KAHERAH – Ulama Islam terkenal, Sheikh Yusuf al-Qardhawi mengutuk hukuman mati yang dijatuhkan ke atas dirinya, bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi dan 105 penyokong kumpulan Ikhwanul Muslimin kerana melarikan diri dari penjara sewaktu kebangkitan rakyat Mesir pada 2011.
Dalam satu kenyataan video yang dimuat naik Qardhawi di laman Twitternya semalam, ulama yang menetap di Qatar itu berkata, pemerintah Mesir telah mencabuli undang-undang Islam.
“Undang-undang pemerintah Mesir tiada nilai dan tidak boleh digunapakai kerana mereka melanggar peraturan Allah, menyalahi undang-undang kemanusiaan. Tiada sesiapa akan menerimanya,” kata Qardhawi dalam wawancara bersama saluran Al Jazeera.
Berdasarkan hukuman mati di Mesir, keputusan perbicaraan kelmarin itu akan dirujuk kepada Mufti Besar Mesir, Shawki Ibrahim Abdel-Karim Allam untuk mendapat pandangannya.
Selepas menimbang pandangan Shawki, mahkamah dijangka mengumumkan keputusan akhir pada 2 Jun depan.
Hukuman itu adalah berkaitan dengan tindakan Morsi melarikan diri bersama pemimpin-pemimpin Ikhwanul Muslimin yang lain dari sebuah penjara di utara Kaherah ketika berlakunya kebangkitan penduduk Arab pada 2011.
Bagaimanapun, Qardhawi menafikan penglibatannya dalam perkara itu dan menyatakan beliau berada di Qatar pada waktu kejadian.
Diiktiraf sebagai salah seorang ulama terkemuka dunia Islam, rancangan keagamaan Qardhawi di Al Jazeera ditonton oleh jutaan penonton.
Kritikannya terhadap Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, bekas ketua tentera menyebabkan ketegangan antara Qatar dan beberapa negara Arab meningkat.
Arab Saudi menganggap Ikhwanul Muslimin sebagai sebuah pertubuhan pengganas dan telah membiayai banyak dana untuk membantu Abdel Fattah memerangi mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, khutbah Jumaat oleh Qardhawi yang sepatutnya disiarkan Al-Jazeera pada Jumaat lalu telah dibatalkan ekoran kritikannya terhadap pemerintah baharu Mesir itu.
“Adalah menjadi hak rakyat untuk memberontak menentang rasuah dan ketidakadilan. Saya masih menyeru rakyat (Mesir) untuk memberontak,” tegasnya. – Agensi
No comments:
Post a Comment