Monday, June 08, 2015

Presiden PAS Bertemu Lim Kit Siang Di Sabah..

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan veteran DAP Lim Kit Siang dilaporkan bertembung satu sama lain sebelum ketua parti Islam itu dilihat bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin dan beberapa orang kenamaan Barisan Nasional pada satu taklimat mengenai operasi menyelamat mangsa gempa bumi. – Gambar The Malaysian Insider, 7 Jun, 2015.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan veteran DAP Lim Kit Siang dilaporkan bertembung satu sama lain sebelum ketua parti Islam itu dilihat bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin dan beberapa orang kenamaan Barisan Nasional pada satu taklimat mengenai operasi menyelamat mangsa gempa bumi. – Gambar The Malaysian Insider, 7 Jun, 2015. 

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini terserempak dengan veteran DAP Lim Kit Siang di Kundasang, Sabah, menurut laporan Malaysiakini, menimbulkan satu keadaan yang kekok, berakhir dengan kedua seteru itu bersalaman tetapi tidak mengucapkan sepatah kata.


Keduanya dilaporkan bertembung satu sama lain sebelum ketua parti Islam itu dilihat bersama timbalan perdana menteri dan beberapa orang kenamaan Barisan Nasional pada satu taklimat mengenai operasi menyelamat mangsa gempa bumi.
Menurut portal itu, Lim yang terlebih dahulu datang menghulurkan tangan kepada Hadi sebelum masing-masing meneruskan perjalanan mereka menuju arah yang berbeza.
Tiada sepatah kata diucapkan, menurut seorang ahli DAP yang dihubungi Malaysiakini.
Portal berita itu memetik pengarah pendidikan politik DAP Sabah Ginger Phoong yang berada di situ berkata: "Tiada satu perkataan pun yang keluar dari mulut mereka."
Lim berada di sana atas urusan DAP dalam menyampaikan bantuan kepada mangsa gempa bumi.
Tidak dapat dipastikan kenapa Hadi berada di kawasan itu, tetapi beliau kemudiannya dilihat bersama rombongan Muhyiddin yang menghadiri taklimat mengenai operasi menyelamat bagi mereka yang terkandas di Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi pada Jumaat lalu.
Pertembungan janggal Lim dan Hadi itu terjadi sehari selepas berakhirnya Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor semalam, di mana presiden PAS itu terus dalam nada lantang mengecam pengkritiknya, termasuk DAP, yang menuduh beliau hendak berbaik-baik dengan musuh politik mereka, Umno.
Muktamar PAS itu juga meluluskan resolusi tanpa bahas untuk memutuskan hubungan dengan DAP, sebagai tindak balas kepada keputusan parti itu pada Mac yang menghentikan kerjasama dengan Hadi, sambil mengekalkan hubungan dengan parti itu secara keseluruhannya.
Ia mendorong Lim mengumumkan semalam yang PR sudah berakhir dan apa yang tinggal kini hanya menunggu "upacara pengebumian" yang akan dijalankan.
Kedua-dua parti, yang merupakan rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR), sekian lama bertelagah kerana kepimpinan Hadi yang dianggap dibuat secara unilateral dan ketegasannya meneruskan agenda yang bukan merupakan sebahagian daripada kerangka kerja bersama PR, seperti melaksanakan hudud.
PAS mengatakan ia masih sebahagian daripada PR dan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP itu masih tertakluk kepada kelulusan akhir oleh Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama.
Pertemuan Hadi dan Muhyiddin di Taman Negara Kinabalu hari ini menimbulkan pelbagai spekulasi, walaupun difahamkan yang mereka secara kebetulan berada di tempat yang sama pada waktu yang sama. – 7 Jun, 2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails