Wednesday, May 27, 2015

DAP, Tutup Mulut.. Biar Kami Urus Sendiri. -Dr Mujahid.

 Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata tindakan pemimpin DAP yang menyerang PAS dianggap sokongan membawa rebah dan menjadi justifikasi mengapa PAS perlu menjauhi PR. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 Mei, 2015.
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata tindakan pemimpin DAP yang menyerang PAS dianggap sokongan membawa rebah dan menjadi justifikasi mengapa PAS perlu menjauhi PR. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 
 
DAP diminta menutup mulut atau berhenti bercakap dan menyerang PAS jika mereka benar-benar mahukan kumpulan yang pro-Pakatan Rakyat (PR) menang dalam pemilihan parti itu minggu depan.
 
Pemimpin PAS yang pro-PR berkata, serangan yang dibuat pemimpin DAP terhadap beberapa pemimpin PAS tidak membantu, malah menyusahkan mereka dalam pemilihan pada muktamar kali ini.
 
"Biar kami yang uruskan sendiri," kata Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa kepada The Malaysian Insider.

Bahkan, tindakan pemimpin DAP itu boleh dianggap 'sokongan membawa rebah' kerana ia dianggap justifikasi kenapa PAS perlu menjauhi PR, khasnya DAP, sebagaimana dibawa pendokong kumpulan pro-ulama sekarang.
 
"Serangan Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng, tambah menyusahkan kami dan menjadikan masalah lebih rumit," kata ahli jawatankuasa PAS Pusat itu.
Baginya, DAP dilihat seperti berkempen supaya sesetengah pihak dalam PAS menang, padahal mereka sepatutnya tidak campur tangan.
"DAP sepatutnya tunggu pemilihan selesai, baru buat apa-apa komen," kata Mujahid.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu antara pemimpin PAS yang mahu PR dipertahankan dan parti Islam itu kekal di dalamnya selepas Muktamar Tahunan PAS ke-61 dari 4 hingga 6 Jun nanti.
Beliau keras menentang pendekatan pemimpin utama PAS sekarang, khasnya presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang dilihat cuba menjauhkan diri dari PR.
Mujahid menolak pencalonan untuk naib presiden PAS, tetapi akan mempertahankan jawatannya sebagai AJK PAS Pusat dalam pemilihan itu nanti.
Seorang lagi pemimpin PAS yang pro-PR, Suhaizan Kaiat, juga tidak senang dengan kenyataan pemimpin DAP sekarang yang dianggapnya tidak kena dengan persepakatan dalam gabungan itu.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pemuda PAS itu berkata anak muda Malaysia memerhati dengan penuh minat pengurusan konflik dalam politik di negara ini.
Beliau sangat tidak senang dengan kenyataan Guan Eng, selaku setiausaha agung DAP, yang menuduh Hadi condong kepada Umno.
 
"Tuduhan ini memberi gambaran buruk kepada anak muda Malaysia.
"Bagaimana dua pemimpin yang duduk sepentas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, dan duduk sebaris dalam Parlimen, boleh bertembung antara satu sama lain?
"Apakah sudah tiada jalan yang bijaksana mengurus masalah?" kata Suhaizan dalam kenyataannya.
 
Jika konflik ini berteruskan, katanya, anak muda akan menganggap pemimpin PR hipokrit.
Lebih malang lagi, mereka akan menganggap tiada beza antara PR dan Barisan Nasional yang jelas penuh dengan pelbagai masalah.
Baginya, pemimpin PR wajar memahami, setiap pemimpin ada pendokong dan penyokongnya.
 
"Kami Pemuda PAS membesar bersama tarbiyah daripada Hadi. Kami pendokong presiden PAS.
"Walau presiden tidak maksum, kami tidak dapat menerima tuduhan liar Guan Eng kepada batang tubuh presiden kami," katanya.
 
Suhaizan berkata, jika pun ada kelemahan pada Hadi, tidak bijak menuduh beliau condong kepada musuh PR, iaitu Umno.
Masih banyak lagi saluran yang boleh digunakan untuk menyelesaikan konflik, katanya.
Mengulas kenyataan Guan Eng yang hanya badan Hadi bersama PAS, tetapi hatinya sudah bersama Umno, Suhaizan berkata ia akan mengundang tindak balas daripada daripada semua bahagian dalam PAS, termasuk sayap utama parti dan semua peringkat pusat dan negeri.
 
"Kawasan dan cawangan, semua akan marah dengan kenyataan tersebut. Mereka ada hak untuk berasa marah dan menzahirkan kemarahan dengan kenyataan seumpama itu.
"Mungkin ada pihak akan bertindak luar kawalan. Ini akan menyebabkan Pemuda DAP pula bertindak balas. Maka berlakulah pertembungan yang bertali arus. Dan ini akan mengurangkan keyakinan rakyat kepada PR," katanya.
 
Sehubungan itu, beliau mewakili Pemuda PAS mendesak Guan Eng serta pimpinan DAP dan PR agar menggunakan kebijaksanaan masing-masing menguruskan konflik yang berlaku.
 
"Jangan hancurkan harapan rakyat khususnya anak muda yang mahu melihat Malaysia yang lebih unggul dan sejahtera di bawah PR dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti," katanya.
 
Guan Eng membuat kenyataan itu semalam, susulan tindakan Hadi yang tidak menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh awal bulan ini.
 
“Bukan sahaja tidak hadir ke kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, beliau malah tidak menyatakan sokongan terbuka kepada Dr Wan Azizah.
“Ini menunjukkan walaupun tubuh badan beliau masih bersama PR, hatinya sudah bersama Umno,” kata Guan Eng di lobi Parlimen.
 
Pada Ahad, Kit Siang yang merupakan ketua Parlimen DAP menulis di blognya, PR mungkin tidak wujud lagi 2 minggu akan datang susulan kenyataan Hadi yang dilihat condong ke arah membina kerajaan perpaduan dengan Umno-BN. – 26 Mei, 2015. (TMI)

2 comments:

Anonymous said...

Ya Allah, selamatkanlah parti PAS yg sgt kami sayangi. Singkirkanlah Utz Haji Hadi Awang dari jawatan President dan juga kuncu2nya puak2 Ustaz yg pemikiran mereka semakin hari semakin sempit spt Utz Nik Abduh agar tidak memenangi dlm pertandingan Ketua Pemuda. Doa kami agar Utz Ahmad Awang memenangi pertandingan jawatan President dan seterusnya menjadi pemimpin PAS yg baru. Amiin Amiin Ra'Rabbal Alamin

Anonymous said...

Yang menongkah arus adalah yang bersongkol dengan pikir ringgit yang kecewa dan ahli PAS yang terlalu lemah jiwanya yang gilakan pangkat. Islam untuk Malaysia.Bukan pikir ringgit. Yang rugi adalah Islam yang berpecah.Islam berimankan wang ringgit, berimamkan sekular, yang berimankan kenyataan yang dibawa puak musuh Islam yang tersenyum lebar.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails