TERKINI
Anak kapal MT Orkim dibebaskan
Kesemua 22 anak kapal tangki MT Orkim Harmony berjaya dibebaskan kira-kira pukul 2.30 pagi ini, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata pembebasan kru kapal itu adalah menerusi rundingan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan perampas kapal berkenaan.
Beliau berkata kapal MT Orkim Harmony akan dibawa ke Pelabuhan Kuantan dan dijangka tiba seawal jam 6 petang ini.
"Bagaimanapun, seorang daripada anak kapal berkenaan mengalami cedera ringan dan akan dihantar ke hospital berdekatan sama ada di Kuantan atau Terengganu untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar ketika dihubungi berkata perampas bagaimanapun berjaya melarikan diri menaiki bot penyelamat kapal berkenaan.
(Sumber Bernama)
Kapal tangki MT Orkim Harmony dilaporkan beralih arah belayar ke timur Indonesia menuju ke Kepulauan Natuna dalam cubaan sekumpulan perampas bersenjata yang menawan kapal itu, untuk melepaskan diri.
Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Muda Datuk Azahari Abdul Rashid berkata kumpulan perampas terbabit juga meminta pihak penguatkuasa menyediakan bot ketika mereka sampai di Pulau Natuna.
"Proses rundingan masih berjalan... apabila sampai di Pulau Natuna, mereka (perampas kapal) meminta disediakan sebuah bot untuk mereka melepaskan diri, sementara pihak TLDM masih mengiringi kapal tangki itu ke sana.
"Kapal itu dijangka sampai ke pulau berkenaan pada Sabtu pagi dan TLDM juga memaklumkan kepada pihak penguatkuasa Maritim Indonesia mengenai perkara itu," katanya ketika dihubungi Bernama, malam ini.
Pada masa ini, KD Terengganu masih meneruskan rundingan dengan perompak supaya mereka menyerah diri.
TLDM masih menunggu arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha menyelamatkan anak kapal terdiri dari 16 rakyat Malaysia, 5 Indonesia dan seorang Myanmar, yang kini dalam tawanan sekurang-kurangnya lapan perampas bersenjatakan pistol dan parang.
Kapal tangki milik Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta itu, dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.
Kapal itu yang disahkan ditemui hari ini oleh pihak berkuasa, dicat semula dan ditukar nama kepada 'Kim Harmon'. Azahari berkata sehingga kini, sebanyak 16 buah kapal dan empat pesawat berserta 1,200 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi tersebut.
Sementara itu, Menurut Agenda Daily, ada sekurang-kurangnya lapan perompak yang bersenjata di atas kapal tangki minyak MT Orkim Harmony kata Panglima Tentera Laut Malaysia Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Melalui akaun twitter rasminya, beliau memberitahu bahawa semua mereka bersenjata pistol dan parang dan bercakap dalam bahasa Indonesia.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Keselamatan Pelayaran Jabatan Laut Malaysia, Kapten Mohamad Halim Ahmad berkata hasil siasatan awal mendapati kehilangan Kapal Tangki MT Orkim Harmony meragukan apabila Sistem Amaran Keselamatan Kapal (SSAS) tidak diaktifkan.
Katanya sistem itu dipasang di tempat terpencil hanya diketahui nakhoda atau kapten kapal.
“Sepatutnya sistem itu sudah diaktifkan sebaik sahaja ada kejadian jenayah berlaku. Sistem itu akan beroperasi apabila diaktifkan secara manual.
“ Selain itu, kawasan kapal tangki itu hilang tiada capaian radar pihak kami namun pergerakan kapal itu sehingga komunikasi terputus boleh diimbas semula menggunakan Sistem Pengenalan Automatik (AIS) kaedah satelit.
“Bagaimanapun sistem AIS juga seolah-olah ditutup oleh orang yang tahu sistem berkenaan. Ada juga kemungkinan sistem AIS itu dirosakkan dengan cara memotong kabel atau memecahkan alat yang terletak di anjung kapal itu,” katanya dalam taklimat khas di Ibu Pejabat Jabatan Laut, pada Khamis. (IH)
1 comment:
Pahlawan Bugis le tu. Huhu
Post a Comment