Wednesday, March 04, 2015

IS, 3 Lagi Ditahan Termasuk Anggota Kanan.


KL: Seorang anggota kanan kumpulan militan Islamic State (IS) di Syria antara tiga individu yang ditahan sepasukan polis Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman dalam satu operasi khas baru-baru ini.

Operasi yang dilakukan pada 28 Februari hingga Isnin lalu di sekitar Perak, Kuala Lumpur dan Johor itu berjaya membongkar aktiviti kesemua suspek berkenaan yang dipercayai terlibat secara langsung dengan kumpulan militan tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, anggota kanan kumpulan yang berusia 39 tahun itu merupakan seorang kakitangan awam di sebuah jabatan kerajaan.

Katanya, suspek yang berasal dari Perak itu dipercayai membantu mendaftarkan akaun laman sosial Facebook untuk kegunaan beberapa rakyat tempatan berhubung dengan anggota militan di Syria.

“Siasatan awal mendapati suspek merancang untuk menyertai kumpulan militan dalam tempoh terdekat dan kita masih menyiasat tempoh suspek bergiat dalam kumpulan IS,” katanya dalam satu kenya­taan di sini semalam.

Menurutnya, suspek kedua dipercayai terlibat dalam menyumbang dana kepada rakyat tempatan yang ingin menyertai militan di Syria.

“Peniaga yang berusia 22 tahun itu berasal dari Perak dan kita sedang jalankan siasatan sejauh mana penglibatan suspek dalam kegiatan ini selain daripada me­nyumbang dana.
“Suspek wanita yang berasal dari Johor itu pula disyaki merancang untuk menyertai kumpulan pengganas berkenaan selain bertanggungjawab menghasut seorang gadis tempatan untuk menyertai IS. Suri rumah yang berusia 29 tahun itu dikatakan menaruh harapan untuk turut bersama dalam perjuangan IS dalam masa terdekat,” ujarnya.

Kesemua suspek ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pada 19 Februari lalu, Kosmo! melaporkan seorang gadis berusia 14 tahun yang merancang untuk ke Syria melalui Mesir bagi menyertai aktiviti militan Islamic State (IS) ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.

Suspek berasal dari Muar, Johor itu merupakan pelajar pengajian agama di sebuah institut tahfiz di Shah Alam. Dia dikatakan merancang untuk ke Syria seorang diri.

Suspek juga dikatakan terpengaruh dengan laman Facebook yang mempromosi, merekrut dan memuat naik propaganda IS bagi mempengaruhi rakyat Malaysia untuk berjihad. (Kosmo!)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails