LIHAT pendedahan ini, Perdana Menteri Najib perlu letak jawatan?
E-Buku IH-102: Pendedahan Ini, PM Akan Letak Jawatan?
Minggu lalu, kebanyakan orang Malaysia tidak mengenali Xavier Andre Justo, rakyat Switzerland berusia 49 tahun yang kini dalam tahanan polis Thailand.
Secara tiba-tiba, Justo menjadi popular apabila ditangkap Isnin lalu, berhubung tuduhan memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi International.
Serentak dengan penahanan Justo, akhbar kawalan kerajaan Malaysia menerbitkan berita yang memburuk-burukkannya, walau warga Switzerland itu belum lagi dituduh di mahkamah.
Akhbar New Straits Times semalam contohnya, merumuskan dengan yakin bahawa Justo seorang kaki joli.
"Apa yang menyebabkan beliau melakukan jenayah? Nampaknya, jawapannya adalah untuk membiaya kehidupan mewahnya.
"(Imej) Justo di media sosial memberi gambaran kehidupan hedonistik dan kemewahan - rumah agam di syurga, kolam mandi, gelanggang tenis dan menggayakan tattoo sambil duduk di atas motosikal Harley Davidson," laporan itu dipetik.
Sudut laporan ini samalah dengan pendedahan di Internet sebelum ini mengenai gaya hidup mewah jutawan Jho Low, yang dikaitkan dengan 1MDB.
Begitu juga dengan gaya hidup penasihat komunikasi Najib, Paul Stadlen yang digambarkan sering berparti dan minum arak di blog Sarawak Report.
Adakah Justo, bekas pengarah jabatan teknologi maklumat PetroSaudi International, diburuk-burukkan sebegitu rupa untuk membalas dendam? Akhbar peniagaan The Edge dan laman berita Sarawak Report juga kini menjadi sasaran kerajaan kerana menerbitkan laporan berdasarkan maklumat daripada Justo.
Menurut Zahid Hamidi, maklumat diperolehi Sarawak Report yang kemudiannya dilaporkan oleh The Edge itu merupakan maklumat yang tidak benar memandangkan fakta sebenar telah "diuli".
Beliau merujuk kepada emel dan dokumen yang berpunca daripada Justo. Menurut laporan akhbar New Straits Times, Justo meminda e-mel dan dokumen yang dibocorkan ke blog Sarawak Report.
Bagaimanapun, media prokerajaan yang dikendalikan Stadlen kini masih belum dapat menunjukkan fakta yang benar dan fakta yang salah itu. Maka, penangkapan Justo kini dilihat memberi kemenangan sementara kepada Najib dalam menghadapi serangan daripada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Begitu juga dalam menghadapi penentangan dan kejahilan anggota kabinetnya sendiri mengenai 1MDB. Ini kerana, sentimen umum terhadap 1MDB masih belum memihak kepada Najib, seperti yang diakui sendiri oleh satu sumber Utusan Malaysia dalam laporan semalam berhubung penahanan Justo.
"Tidak kira apa pun, majoriti rakyat Malaysia memilih untuk percaya pada bukti yang tidak sah serta menyokong usaha bekas perdana menteri (Mahathir) untuk menggulingkan perdana menteri ketika ini," kata sumber tersebut.
Mahathir sendiri sangat sangsi dengan penahanan tersebut, dan menganggapnya sebagai satu konspirasi tahap tinggi dan usaha terbaru untuk menyembunyikan urusan 1MDB dengan PetroSaudi.
Awal-awal lagi, awal Februari, Mahathir mempertahankan pemilik The Edge, Tong Kooi Ong apabila usahawan tersebut dikaitkan dengan dakwaan perniagaan matawang yang menyebabkan Ringgit Malaysia lemah.
Menurut Mahathir, dakwaan spekulasi matawang itu hanya timbul kerana Tong mengkritik 1MDB.
Nyatalah, cerita ini tidak akan tamat semudah menangkap Justo. Banyak lagi tanda tanya yang belum terjawab. Najib hanya akan mencapai kemenangan mutlak jika berjaya menutup mulut besar Mahathir dengan kebenaran. Mahathir pula menang jika Najib disingkirkan.
Oleh Salhan K AHMAD ahli sidang redaksi Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment