Tuesday, March 31, 2015

Yaman Terus Diserang Hingga Mansour Hadi Mampu Perintah Sendiri.


PELAJAR pro-Houthi mengadakan demonstrasi bagi mengutuk serangan udara yang diketuai Arab Saudi di kampus Universiti Sanaa, Yemen semalam. - REUTERS

RIYADH – Serangan udara pimpinan Arab Saudi di Yemen akan diteruskan sehingga Presiden negara itu, Abd-Rabbu Mansour Hadi mampu memerintah sendiri, tegas seorang jurucakap tentera di sini kelmarin.

Arab Saudi bersama sembilan kerajaan negara Sunnah lain telah melancarkan serangan udara ke atas militia Syiah Houthi di Yemen yang disokong kuat oleh Iran.

Teheran menafikan memberi bantuan kepada kumpulan Houthi, tetapi mengutuk keras serangan negara-negara Sunnah itu. Abd-Rabbu pula meninggalkan Yemen pada Khamis lalu.

“Kami akan menetapkan situasi terbaik untuk membolehkan Abd-Rabbu dan kerajaannya memerintah Yemen. Salah satu syaratnya ialah tentera Yemen mampu mengambil alih kawalan keselamatan negara.

“Serangan udara akan diteruskan untuk mengekang kemaraan militia Houthi. Ia hanya akan dihentikan apabila keadaan keselamatan di Yemen cukup baik untuk diambil alih oleh tentera kerajaan. Hari demi hari, mereka semakin tewas (militia Houthi), kami percaya situasi di Aden akan bertambah baik,” kata jurucakap perikatan tentera negara Sunnah terbabit, Brigedier Jeneral Ahmed Asseri.

Beliau percaya serangan udara tersebut berjaya menyekat kemaraan kumpulan Houthi di bandar Aden selain meningkatkan tekanan terhadap kumpulan militia lain di seluruh Yemen.

Tentera yang setia kepada Abd-Rabbu terus bertempur dengan militia Houthi kelmarin di kawasan pinggir bandar Aden yang menjadi kubu terakhir yang dikuasai oleh tentera kerajaan.

Serangan udara pada malam Sabtu lalu mensasarkan jet pejuang tentera Yemen yang dirampas anggota militia Houthi di Sanaa dan dipindahkan ke pangkalan udara al-Rubayi berhampiran bandar Taiz.

Ahmed menganggarkan terdapat antara 25,000 dan 30,000 militia Houthi di Yemen. Beliau mendakwa setiap anggota militia dibayar upah AS$100 (RM371) sehari menggunakan bantuan kewangan dari Iran.

Menurutnya ancaman militia Houthi akan berakhir jika aliran tunai kepada puak berkenaan dapat disekat. – Reuters

No comments:

Post a Comment