Saturday, May 30, 2015

Ahmad Awang Diserang, Sebagai 'budak suruhan DAP'..


Seminggu sebelum pemilihan PAS, kumpulan pendukung status quo dalam parti itu mula menyerang keras pencabar Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki (bawah) hari ini memberi amaran jika berlaku perubahan kepimpinan utama, parti itu pasti akan menjadi “budak suruhan DAP”.

“Sekiranya cubaan mereka menyingkirkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan kumpulan yang mendukung kepimpinan ulama berjaya, PAS selepas ini akan menjadi 'budak suruhan DAP' dalam Pakatan Rakyat,” kata Zuhdi.

Beliau juga mendakwa calon presiden Ahmad Awang mengetuai “kumpulan yang lunak dengan DAP” di samping “blok kepimpinan ulama” yang mendukung Hadi.

NGO lantang digerakkan ahli PAS, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), turut dispekulasi terlibat dalam sebuah “rancangan besar” untuk mempengaruhi keputusan pemilihan parti itu kali ini.

Hadi yang mewarisi kerusi presiden daripada presiden sebelumnya Datuk Fadzil Noor buat pertama kali dicabar dalam 13 tahun pentadbirannya.

Walaupun suara tidak puas hati terhadap anggota Parlimen Marang itu mula kedengaran sejak timbul idea kerajaan perpaduan beberapa tahun lalu, tiada calon dilihat layak mencabarnya sebagai pemimpin parti yang terlalu sinonim dengan idea kepimpinan ulama.

Justeru, Ahmad, bekas naib presiden dan presiden 17 tahun Persatuan Ulama Malaysia (PUM), dilihat calon terbaik mencabar Hadi walaupun tugas digalasnya dilihat amat sukar.

Sementara itu, Zuhdi juga hari ini terus menuding jari terhadap PasMa yang dipimpin oleh bekas exco kerajaan kedah Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Jenama baru kumpulan 1998

Zuhdi mendakwa PasMa sebagai “jenama baru” terhadap kumpulan yang mahu membawa wajah baru dan progresif PAS, yang didakwa wujud sejak tahun reformasi 1998.

“Kemunculan PasMa semasa pelancarannya di Pustaka Zahra, Kota Bharu, tahun lalu hanyalah kemunculan satu pertiga daripada kumpulan ini, manakala dua pertiga lagi masih tersembunyi.

Dengan erti kata lain, PasMa ini seumpama bongkah ais, yang muncul di permukaan air hanyalah satu pertiga, sedangkan dua pertiga lagi tenggelam di bawah air.

“Bagaimanapun, menjelang muktamar PAS yang bermula minggu hadapan, dua pertiga yang tenggelam itu mulai muncul,” katanya.

Zuhdi mendakwa PasMa menjadi pihak di belakang Ahmad.

Malah, katanya lagi, terdapat tokoh kumpulan itu mengiringi beliau sewaktu menyerahkan jawapan kesediaannya bertanding jawatan Presiden PAS baru-baru ini.

Zuhdi mendakwa program Ahmad banyak dianjurkan oleh anggota PasMa atau yang “mesra PasMa”.

“PasMa dalam muktamar kali ini, dilihat melakukan cubaan nekad untuk mencorakkan siapakah pimpinan PAS yang perlu dinaikkan dan siapa pula yang perlu diturunkan,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi Ahmad dan PasMa berhubung dakwaan itu. (MK)
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-101: Menjelang Muktamar 2015. Tenang, Tapi Ada Buaya?
E-Buku IH-101: Menjelang Muktamar 2015. Tenang, Tapi Ada Buaya? 

1 comment:

Ridzuwan said...

Memalukan apabila perebutan jawatan telah membuka pekong didada. Kenapa orang kafir membenci agama Islam, adakah agama Islam boleh dicontohi oleh non muslim? Pemimpin sepatutnya memberikan definisi yang tidak mementingkan jawatan peribadi.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails