Sunday, June 21, 2015

Main 'meriam buluh' Dik, Belajar Berani Perang Pertahan Agama..

BANYAK permainan rakyat yang sebenarnya muncul dengan sendirinya apabila memasuki Bulan Ramadan di Nusantara ini.. Salah satunya adalah permainan 'meriam buluh'.

Permainan meriam buluh ini, dulunya sangat dinanti-nanti. Bagaimana tidak, detik-detik untuk permainan meriam buluh ini hanya ada pada Bulan Ramadan (bulan puasa) saja. Itu ertinya, untuk bermain meriam buluh, perlu menunggu satu tahun.

Di perkampungan Kepulauan Meranti, Riau (seperti gambar di atas), dulunya meriam buluh banyak dijumpai. Terlebih apabila memasuki 27 puasa (tujuh likur). Dimana ketika itu seluruh masyarakat akan menghidupkan lampu colok yang diletakkan di sepanjang jalan. 

Malam 27 puasa ini akan semakin terasa meriah kerana selain terlihat api penerang jalan di mana-mana, juga kelihatan anak-anak dengan pelbagai permainan. Sungguh menyeronokkan. Pengaruh-pengaruh begitu juga wujud di kampung-kampung Melayu Malaysia.

Mungkin juga kerana pengaruh Islam. Islam mengajar kanak-kanak bermain senjata, sebagai latihan berani perang mempertahankan agama. Di zaman Nabi SAW, pernah diadakan pertandingan bermain pedang di kawasan masjid. Zaman penjajahan Belanda atau Portugis menjajah negeri-negeri Melayu dulu, mungkin senjata paling canggih masa itu adalah meriam.

Jadi tidak hairan, bila anak-anak dibiarkan bermain 'meriam buluh'. Kanak-kanak bermain di rumah masing-masing, seolah-olah sedang berlawanan sama meriam buluh milik anak jiran. Mereka akan senang ketika meriam buluh miliknya mempunyai bunyi yang sangat kuat. 

Cara Membuat Meriam Buluh.

Untuk membuat meriam buluh tidaklah susah. Cukup mencari buluh dengan ukuran besar.  Buluh besar ini dipotong sepanjang 2 - 5 meter (bergantung selera pemilik meriam buluh itu), ruas-ruas buluh dibolongi atau dilubangi dari depan namun disisakan satu ruas agar minyam yang dipakai tidak mengalir keluar (selain itu kalau semua ruas nya dibolongi meriam tidak akan boleh digunakan ). 

Pembolongan ruas ini menggunakan kayu bulat. Bahagian pangkal ruas buluh, dibuat lubang sebesar ibu jari tangan. Bentuknya boleh bulat mahupun persegi. Lubang ini digunakan untuk meniupkan api yang nantinya akan membuat bunyi meriam buluh. Selepas meriam buluh siap digunakan, tinggal memasukkan minyak tanah. Guna membuat api dalam meriam buluh bertahan lama, biasanya anak-anak akan memasukkan kertas, dan kain buruk. 

Ada hal unik yang biasanya dipercayai anak-anak dalam bermain meriam buluh. Iaitu, untuk membuat bunyi yang kuat, kadang-kadang mereka memasukkan garam, dan cili kering (entah dimana korelasi antara bunyi yang kuat dengan garam dan cili).

Tidak perlu waktu yang lama, cukup sekitar 3-5 minit ketika sudah dipanaskan, meriam buluh akan mula berbunyi. Semakin panas buluh, biasanya semakin kuat bunyinya. Tak jarang pula, meriam buluh ini pecah setelah beberapa kali dibunyikan.

Selain diperbuat daripada buluh, biasanya ada juga yang membuat meriam ini dari tin terpakai, seperti tin baygon semburan, tin pewangi bilik semburan dan tin lain seumpamanya. Meriam tin yang dibuat mirip dengan meriam buluh ini akan cepat berbunyi kerana tinnya mudah dan cepat panas.

Namun, dari sisi keselamatan, permainan ini sangat berbahaya. Dimana, tak jarang dari lubang yang digunakan untuk meniup api, malah keluar api. Api ini serta merta akan membakar kening, bulu mata, dan rambut. Mata seketika menjadi perih, dengan bulu mata, alis, dan rambut kerinting akibat dinyalakan api. Kepala boleh menjadi pening. 

Terlebih bagi yang bermain meriam tin, ketika tin-tin itu terlepas dari sambungannya orang yang ada di depan akan menjadi sasaran. Tin boleh saja menghentam orang di depan dan menyebabkan luka. Selain itu pula, bagi yang menggunakan minyak petrol dalam permainan meriam buluh ini, sering mengalami kebakaran.

Tapi, seiring waktu berkembang, anak-anak sudah jarang bermain meriam buluh ini. Sudah jarang pula terdengar lentum-lentam meriam saat malam 27 puasa. Anak-anak zaman sekarang sudah mula meninggalkan permainan tradisional ini. Entah mereka tidak pernah tahu meriam buluh atau memang tidak ingin memainkan permainan itu. 

Jadi, sudah tidak ada konsep, "Main 'meriam buluh' dik, belajar berani perang pertahan agama.."

Wallahu 'aklam. (IH)

2 comments:

Hj Aduka said...

Ya, bagus adik-adik. Bermula dgn meriam buluh nanti kita latih peluru berpandu pulak. kah kah kah

Anonymous said...

Meriam buluh ni boleh ke letupkan kereta kebal Israel. Lagi satu meriam buluh ni bahaya boleh menyebabkan kecederaan kekal dan kematian tak patut Admin suruh budak-budak main meriam buluh. Suruh bebudak ni masuk kadet tentera kat sekolah baru dapat belajar guna senjata api.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails