Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin..
KL: Malaysia halau pelarian Myanmar dan Bangladesh kerana tamak rezeki.
Sikap Malaysia menghalau beribu-ribu pelarian dari Myanmar dan Bangladesh yang terkandas di lautan menunjukkan ketamakan umat Islam negara ini yang tidak bersimpati terhadap nasib menimpa saudara mereka, kata Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin.
"Namun atas ketamakan kita, bimbang rezeki kita dikongsi orang, kita halau mereka bersabung nyawa di lautan. Kita lupa, jika Allah kehendaki rezeki yang di tangan pun boleh hilang," tulis beliau dalam laman Facebook.
Tindakan Malaysia, Indonesia dan Thailand menolak ke laut beribu-ribu pelarian yang kebanyakannya daripada masyarakat terpinggir Rohingya dikritik pertubuhan hak asasi dan juga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang memberi amaran ia mengundang krisis kemanusiaan yang hebat.
Kira-kira 8,000 pendatang dianggarkan terkandas di perairan di antara Laut Andaman dan Selat Melaka, menurut aktivis, susulan operasi besar-besaran pihak berkuasa Thailand membanteras aktiviti jenayah pemerdagangan manusia. Kebanyakan mereka dikatakan ditinggalkan penyeludup, dan kini terapung di atas perahu-perahu buruk di tengah lautan, selepas keengganan negara serantau memberikan perlindungan.
Dipercayai kira-kira 1,000 mereka dilaporkan ditahan di Depot Tahanan Imigresen Belantik, namun usaha sekumpulan ahli Parlimen DAP melawat mereka dihalang hari ini. Putrajaya semalam mengumumkan kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya menguruskan krisis itu, tetapi masih tidak menyatakan pendirian mengenai status pelarian, yang tidak diiktiraf Malaysia. Asri membandingkan cara umat Islam melayan pelarian dengan negara Eropah yang bukan Islam.
"Sedangkan negara-negara Eropah yang tidak Muslim itu pun, cuba menyelamatkan pelarian di lautan mereka, kita yang kononnya sakan 'selawat perdana' dengan ratusan ribu harga bayaran, sanggup melihat manusia mati di lautan demikian rupa kerana bimbang rezeki kita dikongsi orang.
"Kemudian, kita beritahu 'kita Muslim terbaik'?!" soal Asri. Asri bagaimanapun memuji sikap kerajaan tempatan Aceh yang memberi perlindungan kepada pelarian.
"Ketika dunia senyum; 'lihat Muslim, mereka sendiri sanggup melihat sesama mereka mati', kesanggupan Aceh itu melindungi maruah umat ini," katanya. – 16 Mei, 2015. (IH/TMI))
No comments:
Post a Comment