Friday, March 13, 2015

Tuan Ibrahim Sedia Tanding Timbalan Presiden PAS.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden parti itu pada Muktamar PAS tahun ini sekiranya mendapat pencalonan dari mana-mana kawasan untuk jawatan
itu.

Beliau berkata dua elemen utama yang menjadi tumpuannya sebelum bersetuju untuk bertanding mana-mana jawatan ialah keperluan dan kemampuannya menggalas amanah tersebut.

"Dulu (dalam muktamar) sebelum ini pun, memang ada cadangan untuk saya bertanding jawatan seperti timbalan presiden, naib presiden dan ahli jawatankuasa PAS pusat.

"Namun ketika itu, dengan kemampuan saya, cukup jadi naib presiden, namun kali ini jika ada pencalonan (untuk jawatan timbalan presiden), saya akan tengok...saya akan istikharah," katanya dalam sidang media sempena pengumuman program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ketiga dekat Rusila di Marang.

Pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat akan diadakan setiap dua tahun dan bagi pemilihan jawatan peringkat pusat kali ini akan diadakan pada muktamar tahunan PAS ke-61 yang dijangka pada 1 Jun ini.

Ditanya berhubung tindakannya menolak pencalonan dari PAS Kota Bharu untuk bertanding jawatan presiden, Tuan Ibrahim berkata ia berikutan tiada keperluan untuk menukar presiden ketika ini, iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Ketika dunia mengangkat beliau, kita anggota PAS sepatutnya lebih memberi sokongan kepada beliau dengan begitu banyak kejayaan yang dicapai sepanjang kepimpinannya.
"Namun saya hormati pencalonan dari kawasan (Kota Bharu) itu, saya melihat keikhlasannya dan pandangan dari mana-mana kawasan (untuk muktamar) itu adalah demokrasi dalam parti," katanya.

Ini berikutan sebelum ini Yang Dipertua PAS Kota Baharu Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah pernah mencadangkan nama Tuan Ibrahim sebagai presiden bagi menggantikan Hadi demi menyatukan kembali PAS dan yakin Abdul Hadi tidak akan mempertahankan jawatan itu demi kepentingan PAS yang sedang berpecah teruk sekarang ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali telah menyatakan keyakinan tidak ada pencabar yang berwibawa menggantikan Abdul Hadi buat masa ini.

Ketika ini, jawatan timbalan presiden PAS disandang oleh Mohamad Sabu manakala Abdul Hadi tidak pernah dicabar sejak beliau mengambil alih kerusi presiden daripada Datuk Fadzil Noor pada 2002.


(Bernama)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-101: Menjelang Muktamar 2015. Tenang, Tapi Ada Buaya?
E-Buku IH-101: Menjelang Muktamar 2015. Tenang, Tapi Ada Buaya? 

No comments:

Post a Comment