SUKAN
SKUAD memanah wanita negara melakar kemenangan bersejarah apabila merangkul kejuaraan dalam acara compound Piala Dunia Memanah 2015 di Shanghai, China semalam.
Tahniah!
Pada aksi akhir itu, trio negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Nor Rizah Ishak dan Saritha Cham Nong berjaya mengetepikan pasukan No. 1 dunia, Amerika Syarikat (AS) yang diwakili Crystal Gauvin, Angela Bradley dan Lexi Keller dengan mata 220-219.
Meskipun menghadapi tentangan sengit daripada AS yang mendahului tiga mata di depan selepas pusingan pertama, skuad negara berjaya merapatkan kedudukan pada 111 dan 166. Bagaimanapun, tuah menyebelahi pasukan negara apabila enam panahan terakhir pada bulatan sembilan bagi meraih pingat emas pertama mereka dalam kejohanan Piala Dunia.
Lebih menakjubkan, kejayaan luar biasa pemanah compound negara itu merupakan penampilan kedua mereka dalam siri tahunan tersebut setelah sekian lama berada di bawah bayangan pemanah lelaki.
“Semangat berpasukan punca kejayaan,” jelas Fatin Nurfatehah dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh laman web kejohanan, www.worldarchery.org.
Skuad kebangsaan yang layak ke pusingan penyingkiran selepas muncul pasukan keempat terbaik pada pusingan kelayakan, menewaskan musuh ketat mereka pada Sukan SEA iaitu Vietnam 220-212.
Trio negara yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2014 di Incheon turut mengalahkan India 220-216 pada dua halangan pertama untuk menempah tempat ke separuh akhir menentang juara bertahan Eropah, Rusia.
Trio negara mengalahkan gandingan Rusia itu 219-215 di peringkat separuh akhir. Skuad Rusia yang diketuai pemanah ketiga terbaik dunia, Natalia Andreeva meraih pingat gangsa selepas menewaskan juara bertahan dunia dari Colombia 233-229.
Sedikit Tentang Memanah.
Antara sukan atau hiburan yang dibenarkan oleh
syara’ dalam Islam ialah bermain memanah dan perang-perangan. Sebab jika dilihat dalam sejarah Islam...
- Di satu masa Nabi Muhammad SAW pernah berjalan-jalan menjumpai sekumpulan sahabatnya yang sedang mengadakan pertandingan memanah. Maka waktu itu Rasulullah SAW. memberikan dorongan kepada mereka dengan sabdanya: “Lemparkanlah panahmu itu, saya bersama kamu.” (Riwayat Bukhari)
- “Dan bersiap-siaplah kamu untuk menghadapi mereka (musuh) dengan kekuatan yang kamu sanggup.”
Dalam menafsirkan ayat ini Rasulullah
bersabda:
- “Ketahuilah! Bahawa yang dimaksud ‘kekuatan’ itu ialah memanah – beliau ucapkan kata-kata itu tiga kali.” (Riwayat Muslim)
Dan sabdanya pula:
- “Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.” (Riwayat Bazzar, dan Thabarani dengan sanad yang baik)
Namun begitu, Rasulullah SAW.
memperingatkan para pemain agar tidak menjadikan binatang-binatang jinak
dan sebagainya sebagai sasaran latihannya, sebagaimana yang biasa
dilakukan oleh orang-orang Arab jahiliah.
- Abdullah bin Umar pernah melihat sekumpulan manusia yang sedang berbuat demikian, kemudian Ibnu Umar mengatakan: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. melaknat orang yang menjadikan sesuatu yang bernyawa sebagai sasaran memanah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dilarangnya permainan seperti itu kerana
terdapat unsur-unsur penyiksaan terhadap binatang dan meragut jiwa
binatang serta memungkinkan untuk membuang-buang harta, Tidak benar
kalau permainan manusia itu dengan mengorbankan makhluk hidup yang lain.
- Diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengisahkan: “Nabi SAW melalui satu kawasan di mana sahabat sedang memanah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya datuk kamu, Nabi Ismail adalah seorang pemanah. Memanahlah dan aku bersama Bani Fulan (salah satu kumpulan pemanah).” Lalu kumpulan satu lagi berhenti memanah. Rasulullah SAW bertanya: “Kenapa kamu berhenti memanah?” Jawab sahabat: “Bagaimana kami hendak memanah kamu berada bersama kami.” Nabi SAW menjawab: “Memanahlah, aku bersama kamu semua.” (Hadis riwayat Bukhari)
Sukan memanah adalah sukan yang baik dan dituntut oleh agama Islam, agama bagi negara ini. Cuma, deligasi atlet sukan negara perlu diperkemas dan di'profesional'kan lagi supaya sesuai dengan agama (rasmi) bagi Persekutuan ini. Supaya kegiatan sukan menjadi kegiatan ibadat yang diterima oleh Allah SWT, di dunia dan di akhirat.
Atlet yang bukan Islam pun, tetap boleh bernaung dibawahnya. (IH)
1 comment:
Pada zaman sekarang, sukan menembak juga termasuk dalam maksud hadith itu. Lebih relevan ialah usaha penyelidikan untuk memperbaiki ketepatan, jarak dan kuasa ledakan senjata ringan, peluru berpandu dan meriam. Skil anggota tentera tetap dan simpanan juga perlu mahir mengendali pelbagai jenis senjata.
Post a Comment