Tuesday, May 19, 2015

Dr Mujahid: Teima Pencalonan AJK PAS Pusat, Tolak N/Presiden.


PERJUANGAN memakan masa yang lama, ia tidak dinamakan perjuangan tanpa perjalanan yang panjang dan sebuah pengorbanan yang mahal harganya. Perjalanan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk kekal di persada perjuangan menyaksikan ramai pemimpin PAS yang datang dan pergi, tidak ketinggalan yang pergi ‘meninggalkan’ perjuangan atau yang istiqamah hingga di titik akhir nafasnya.

Patah tumbuh, hilang berganti, begitulah pewaris PAS meneruskan galas-ganti amanah menetapkan garis perjuangan supaya tetap di paksinya. PAS tidak pernah kemarau dengan pelapis yang senantiasa memenuhi ruang legar kepimpinan yang cukup untuk semua kerana setiap individu dalam parti dalam setiap posisinya ada peranan masing-masing, yang utama ialah mencurahkan kebaktian untuk parti.

Almarhum Pak Yusof Rawa senantiasa menitipkan kepada saya, 

“Jika Allah SWT mengkehendaki anda berada di dalam kepimpinan, tiada sesiapapun yang mampu menghalang anda, tetapi jika DIA tidak mengkehendaki anda berada di sana, walaupun seluruh ahli parti mahukan anda berada di sana, anda tidak akan sesekali berada di sana.


Tambah Almarhum, 

“Apabila anda berada di dalam sesuatu posisi atau jawatan, anda perlu tahu apabila tiba masanya, anda perlu pergi dan letak jawatan tersebut”.

Pak Yusof Rawa tidak hanya mengungkapkan kata-kata sahaja, bahkan beliau mempraktikkannya. Dalam satu muktamar, seorang perwakilan dari Dewan Pemuda yang juga AJK PAS Pusat mengemukakan satu usul menyalahkan CCC (Chinese Consultative Council) sebagai faktor utama kemerosotan sokongan terhadap PAS. 

Pak Yusof Rawa menanggapi usul tersebut adalah satu penolakan terhadap kepimpinannya. Lantas beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai Presiden PAS walaupun kemudiannya beliau menarik balik keputusan tersebut setelah dipujuk oleh parti.

Organisasi parti politik Islam meletakkan akhlak dan etika bersaing dalam perspektif batasan-batasan yang pokoknya ialah persaingan yang sihat. Tidak semua persaingan itu buruk, dalam Islam persaingan ke arah kebaikan diungkapkan dalam kata-kata “fastabiqul khairat” ( berlumba-lumbalah ke arah kebaikan).

Bersaing dalam Islam juga meletakkan adab tidak menjatuhkan lawan dengan tohmahan dan tuduhan tetapi yang dikritik dan dibahaskan ialah ide dan pendapat berasaskan dalil dan hujah. Dalam mendebatkan ide perlu dijauhi nilai-nilai permusuhan dan kebencian manakala keikhlasan adalah jambatan utama antara pesaing.

Paling buruk ialah kemampuan dan kelayakan ditutup oleh ‘kegilaan’ kelompok yang mahu memenangkan kumpulannya bukan memenangkan ide yang terbaik untuk parti. Jika asas bersaing itu untuk ide terbaik maka parti akan mendapat yang terbaik, tetapi apabila asas bersaing itu ialah kekelompokan maka yang menang ialah kelompok dan belum tentu mereka ada ide untuk memajukan parti.

Secara asasnya kepimpinan terhadap sesuatu urusan dinilai dari firman Allah SWT dalam surah Al Qasas ayat 26 yang menyebut ciri “kelayakan” (al Qawiy) dan “amanah” (al Amin). Beberapa ulama salaf membahaskan persoalan kelayakan dan keimanan dibandingkan dengan kemaslahatan umum. 

Mereka membahaskan jika seseorang calon kepimpinan kuat keimanan itu tapi lemah keupayaanya dibandingkan dengan calon yang kelemahan iman tetapi lebih berupaya, maka didahulukan yang lemah iman tetapi lebih upaya daripada kuat iman tetapi tidak upaya.

Alasan atas kemaslahatan yang lebih besar diberikan kerana lemahnya atau kuatnya iman seseorang adalah untuk dirinya manakala keupayaan mentadbir dan memimpin adalah untuk manfaat orang ramai maka didahulukan maslahat untuk orang ramai.

Perbahasan ini dikupas panjang oleh Ibnu Taimiyah dan Ibnu Khaldun dengan penuh kesedaran bahawa tanggungjawab memimpin adalah untuk kepentingan umum dan bukan untuk diri sendiri atau kelompok tertentu sahaja. Inilah asas yang perlu diperbahaskan dalam persaingan jawatan.

Bagi memenuhi kehendak perlembagaan parti, muktamar kali ini menuntut para perwakilan memilih kepimpinan baru di semua peringkat. Bagi peringkat Pusat, saya telah dicalonkan oleh beberapa kawasan sebagai mengisi jawatan Naib Presiden dan AJK PAS Pusat. 

Saya merakamkan jutaan terima kasih ke atas penghormatan yang diberikan terhadap saya dalam pencalonan ini dan saya amat menghargainya.

Dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, saya MENERIMA pencalonan sebagai AJK PAS Pusat dan TIDAK MENERIMA pencalonan sebagai Naib Presiden. Saya mengucapkan terima kasih kepada kawasan-kawasan yang mencalonkan saya sebagai Naib Presiden, namun saya yakin barisan nama yang dicalonkan untuk jawatan tersebut lebih berwibawa dan berkemampuan serta berlayakan.

Semoga muktamar kali ini menyaksikan pemilihan pimpinan yang terbaik dan saya doakan kepada rakan-rakan seperjuangan daripada calon-calon yang menerima semoga bersainglah dengan akhlak Islam dan garis panduan yang disediakan oleh jawatankuasa pemilihan parti.

Al-Faqir Ila Afwi Rabbihi
Mujahid Yusof 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails