Oleh : Zaharudin Muhammad
Zaharudin Muhmmad
Mukadimah
Islam mempunyai sistem cukainya yang
tersendiri. Sumber kepada sistem percukaian Islam ialah al-Quran, Sunnah
Rasulullah SAW, ijmak dan kias. Ia telah diturunkan bukan sahaja adil
bagi manusia keseluruhan, tetapi ia juga merupakan sistem yang
mengstabilkan ekonomi, khususnya keseimbangan antara kuasa modal dan
kuasa beli rakyat sebagai penjana produktivi.
Asas Ukuran Keharusan Cukai
Sesuatu hukum dirujuk
kepada hukum asal yang telah dinaskan oleh sumber al-Quran dan al-Hadis.
Hukum asal berkaitan harta orang lain adalah haram diambil melainkan
mempunyai sebab yang dibenarkan syariat. Ini berpandukan kepada firman
Allah SWT, bermaksud :
- “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”- (An-Nisa’: 29).
Di antara dalil yang lain ialah pesanan
Rasulullah sewaktu Haji Wada’ (Haji Selamat Tinggal), antara lain nabi
SAW berpesan, bermaksud:
- “Wahai orang ramai, sesungguhnya orang yang beriman adalah saudara, tidak halal bagi seseorangpun (mengambil) harta saudaranya melainkan dengan kerelaannya.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.
Hadis ini memaksudkan selain daripada
zakat dan perkara-perkara yang dinaskan harus atau wajib diambil seperti
zakat, yakni zakat bukan milik si pemunya harta bahkan ia adalah milik
si fakir, miskin dan asnaf-asnafnya. Begitu juga tidak termasuk isteri
atau anak dibawah tanggungannya kerana ia dianggap sebagai seakan-akan
sekutu pemilikan. Adapun selainnya, maka ia adalah milik si pemunya dan
tidak boleh diambil melainkan degan kerelaannya oleh sesiapapun termasuk
kerajaan.
Dan sabda nabi SAW, maksudnya:
- “Apabila mereka melakukan demikian (Islam) maka darah dan harta mereka mereka adalah terpelihara melainkan (harta boleh diambil) dengan cara-cara yang dibenarkan oleh Islam.” – Riwayat Bukhari.
Di dalam kitab Fathul Bari, Syarah Sahih
Bukhari menyebut, zakat adalah salah satu cara pengambilan yang
dibenarkan oleh Islam (sekalipun tuannya tidak merestuinya).Ayat di atas menegaskan memakan harta
orang lain adalah haram dan dikategorikan bentuk memakannya adalah
batil. Ayat tersebut seterusnya menyenaraikan bentuk pengecualian yang
mengharuskan mengambil harta orang, salah satunya ialah perniagaan.
Berdasarkan ayat ini, hukum asal memakan,
mengambil dan memiliki harta orang lain tanpa sebab yang dibenarkan
syariat adalah haram sehinggalah ada sebab dan dalil yang diharuskan
syariat. Ia berbeza dengan hukum asal makanan, minuman dan bentuk
muamalat, di mana hukum asal bagi semua perkara tersebut adalah harus
kecuali ada tanda-tanda yang menunjukkan haram.
Justeru, apabila kita bertransaksi atau
memakan sesuatu makanan yang tiada dalil dan bukti halal atau haram,
maka hukum transaksi dan makanan itu adalah halal justeru merujuk kepada
hukum asalnya yang harus. Tetapi berbeza dengan pengambilan harta atau
wang milik orang, yakni hukum asalnya haram berdasarkan ayat di atas,
kecuali ada dalil dan bukti halal. Justeru, apabila kita mengambil wang
milik orang, jika tiada dalil dan bukti halal atau haram, maka hukumnya
adalah haram justeru merujuk kepada hukum asalnya yang haram.
Sebagai contoh, kita boleh mengambil wang
RM50,000 daripada Ahmad sebab kita jual kereta kepadanya. Sebab
keharusan ialah jual beli (Al-Bai’). Kita boleh ambil wang daripada Ali
sebanyak RM10,000 kerana kita membuat ubah suai rumahnya. Sebab
keharusan ialah upah (ujrah). Kita boleh mengambil jam milik Ah Chong
selepas kita membayarnya wang. Sebab keharusan ialah jual beli. Kita
boleh mengambil wang daripada Abu kerana agihan keuntungan perniagaannya
yang bermodalkan wang kita. Sebab keharusan ialah pelaburan
(Mudharabah).
Apabila kita berjalan dan jumpa wang
RM50,000, maka kita tidak boleh mengambilnya kerana tiada jual beli,
tiada upahan kerja, tiada pengeluaran modal, tiada sebab-sebab yang
membolehkan, maka hukumnya haram diambil dan RM50,000 tersebut dianggap
sebagai harta laqatah (barang ciciran).
Maka hendaklah kita bertanya berkenaan
GST, apakah sebab yang membolehkan kerajaan mengambilnya daripada
rakyat? Jika tiada sebab ‘sebenar’, maka hukumnya kembali kepada asal,
iaitu haram dan termasuk di dalam kategori batil. Begitu juga jika
pemindahan hak berlaku dengan sebab, tetapi sebab itu tidak diiktiraf
oleh Islam, maka ia juga adalah batil.
Contohnya seperti pemenang judi yang
mengambil bahagian pemain judi yang kalah, sekalipun judi adalah sebab
pemindahan milik, tetapi ia tetap dikategorikan sebagai baatil kerana
judi itu sekalipun sebab pengambilannya wujud, tetapi ia tidak diiktiraf
oleh syarat.
Adakah Hukum Ini Terlaksana Juga Ke Atas Kerajaan Mengambil Wang Rakyat?
Selepas kita memahami
bahawa hukum asal harta orang adalah haram kecuali dengan sebab yang
dibenarkan syariat, maka persoalan keseterusnya adakah hukum ini
terpakai atau terlaksana hanya ke atas individu dengan individu,
manakala kerajaan terkecuali dengan dibolehkan ambil harta dan wang
poket rakyat berhujahkan maslahah?
Di dalam mazhab ahlu sunnah wal jamaah,
hukum ini bukan sahaja terlaksana antara individu dengan individu,
tetapi ia juga terlaksana antara kerajaan dengan rakyat. Dalilnya cukup
jelas daripada realiti berikut :
1. Pesanan nabi kepada Muaz bin Jabal
sewaktu beliau diutuskan ke Yaman sebagai Gabenor. Baginda memberikan
pesanan kepada beliau dengann kata-kata berbunyi: “Awasilah harta-harta suci yang dimiliki oleh orang Yaman”. Harta-harta
suci yang dimaksudkan ialah harta yang dimiliki bukan bahagian zakat
atau jizyah. Dalam riwayat Bukhari menyebut dengan lafaz: takutilah
(daripada mengambil) harta-harta mereka yang suci.
2. Arahan Umar Abdul Aziz (Khalifah dari
tahun 99H-101H) kepada semua gabenor supaya menghapuskan semua cukai
kecuali ia mempunya nas daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
Cukai-cukai zalim ini telah dikenakan sebelum ini khususnya pada zaman
Hajjaj Yusof At-Thaqafi yang terkenal dengan kezaliman pemerintahannya
di Syam, Iraq, Mekah dan Madinah dari tahun 70H – 95H.
Di dalam kitab Al-Bidayah wa An-Nihayah
karangan Imam Ibnu Kathir menceritakan, tatkala Saidina Umar Abdul Aziz
menjadi Khalifah, beliau memerangani pemimpin-pemimpin zalim sebelumnya
yang telah mengenakan pelbagai cukai kepada rakyat.
Antara salsilah pemerintah sebelum ini
yang sangat dibenci oleh Umar Abdul Aziz ialah Yazid bin Mahlab, iaitu
ipar kepada Hajjaj bin Yusof As-Thaqafi. Yazid bin Mahlab telah
ditangkap oleh Adi bin Arthoh dan menyifatkan Yazid dan keluarganya
(Mahlab dan Hajjaj) sebagai :
“Mereka adalah pemerintah kuku besi dan aku bencikan mereka”.
Saidina Umar Abdul Aziz memerintahkan
supaya Yazid dipenjarakan sehingga semua harta orang ramai yang dikutip
sebelum ini dikembalikan semula. (Al-Bidayah: m/s666). Pernah anak
kepada Yazid bernama Makhlad meminta kelonggaran hukuman untuk ayahnya
Yazid, tetapi Umar bertegas menyatakan bahawa ia tidak akan meringankan
hukuman sehingga Yazid menyerahkan semua harta rakyat.
Begitu juga Saidina Umar Abdul Aziz telah
menghantar kepada Gabenor Khurasan Al-Jarah bin Al-Hukmi yang telah
mengenakan cukai Jizyah ke atas non-muslim yang telah memeluk Islam
dengan alasan mereka memeluk Islam kerana ingin lari daripada Jizyah.
Saidina Umar Abdul Aziz memecat Gabenor tersebut dengan menulis,
maksudnya:
“Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai pendakwah bukan sebagai pengutip cukai.”
Di dalam satu riwayat yang lain,
Saidina Umar juga memerangi Gabenor di Mesir yang telah mengenakan
cukai pelabuhan dan mempertikaikan tindakan Umar Abdul Aziz untuk
menghapuskan semua cukai yang tiada nas.
Itulah antara sebab menjadi ‘purchasing power’
rakyat pada zaman Umar Abdul Aziz meningkat, seterusnya memenuhi Baitul
Mal. Kesannya tiada lagi penerima zakat dan pemberian selepas itu
sehingga harta melimpah ruah. Velocity of Money terbaik berbanding
sistem-sistem yang lain daripada Islam.
Itu antara contoh tindakan dan pendirian
Khulafa ar-raasyidun yang diiktiraf oleh nabi sebagai ikutan (perbuatan
mereka adalah hujah), tidak mengenakan cukai-cukai yang tidak dinaskan
oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
Semua dalil di atas adalah berkait dengan
kerajaan mengambil wang rakyat. Jika pengharaman memakan harta orang
lain tanpa sebab hanya diharamkan ke atas individu dan bukan kerajaan,
nescaya kisah di atas tidak akan timbul dalam sejarah.
Apabila kita meneliti pendapat yang
mengharuskan pengambilan harta rakyat tanpa bersumberkan kepada nas,
kita dapati mereka keliru antara pendapat ahlu sunnah wal jamaah dan
syiah. Ya, sebahagian syiah membenarkan pemimpin-pemimpin mereka
mengambil harta rakyat sekalipun tanpa sebab kerana fiqh mereka
bersumberkan akidah bahawa Imam (pemimpin) adalah maksum.
Berbeza dengan Ahlu Sunnah wal jamaah,
yakni akidah kita pemimpin tidak maksum, maka pemimpin tidak boleh
mengambill harta orang lain tanpa sebab dan berasaskan maslahah akal
semata-mata tanpa dipandu oleh nas.
Tuntasnya, hujah maslahah seterusnya
membolehkan pemimpin negara mengutip wang rakyat sesuka maslahah, maka
itu adalah amalan dalam fiqh syiah, bukan fiqh sunni.
Kenapa Kaedah Fiqh Tidak Boleh Dijadikan Hujah Dalam Isu Ini?
Antara hujah yang agak
masyhur digunapakai oleh gologan yang membolehkan kutipan cukai sesuka
hati ialah kaedah yang berbunyi (maksudnya):
“Tindakan pemimpin terhadap rakyat adalah berdasarkan maslahah.”
Golongan yang berhujahkan dengan kaedah ini melakukan kesilapan dari tiga sudut:
1. Dari segi mengguna pakai kaedah di tempat yang ada nas yang terang.
2. Kaedah bukan hujah, tetapi ia adalah
garis panduan memahami nas dan hukum furu’. Oleh itu, kaedah hanya
digunapakai di tempat yang tiada nas bukan di tempat yang berlawanan
dengan nas.
3. Golongan yang mengguna pakai kaedah
tadi bagi mengharuskan tindakan pemimpin mengutip cukai seolah-olah
memahami bahawa kaedah tersebut bermaksud: ‘tindakan pemimpin negara
semuanya adalah demi maslahah’ walhal sudut kaedah tersebut ialah
tindakan pemimpin mestilah dipandu oleh maslahah, jika tidak, maka ia
tidak boleh dilaksanakan.
Adakah Darurat Membolehkan Kutipan Cukai?
Dari segi hukum, boleh
dikatakan ijmak ulama terdahulu mengenakan cukai ke atas rakyat tanpa
sebab yang dibenarkan syariat adalah haram. Persoalan yang tinggal
ialah, adakah darurat boleh mengharuskan cukai dikutip?
Pertamanya, maksud difahami maksud dan
makna darurat. Darurat bermaksud sesuatu yang tanpanya akan menyebabkan
manusia hilang agama, nyawa, harta, akal dan keturunan. Jika tidak
sampai ke tahap itu, maka ia bukan darurat membolehkan kutipan cukai
yang haram. dengan maksud lain, jika setakat ingin menambahkan
pendapatan negara, maka ia bukan darurat yang dimaksudkan syariat.
Jika kita perhatikan, kutipan GST bukan
bagi menampung sesuatu keperluan darurat yang dimaksudkan oleh Syariat,
bahkan ia lebih bersifat memenuhi dan menampung keperluan sistem
konvensional, di mana sistem itu sendiri adalah bercanggah dengan Islam
kerana bersifat ‘memusingkan harta sesama golongan kaya’.
Darurat yang di maksudkan syariat seperti
negara yang sedang terdesak untuk dapatkan wang membeli senjata bagi
mempertahankan negara yang sedang diserang oleh musuh seperti berlaku
pertembungan antara Sultan Mamalik dengan Imam Nawawi untuk kenakan
cukai ke atas rakyat justeru Mesir pada masa itu berada pada saat
genting justeru hendak diserang oleh tentera Monggol yang tidak
terkalah.
Dalam keadaan darurat perang beginipun
masih lagi berlaku khilaf dalam kalangan ulama adakah cukai yang tidak
bersumberkan nas boleh dikutip?
Al-Dhohhak dan lain-lain berpendapat,
cukai tidak harus dikenakan dalam apa keadaan sekalipun, manakala imam
Juwaini, Al-Ghazali dan lain-lain berpendapat harus mengenakan cukai
bagi keperluan-keperluan tertentu (darurat).
Jika diperhatikan khilaf ini, ia
sebenarnya khilaf dari sudut keadaan dan suasana, bukan khilaf dari
sudut dalil dan nas. Khilaf ini kita dapat simpulkan bahawa, jika zakat
dan sumber lain mencukupi, maka ulama bersepakat bahawa cukai tidak
harus dikutip daripada rakyat. Khilaf hanya berlaku jika sistem cukai
Islam sumber lain tidak mengcukupi untuk keperluan Negara.
Bagi pendapat yang menyatakan harus
mengutip cukai darurat, mereka telah meletakkan syarat-syarat yang
mengharuskan kutipan cukai. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:
1.Negara mestilah berpegang teguh dengan
ajaran Islam. Dalam erti kata lain, negara mestilah menjalankan sistem
ekonomi Islam termasuk sistem percukaian Islam sepenuhnya seperti zakat
sebagai sistem cukai utama Negara.
2.Hajat kepada percukaian hendaklah benar-benar berlaku.
3.Baitul Mal benar-benar telah kekeringan sehingga tidak dapat memenuhi hajat dan keperluan rakyat.
4.Meminimakan seboleh mungkin tekanan
terhadap individu rakyat dengan cara-cara yang selain cukai. Oleh itu,
sebelum mengutip cukai daripada rakyat, kerajaan disarankan supaya
mengutip sumbangan ikhlas serta menggalakkan rakyat memberikan derma
dalam menyelesaikan sesuatu keperluan sebelum cukai dikenakan.
5.Kutipan cukai hendaklah diputuskan hasil perbincangan golongan fuqaha dan profesional berkait dengan isu tertentu.
6.Cukai hendaklah dikenakan ke atas
orang-orang yang kaya sahaja dan ia langsung tidak harus dikenakan ke
atas orang-orang miskin.
7.Cukai hendaklah dalam bentuk sementara.
Ia akan terhapus dengan hilangnya hajat dan keperluan. Cukai tidak
boleh dikenakan secara berterusan dan dijadikan pendapatan utama
berbanding zakat.
8.Wajib meraikan keadilan di dalam
perwartaannya dan pemungutannya. Maka kadarnya hendaklah sekadar
keperluan. Keperluan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengutip
cukai lebih daripada rakyat.
Sebahagian ulama seperti Imam Nawawi
meletakkan syarat bahawa cukai apabila dikatakan darurat dan perlu, maka
hendaklah terlebih dahulu ia dibayar oleh pemimpin tertinggi, jika
tidak cukup maka ia baru diturunkan ke bawah dan ke bawah, tetapi tidak
boleh sampai dikutip daripada golongan miskin. Beliau berkata kepada
Sultan Zaher Bebrus :
“Aku tahu bahawa engkau dulunya
seorang hamba kepada Gabenor di Bendaqar dan engkau tiada harta satu
pun. Kemudian Allah memberi peluang kepada engkau dengan diberikan
pangkat raja. Aku dengar engkau mempunyai seramai 1,000 hamba dan setiap
hamba tali pengikat kuda disaluti emas. Engkau ada 200 hamba perempuan
dan setiap seorangnya ada emas. Apabila engkau keluarkan semua itu
(sebagai pembayaran cukai) sehingga hamba-hamba engkau memiliki baju
daripada kapas biasa berbanding memiliki perhiasan emas seperti
sekarang, maka baru aku fatwakan engkau harus mengambil cukai daripada
orang ramai.” – Al-Bidayah Wa An-Nihayah.
Kesimpulan Dan Penutup
Dari sini kita dapat
simpulkan hukum cukai moden adalah haram menurut Islam berdasarkan
sebab-sebab yang dinyatakan di atas. Sebagai seorang muslim (sama ada
dalam bentuk individu atau kerajaan) tidak sepatutnya mengambil harta
orang lain melainkan tempat-tempat dan keadaan yang dibenarkan oleh
Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh nas dan dalil-dalil syarak.
Cara ini adalah cara-cara sistem ekonomi
yang sama sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Khulafa Ar-Raasyidin
seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Osman dan Saidina Ali,
di samping cara Saidina Umar Abdul Aziz di atas.
Hari ini ada pemimpin yang cuba
menonjolkan mereka juga adil seperti Khalifah Umar Abdul Aziz.
Persoalanya, adakah mereka memahami bagaimana cara pemerintahan beliau?
Sebagaimana pepatah arab menyebut: “Kamu mahukan kejayaan sedangkan kamu tidak melalui jalannya. Sesungguhnya kapal tidak akan berjalan di atas daratan.”
Bermaksud, jika anda mengkagumi
keadilan Umar Abdul Aziz dan gah dengan Baitulmalnya melimpah ruah.
Kemudiannya anda melaksanakan cara yang bukan ekonomi Islam yang telah
ditelusuri oleh Saidina Umar Abdul Aziz, maka mustahil keadilan yagn
sama akan terlaksana. 15 Nov 2013
(IH)
No comments:
Post a Comment