HALAMAN HIBURAN
SITTWE, Myanmar – Bintang Hollywood, Mat Dillon (gambar) menggunakan popularitinya untuk mengetengahkan isu penderitaan kaum minoriti Islam Rohingya dengan melawat sebuah kem yang dihuni puluhan ribu etnik berkenaan dan sebuah pelabuhan tempat mereka memulakan pelayaran merentasi lautan untuk mencari kehidupan baharu di negara asing.
“Ia sungguh menyayat hati,” katanya selepas menemui seorang pemuda yang cedera di kaki akibat kemalangan jalan raya tetapi tiada tempat untuk mendapatkan rawatan.
Ibu-ibu pula dilihat mendukung bayi mereka yang menunjukkan tanda-tanda kekurangan zat makanan sambil berdiri di luar pondok-pondok bambu.
“Tiada sesiapa yang patut hidup sebegini, mereka (Rohingya) sungguh menderita,” kata Dillon. Dia merupakan antara beberapa selebriti pertama yang berpeluang melihat sendiri kehidupan etnik Islam Rohingya di negeri Rakhine, barat Myanmar.
“Mereka dijerut perlahan-lahan, mereka tiada masa hadapan dan tiada tempat untuk pergi,” katanya.
Walaupun etnik Rohingya telah menjadi mangsa diskriminasi yang disokong pemerintah Myanmar sejak beberapa dekad lalu, situasi menjadi semakin dahsyat sejak tiga tahun lalu selepas negara dengan majoriti penduduk beragama Buddha itu memulakan perubahan daripada pemerintahan diktator kepada pentadbiran demokrasi.
Myanmar mempunyai kira-kira 50 juta penduduk.
Kebebasan bersuara yang baharu dikecapi di Myanmar digunakan oleh sami-sami pelampau untuk menghasut kebencian terhadap etnik Rohingya.
Beratus-ratus penduduk Rohingya dibunuh oleh penduduk beragama Buddha yang bersenjatakan parang, manakala kira-kira 250,000 orang kini tinggal di kem-kem daif atau meninggalkan Myanmar dengan menaiki bot sebelum hanyut ke perairan Asia Tenggara sejak beberapa minggu lalu.
Etnik Rohingya dinafikan kerakyatan dan tidak mempunyai negara.
“Saya pernah melawat kawasan di mana ancaman keganasan lebih teruk,” kata Dillon yang pernah mengunjungi kem pelarian di Sudan, Congo dan beberapa kawasan lain.
“Keadaan di sini berbeza, mereka seperti dibiarkan untuk mati,” tambahnya.
Menurut Dillon, dia memutuskan untuk datang ke Myanmar selepas menerima rayuan daripada seorang aktivis Rohingnya, Thun Khin pada satu majlis mengumpul dana pelarian di Washington sebulan lalu. – AP
No comments:
Post a Comment