Monday, April 13, 2015

Penggodam Pro-Arab Saudi Serang Stesen Tv Iran.

PAPARAN laman YouTube (bawah) dan akaun Twitter saluran berita al-Alam yang digodam.
TEHERAN – Beberapa penggodam mengambil alih akaun sosial stesen te­levisyen Iran, al-Alam serta menyiarkan sokongan terhadap serangan udara Arab Saudi ke atas pemberontak Houthi yang disokong Teheran di Yemen semalam, lapor media berkenaan.
Al-Alam menuduh kerajaan Arab Saudi menjadi dalang serangan siber itu untuk membalas kecamannya mengenai serangan udara Riyadh sejak 26 Mac lalu.
Kumpulan penggodam itu menggunakan akaun Twitter rasmi al-Alam untuk menyiarkan laporan palsu kematian ke­tua pemberontak Houthi di Yemen, Abdulmalik al-Houthi sehingga memaksa stesen televisyen berkenaan membuat penafian mengenainya.
“Akaun Twitter al-Alam dan rangkaian YouTubenya digodam hari ini (semalam) oleh Arab Saudi dan tergendala untuk sementara waktu,” kata al-Alam di laman webnya.
“Laporan profesional al-Alam mengenai kekejaman Arab Saudi di Yemen sejak beberapa minggu lalu menjadi puncanya,” tambahnya.
Penggodam-penggodam itu turut menyiarkan mesej Twitter yang didakwa mengandungi nama dan nombor telefon wartawan al-Alam di sekitar Asia Barat.
Hubungan antara Arab Saudi dan Iran yang menyokong fahaman Syiah merosot sejak pakatan tentera yang diketuai Riyadh melancarkan kempen pengeboman kerana mendakwa Teheran membantu membekalkan senjata kepada puak Houthi.
Satu rakaman video yang disiarkan kumpulan penggodam sama di akaun YouTube al-Alam memaparkan lagu pujian kepada pemerintah Arab Saudi, Raja Salman.
Al-Alam merupakan antara beberapa saluran berita bahasa asing kendalian badan penyiaran rasmi Iran, IRIB.
Setakat semalam, al-Alam menyatakan pihaknya sedang cuba untuk menguasai kembali beberapa akaun yang digodam itu. – AFP
Lihat .. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails