Tuesday, March 03, 2015
Lagi, Perkauman Di AS? Video Polis Tembak Mati Gelandangan..
LOS ANGELES – Kejadian anggota polis di bandar ini menembak mati seorang lelaki gelandangan kelmarin telah dirakam dan disebarkan di internet, lapor media tempatan.
Video yang disebarkan melalui laman sosial Facebook itu merakamkan perbalahan antara seorang lelaki yang tidak dikenali dengan beberapa pegawai polis di kawasan Skid Row berhampiran pusat bandar Los Angeles. Keadaan sebenar di sebalik insiden itu masih belum jelas tetapi mengikut rakaman tersebut, mangsa terhuyung-hayang ke arah anggota polis ketika mereka cuba menahannya.
Satu suara menjerit ‘letakkan pistol itu!’ juga boleh didengari tidak lama sebelum bunyi beberapa das tembakan dilepaskan dan diikuti jeritan beberapa orang yang menyaksikan kejadian tersebut. Jabatan Polis Los Angeles belum memberi sebarang kenyataan pada masa ini tetapi media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya seorang anggota polis telah melepaskan tembakan dalam kejadian tersebut.
Jurucakap polis, Sarjan Barry Montgomery memberitahu akhbar The Los Angeles Times bahawa mangsa disahkan meninggal dunia di hospital tidak lama selepas kejadian tersebut.
Skid Row adalah kawasan daif yang menempatkan hostel dan perkhidmatan untuk golongan gelandangan di wilayah ini dengan ada antara mereka yang memasang khemah di tepi-tepi jalan.
Pendedahan rakaman video itu menyusuli beberapa kejadian polis menembak sebilangan lelaki kulit hitam yang kerap dihebohkan sehingga membawa kepada tunjuk perasaan selama beberapa minggu tahun lalu. – AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment