Monday, May 04, 2015

Tahniah Indonesia, Larangan Penjualan Arak..

ANGGOTA penguat kuasa tempatan ini melakukan pemeriksaan di sebuah kedai mini di Surabaya, Indonesia baru-baru ini.

INDONESIA tetap menguatkuasakan larangan penjualan minuman beralkohol oleh peruncit-peruncit kecil, walaupun menerima bantahan daripada industri minuman keras terutamanya di kawasan-kawasan tumpuan pelancong.

Larangan ke atas jualan bir dan minuman campuran seperti wain dan minuman ringan hanya berkuat kuasa di 16,000 kedai mini dan 55,000 kedai kecil namun, hotel, restoran dan bar tidak terjejas. Walaupun ia masih baru dilaksanakan tetapi sudah ada kebimbangan mengenai pengharaman tersebut terhadap industri pelancongan terutamanya di Bali.

Sewaktu mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin masyarakat, Menteri Perdagangan, Rachmat Gobel berjanji akan melonggarkan larangan di pulau peranginan itu bagi membolehkan bir dijual di tepi-tepi pantai. Kedai-kedai serbaneka di Jakarta mula mengosongkan minuman keras di rak peti sejuk dan menggantikannya dengan minuman bergas sambil menampal papan tanda memohon maaf kepada pelanggan atas kesulitan yang berlaku.

Hanya sebilangan kecil peruncit dibenarkan untuk menyimpan minuman beralkohol. Peraturan tersebut dilihat sebagai satu usaha untuk mengharamkan minuman keras di negara yang mempunyai penganut Islam terbesar dunia itu. Seorang pelancong dari Jerman, Daniel Kowalski berkata, dia cuba membeli sebotol bir dari sebuah kedai di Jakarta, namun ia tidak dijual.

“Saya fikir para pelancong tidak menggemari peraturan ini. Semua orang suka minum bir.
“Sesetengah orang mengatakan jika tidak dapat membeli bir di sini lebih baik melancong di Thailand,” katanya.

Larangan tersebut juga menandakan bahawa golongan konservatif di negara yang mempunyai 250 juta orang penduduk itu mula menolak pengambilan alkohol. Baru-baru ini, sebuah parti Islam di negara kepulauan itu mencadangkan agar penjualan minuman alkohol dilarang sama sekali. Bagi Kementerian Perdagangan, larangan tersebut dilakukan atas dasar kesihatan dan keruntuhan moral dalam kalangan masyarakat tempatan. Gejala meminum minuman alkohol dalam kalangan remaja bawah umur juga semakin membimbangkan.

“Kami mahu melindungi generasi belia,” ujar Gobel.

Sementara itu, Pengasas Pergerakan Antialkohol Kebangsaan, Fahira Idris menyamakan alkohol sebagai sebuah mesin pembunuh kepada remaja di negara tersebut.

“Para sukarelawan kami selalu terserempak dengan remaja yang membeli minuman alkohol dengan mudah di kedai-kedai mini,” katanya kepada AFP.

Gergas Multinational Diage yang bertanggungjawab mengedar minuman berjenama terkenal seperti Guinness di Indonesia memaklumkan, larangan tersebut menyebabkan prestasi syarikat tersebut merosot pada suku pertama tahun ini. Selain itu, seorang jurucakap kepada syarikat arak paling popular di Indonesia, Heineken, Bintang berkata, larangan tersebut akan menjejaskan pasaran arak tempatan sambil Persatuan Brewers Indonesia turut menyuarakan nada yang sama.

Dalam pada itu, Pembela Kesihatan memberi amaran bahawa larangan tersebut boleh menyebabkan peningkatan permintaan arak dalam pasaran gelap. Arak di pasaran gelap dipercayai berbahaya dan boleh membawa maut.
PENGUATKUASAAN larangan penjualan minuman beralkohol didakwa menjejaskan pasaran arak Indonesia.
Mimpi ngeri

“Langkah mengehadkan penjualan arak di pasaran satu mimpi ngeri,” ujar Lhani Davies, seorang warganegara Australia yang kematian anak berusia 19 tahun selepas keracunan metanol ketika meminum bir di sebuah bar di Indonesia.

Jangkaan awal mendapati bahawa, pelaksanaan peraturan tersebut tidak memberi kesan kepada penduduk tempatan memandangkan Indonesia merupakan negara paling rendah pengguna alkohol di Asia Tenggara. Hal ini kerana, hampir 90 peratus rakyat Indonesia merupakan penganut agama Islam yang melarang umatnya meminum alkohol. Namun begitu, minuman alkohol boleh didapati secara meluas di bandar-bandar besar dan kawasan pelancongan manakala data menunjukkan bahawa industri penjualan bir berkembang sebanyak lima peratus setahun.

Cadangan untuk mengharamkan penjualan dan mengenakan hukuman penjara selama dua tahun kepada pesalah telah dikemukakan oleh dua parti Islam terbesar negara tersebut di Parlimen walaupun cubaan sebelum ini menemui kegagalan. – AFP

Tahniah Indonesia, atas cubaan larangan arak!! (IH)

No comments:

Post a Comment