Sehingga tiba ke satu titik apabila beliau diserang penyakit batuk kering selama setahun dan pernah hampir mati lemas di sebuah pantai yang sejuk membeku di Malibu, Los Angles, tragedi itu membuka jiwa lelakinya untuk mencari dan terus mengkaji agama sebenar di dunia ini.
Beliau akhirnya bertemu sinar agama paling indah dan tenteram iaitu Islam. Segalanya bermula selepas beliau mengkaji dengan terperinci isi kandungan kalam Allah iaitu kitab suci al-Quran. Sebaik terpaut hati dengan Islam, lelaki yang pernah harum sebagai Cat Stevens itu menukar namanya menjadi Yusuf Islam.
Kini, selepas tempoh 35 tahun bergelar lelaki Muslim, Yusuf, 67, tampil dengan buah tangan hasil penulisannya sendiri yang diluahkan dalam sebuah buku berjudul Why Do I Still Carry A Guitar. Naskhah tersebut kemudian diterjemahkan dalam bahasa Melayu terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan judul Mengapa Saya Masih Memetik Gitar.
Perjalanan saya menuju agama Islam
“Secara total, buku ini menceritakan perjalanan saya menuju agama Islam. Ia bermula dari awal ketika saya masih bergelar Cat Stevens, sehinggalah kepada sekarang, menjadi seorang lelaki bernama Yusuf Islam.
“Bagaimana saya mengenal agama suci ini, bagaimana saya jatuh cinta dengan Islam dan bagaimana saya mempelajari serta mendalami agama ini secara meluas, segalanya telah saya ceritakan dengan terperinci di dalam buku ini. Tiada satu pun yang tertinggal,” ujar Yusuf yang kini menetap bersama keluarganya di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.
Mengapa Saya Masih Memetik Gitar, ia merupakan satu simbolik yang menceritakan dengan jelas bagaimana seorang bekas bintang ternama dan digilai ramai, sanggup menolak segala kemasyhuran itu selepas mengenal Islam.
“Buku ini bukan sekadar tentang muzik tetapi apa yang berlaku dalam hidup saya sejak memeluk Islam sekitar tempoh 35 tahun lalu.
“Tidak dinafikan, sewaktu mula-mula mengenal Islam, saya sangkakan agama ini tidak membenarkan umatnya berhibur. Tanggapan masyarakat pada waktu itu juga membuatkan saya terpaksa mengasingkan diri dari dunia glamor,” ujarnya mengenai tindakan awal beliau menyepi daripada industri hiburan.
Namun, perlahan-lahan momokan negatif itu beransur pergi. Yusuf kemudian menyedari, Islam agama yang mendamaikan. Malah, Islam juga memberi inspirasi kepadanya untuk menjadi penghibur tetapi berlandaskan jalan yang benar.
“Jadi, tidak semestinya kita perlu melupakan bakat seni yang laju mengalir dalam jiwa. Sepatutnya, sebagai seorang Muslim, kita perlu tahu bagaimana caranya untuk menjadikan dunia hiburan sebagai medium dakwah terbaik kepada masyarakat.
“Islam itu memudahkan. Apa yang penting kita tahu mengawal diri dengan melakukan perbuatan baik dan diredai Allah, insya-Allah segalanya akan tampak sempurna.
“Sebab itu, sekarang saya masih lagi memetik gitar,” ujarnya mengenai signifikan judul naskhah yang ditulis dan jalur kehidupannya kini.
Penyanyi yang pernah terkenal dengan lagu Father and Son itu kemudian memanjangkan bicaranya. Beliau mengakui, pencapaian dan penemuan terbesar yang hadir dalam kesempatan hidupnya ialah mengenali keagungan Islam.
“Selepas masuk ke dunia Islam sebenar, saya mengenali perbezaan ketara budaya, cara hidup dan masyarakat Muslim yang jauh berbeza berbanding daripada gaya hidup orang Barat,” ungkap Yusuf tanpa ragu.
Bagaimanapun, Yusuf tidak menafikan pada fasa awal menjadi orang Muslim, beliau pernah berasa was-was. Apakah Islam melarang umatnya untuk mendekati ilmu muzik?
“Perkara itu membuatkan saya ragu-ragu dan keliru bagaimana mahu meneruskan legasi muzik meskipun sudah bergelar Muslim.
“Memastikan karier seni saya sentiasa berada di puncak bukanlah agenda utama mengapa saya memeluk Islam. Bagaimanapun, daripada agama ini saya memastikan cara untuk kekal berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling adalah menerusi dakwah.
“Sejak itu, saya memutuskan untuk kembali semula dalam industri hiburan bagi menyampaikan dakwah kepada orang lain. Kini, muzik dan dakwah telah menjadi keutamaan dalam hidup saya,” tutur Yusuf tenang.
Tidak menolak transisi agamanya pada waktu itu dikecam hebat oleh masyarakat Barat, Yusuf hanya mengambil langkah bijak sama seperti amalan Nabi Muhammad semasa berdepan masyarakat kafir Quraish dahulu.
Berdiri di tengah padang pasir memegang lilin..
Ujarnya yakin:
“Ia umpama saya berdiri di tengah padang pasir yang luas dan berangin kuat sambil memegang sebatang lilin. Ia sangat sukar. Penerimaan masyarakat dan media di Barat sangat negatif apabila saya memutuskan untuk berhenti dari dunia penuh kepalsuan dahulu.
“Namun, ia bukan suatu halangan yang besar untuk dihadapi. Apatah lagi, pada waktu itu saya tanamkan dalam hati dengan pegangan Islam yang begitu utuh.
Ditanya apakah yang sudah direncanakan buat penggemarnya pada masa akan datang selepas penerbitan Mengapa Saya Masih Memetik Gitar, beritahu Yusuf, beliau merancang untuk menerbitkan sebuah dokumentari mengenai buku tersebut. (IH/Kosmo!)
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-43: Kisah-kisah Saya Pilih Damai... Islam
No comments:
Post a Comment