HALAMAN HIBURAN
KL: ALHAMDULILLAH, Weblog Ibnu Hasyim sokong penuh garis panduan yang digariskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang melarang penonton lelaki dan perempuan tidak boleh bercampur gaul ketika menghadiri konsert.
Syabas dan tahniah kepada JAKIM!
Panduan terbaharu tersebut bertujuan bagi mengelakkan belakunya fitnah di kalangan lelaki dan perempuan yang menghadiri program hiburan. Garis panduan tersebut diperakukan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 pada 10-11 Februari tahun ini.
Jakim turut mengingatkan penganjur rancangan hiburan supaya tidak membenarkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan semasa mengadakan latihan atau raptai.Selain itu antara garis panduan tambahan lain yang diperkenalkan ialah...
- sesebuah program hiburan itu hendaklah tidak mengandungi unsur-unsur ritual, tanda atau simbol yang bertentangan dengan ajaran Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung;
- perbuatan yang dilarang dalam Islam atau maksiat,
- atau perkara-perkara yang boleh membawa kepada situasi dan keadaan itu yang membawa kepada huru-hara atau gangguan ketenteraman awam.
Sebelum ini terdapat enam garis panduan konsert berdasarkan Edisi 2007 dan melalui esidi yang terbaharu, disenaraikan tambahan sebanyak 11 panduan. Turut disenaraikan adalah garis panduan konsert meliputi lagu, klip video, lirik dan persembahan.
Baru-baru ini acara hiburan yang melibatkan orang Islam menarik kritikan banyak pihak sejak klip video yang menunjukkan artis K-pop lelaki memeluk dan mencium peminat Melayu perempuan di atas pentas tersebar di Internet.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata kejadian itu "memalukan Malaysia dan masyarakat Islam".
Garis panduan ini boleh didapati di laman web Jakim.
Lihat juga laporan ini..
Jakim perketat peraturan, lelaki perempuan diasingkan di konsert
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan garis panduan baharu hiburan dalam Islam bagi rujukan pihak berkuasa, penganjur, penerbit dan pihak terlibat dalam aktiviti dan industri hiburan, dengan mengenakan peraturan ketat ke atas personaliti artis, pakaian, tingkah laku dan persembahan mereka.
Jakim juga membuat peraturan mengasingkan antara lelaki dan perempuan di kalangan penonton konsert dan persembahan pentas dan menyekat muzik dan lirik yang mempunyai unsur "menyembah " dan dianggap suci bagi penganut agama selain Islam.
Garis panduan itu dikeluarkan jabatan itu awal minggu ini selepas diluluskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-107 pada Februari dan boleh didapati dalam bentuk dokumen di laman web Jakim.Menurutnya, ia merupakan edisi kedua garis panduan itu.Di bawah peraturan itu, Jakim menetapkan, artis perlu mempunyai peribadi mulia dan akhlak yang baik dan tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan jenayah sama ada di bawah undang-undang syariah atau sivil.
Mereka juga mesti berpakaian menutup aurat, kemas dan sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton. Pakaian, tatarias dan dandanan rambut mereka tidak boleh menyerupai jantina berlainan, kata Jakim, sambil menambah mereka tidak boleh melakonkan watak yang menyerupai jantina berlainan.
Badan berkuasa agama itu menetapkan, lawak jenaka yang disampaikan artis hendaklah berpada dan tidak melampaui batas sehingga membawa kepada ketawa melampau. Begitu juga, sebarang lawak jenaka tidak boleh dilakukan pada perkara yang serius dan perkara perlu ditangisi.
Ia juga menetapkan semua persembahan juga tidak boleh menyentuh sensitiviti mana-mana agama, budaya dan bangsa dan tidak mengandungi unsur pemujaan atau penyembahan secara langsung atau tidak langsung kepada sesuatu makhluk atau peribadi lain.
Persembahan tarian pula tidak boleh mengandungi unsur lucah, membangkitkan nafsu atau lambang kata yang ditafsirkan lucah, kata Jakim, dan tidak ada percampuran antara lelaki dan perempuan dalam satu persembahan yang boleh menimbulkan fitnah.
Jakim juga menetapkan, muzik yang mengiringi persembahan mestilah mendorong kepada suasana positif dan menyuntik ketenangan serta tidak membangkitkan emosi negatif yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Garis panduan tersebut didasari keputusan muzakarah terdahulu pada Mei 1981 yang lebih menjurus kepada mencegah unsur maksiat dalam persembahan.
"Garis panduan ini diharapkan dapat memberi panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan agar setiap usaha yang dijalankan sentiasa dalam lingkungan syarak," kata Jakim sambil menyarankan setiap acara hiburan dirujuk kepada pihak berkuasa.
Garis panduan itu bagaimanapun tidak dianggap satu undang-undang oleh pihak berkuasa. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata awal tahun ini, mereka yang memberi kebenaran kepada sebarang persembahan konsert perlu mengingatkan penganjur agar mematuhi garis panduan yang ditetapkan Jakim.
Beliau berkata demikian pada Januari, selepas video berdurasi tiga minit dimuat naik di Internet, menunjukkan tiga peminat artis Korea Selatan, gadis muda bertudung, memeluk dan mencium penyanyi kumpulan B14A pada satu konsert mini di Live Centre di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Susulan video yang menimbulkan kekecohan itu, pihak berkuasa agama mengkritik aksi gadis dan ahli kumpulan K-pop itu, mengatakan mereka bertindak keterlaluan dan bertentangan dengan ajaran Islam, serta menyinggung sensitiviti umat Islam di negara ini. – 18 April, 2015. (The Malaysian Insider)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Apakah garis panduan ini begini tidak melibatkankan pemimmpin atau keluarga pemimpin seperti gambar-gambar maksiat di atas? Bolehkah menteri langgar peraturan ini?
Apakah peraturan begini tidak bercanggah dengan dasar parti UMNO/BN, yang memerintah negara ini? Kalau PAS, peraturan-peraturan begini sudah lama dikeluarkan dan berjalan lancar di Kelantan, kecuali yang dikuasai oleh peraturan Persekutuan, walaupun dalam negeri Kelantan. (IH)
No comments:
Post a Comment