KEILMUAN BUKAN EMOSI
Apabila perbahasan hudud masuk ke legaslatif maka perbahasannya adalah tentang undang-undang dan sejauhmana kerangka undang-undang negara mengizinkannya. Akan ada pro dan kontra namun ia bukan persoalan yang boleh dipermudahkan untuk menghukum seseorang.

Hukum Allah SWT perlu difahami secara prinsipnya, ada yang dilaksanakan secara individu dan ada yang dilaksanakan melalui kuasa. Dalam hal perlunya keabsahan kuasa dan maslahat umum hukum Allah memerlukan syarat, sebab dan perkiraan halangan untuk dilaksanakan.

Hudud perlu dilihat sebagai hukum Allah SWT daripada perspektif ini, iaitu perspektif perlunya kuasa, keperluan sebab untuk melaksanakannya atau tidak dan samada memenuhi syarat untuk laksanakannya atau tidak. Oleh itu jangan kita bermudah dan beremosi tanpa panduan ilmu yang membentuk prinsip-prinsip yang terbina atasnya hukum Allah SWT. Dalam disiplin Islam ia dikenali sebagai ilmu Usul Fiqh.

Saya bimbang perbahasan hudud ini yang berkemungkinan terpandu atas emosi akan menimbulkan permusuhan dan kebencian atas nama agama dan akhirmya semasa proses ini berjalan makna Islam yang penuh Rahmat dan Tujuan Syariat (Maqasid Syari’yah) yang penuh dengan kemaslahatan (manfaat) semua akan dipersoal.

Saya mengharapkan perbahasan berjalan secara demokratik dan  masyarakat tidak dipergunakan oleh pihak yang berkepentingan sempit khususnya yang berligar di media sosial. Janganlah perbahasan hudud yang tidak terpandu menyebabkan perpaduan nasional yang terbina selama ini dicemari oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Bertarikh 21 Mac 2015

Lihat lagi..
E-Buku IH-101: Menjelang Muktamar 2015. Tenang, Tapi Ada Buaya?
E-Buku IH-101: Menjelang Muktamar 2015. Tenang, Tapi Ada Buaya?

No comments:

Post a Comment