Saturday, March 21, 2015

Okey! Jom Gempur Hadis Palsu..


OKEY.. Kita sambut cabaran Abdul Razak Muthalib dalam Daril Ulum Online, Sweileh, Jordan.
Sebelum gempur, mari kita berkenalan sikit dengan hadis palsu. Hadis mauduk atau hadis palsu adalah satu daripada jenis hadis dhaif.

Abdul Razak Muthalib dalam Daril Ulum Online, bertajuk 'Gempur hadis palsu!', katanya..

Menurut Ibn al-Salah dalam ‘Ulum al-Hadith, hadis mauduk ialah hadis yang direka dan disandarkan kepada Rasulullah SAW. Menurut Al-Khattabi dalam Ma’alim al-Sunan, hadis mauduk adalah jenis hadis dhaif yang paling teruk.

Ringkasnya, hadis mauduk adalah hadis palsu direka seseorang kemudian dikatakan ia daripada Rasulullah SAW. Faktor yang mendorong sebahagian orang mencipta hadis palsu ada banyak. Syekh Dr Mustafa al-Siba‘ie dalam al-Sunnah wa makanatuha di al-Tashri’ al-Islami dan Syekh Dr Nur al-Din ‘Itr dalam Manhaj al-Naqd fi ‘Ulum al-Hadith menyenaraikan antara faktor utama ialah :

1) Bagi menggalakkan orang ramai supaya melakukan kebaikan dan memberi peringatan kepada mereka daripada melakukan kemungkaran. Tujuan mereka adalah untuk bertaqarrub (menghampirkan diri kepada ALLAH) dan menisbahkan diri mereka kepada sifat kezuhudan dan kesufian.
Golongan ini adalah pencipta hadis palsu yang paling bahaya, kerana orang ramai mudah menerima apa diucapkan disebabkan keyakinan dan kepercayaan kepada mereka. Sebagai contohnya ialah Abu ‘Ismah Nuh bin Abi Maryam.

2) Merosakkan agama dan membuatkan umat Islam ragu-ragu terhadap ajarannya.
Ini dilakukan oleh golongan zindiq. Golongan ini sangat benci kepada Islam. Antara mereka ialah Abd al-Karim bin Abi al-Auja’ dan Muhammad bin Said al-Maslub.

3) Sikap taksub sama ada kepada mazhab, bangsa, kabilah, bahasa atau negeri.
Hal ini dilakukan oleh mereka yang bersikap taksub terhadap sesuatu yang dipegangnya sama ada mazhab atau pegangan amalannya. Jadi untuk membela mazhab, bangsa, kabilah, bahasa atau negeri mereka atau menindas pihak yang memusuhi mereka, golongan ini mencipta hadis palsu.

4) Pertelingkahan dari sudut politik.
Pertelingkahan politik juga menyebabkan beberapa golongan mencipta hadis palsu. Antara yang paling banyak ialah golongan Syiah. Syiah mencipta hadis mengenai kelebihan ahl al-bait, mencerca sahabat khususnya Abu Bakar, Umar, Muawiyah dan sebagainya.

5) Kepentingan dan keuntungan peribadi.
Demi mendapatkan keuntungan harta benda atau pangkat, beberapa golongan sanggup mencipta hadis palsu. Antaranya ialah:
  • a) Untuk mendekatkan diri dengan raja dan pemerintah. Tujuannya mendapatkan keuntungan dunia. Jadi, golongan ini akan mencipta hadis yang dapat memenuhi hasrat raja dan pemerintah, supaya raja dan pemerintah akan menyukainya dan memberikan habuan keduniaan yang setimpal. Contohnya seperti yang dilakukan oleh Ghiyath bin Ibrahim al-Nakha’ie.
  • b) Golongan pencerita atau penceramah.
    Golongan ini memalsukan hadis atau menyampaikan hadis palsu demi menarik minat orang ramai supaya mendengar ceramah. Diciptalah hadis menyebut mengenai kisah ajaib dan cerita yang mampu membuatkan mereka minat dan tidak berganjak lagi.
  • c) Melariskan barang jualan. Sesetengah peniaga terlibat dalam jenayah mencipta hadis palsu. Lalu diciptalah hadis yang menyebut perihal kelebihan barang jualannya. Contohnya hadis palsu yang menyebut kelebihan buah terung, delima, anggur, minuman tertentu dan sebagainya. Antara mereka yang melakukan sedemikian ialah: Muhammad bin Hajjaj al-Wasiti, Fudhalah bin Husain, Hanad bin Ibrahim al-Nasafi dan lain-lain lagi.
    Ini adalah faktor hadis palsu dicipta dengan sengaja. Terdapat beberapa sebab lain yang membuatkan seseorang terlibat dalam kesalahan meriwayatkan hadis palsu secara tidak sengaja dan tidak disedari.

    Antaranya seperti disebut Syeikh Dr Abd al-Karim bin Abdullah al-Khidr dalam al-Hadith al-Dhaif wahukmu al-Ihtijaj bihi: “Tenggelam dalam kezuhudan dan keasyikan beribadah sehingga mereka lalai daripada membezakan antara yang sahih dan palsu”.

    Kitab hilang atau terbakar. Jadi mereka meriwayatkan apa yang mereka ingat, lalu berlaku kesilapan. Ini berlaku kepada mereka yang memang menjadikan kitab mereka sebagai rujukan utama dalam meriwayatkan hadis.

    Sebagai contoh, Abdullah bin Lahi‘ah. Fikiran sudah tidak sempurna atau nyanyuk. Ini berlaku kepada mereka yang pada usia muda adalah seorang yang diterima riwayatnya, tetapi nyanyuk semasa tuanya. Lalu dia tersilap dalam riwayatnya, seperti Ismail bin ‘Iyash.

    Banyak lagi perkara yang kita perlu tahu bagi mendapat gambaran berkenaan hadis palsu. Ilmu hadis mempunyai disiplin yang sangat terperinci dan banyak cabangnya. Hadis pula mempunyai banyak pembahagiannya. Ulama hadis terdahulu sudah mencurahkan segala ilmu, tenaga dan masa mereka untuk mengenal pasti mana hadis yang sahih dan mana yang palsu.
    Koleksi Video Ustaz Don Sebar Hadis Palsu... Pernah timbul polimek.
    Polimek roti jala cicah kari..

    Tugas Penceramah.

    Tugas penceramah adalah membuat rujukan kepada hasil kajian mereka. Berceramah bukan sekadar berfikir apa lawak jenaka yang boleh membuatkan penonton ketawa. Apa lagu yang boleh membuatkan pendengar terhibur. Lebih utama dari itu ialah fikir bagaimana ketulenan ajaran agama mahu dipelihara dan disampaikan kepada masyarakat seperti yang diwariskan Rasulullah SAW.

    Ada lagi yang berkata, kalau hadis ini palsu, mengapa ia ada dalam kitab? Ramai penceramah yang membacanya. Ustaz yang masuk TV pun selalu baca hadis ini. Sejak dulu lagi kita faham ia hadis yang Rasulullah SAW sebut. Mengapa baru sekarang ia dianggap palsu? Bagi orang awam, yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang hadis, memang sukar untuk membezakannya.

    Bahkan golongan ustaz sekali pun, tidak kira yang digelar ustaz selebriti atau pun tidak, jika tidak berhati-hati, kadang-kadang terjebak juga dalam membaca dan berhujah dengan hadis palsu. Bagaimana untuk kita harapkan mereka memahamkan masyarakat perihal topik ini? Jika berlaku sekali dua, mungkin kita boleh terima. Tetapi, jika ia kerap kali berlaku, bahkan banyak pula bukti boleh dikemukakan, ini adalah gejala yang tidak sihat dalam kalangan ustaz dan penceramah.

    Adalagi ustaz yang terang-terang mengkritk ustaz lain dalam youtube menggunakan hadis palsu, dengan tidak mahu bersemuka dulu dengan ustaz yang tidak sepaham politik dengannya. Lebih tidak sihat, sekiranya ditegur dan dibentangkan penerangan hadis yang dibaca itu palsu, tidak tergambar rasa bersalah dan ingin meminta maaf. Apatah lagi memperbetulkan kesalahan faktanya.

    Sikap berhati-hati dan menyemak terlebih dahulu kesahihan fakta sebelum berceramah sangatlah dituntut. Jangan sampai terlalu sibuk memenuhi undangan ceramah, sehingga tidak sempat untuk membuka kitab tafsir al-Quran dan huraian hadis. Kalaulah penceramah tidak sempat untuk membaca kitab rujukan utama, bagaimana untuk diangkat kualiti kefahaman agama dalam kalangan masyarakat. Islam tidak difahami hanya dengan lirik lagu dan sebagainya.

    Hadis palsu kita gempur bersama. Gempur weblog ini hanya berdasarkan motto 'Sampaikan.. walau 1 ayat.' Kami sampaikan apa yang tuan gempurkan. Barulah boleh makan roti jala cicah kari dengan gembira. (IH)

    Video: Nabi Muhammad serupa budak lain waktu kecil : Ustaz Kazim Elias minta Nik Aziz mengucap

    Video: RINGKASAN Menjawab Tomahan Ustaz Kazim Alias Terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Oleh Ustaz Wan Tarmizi 




    Lihat sebelum ini..

    No comments:

    LinkWithin

    Related Posts with Thumbnails