Wednesday, June 03, 2015

Rela Jadi ‘punching bag’ Agar PAS Tidak Berpecah Dari Pakatan -Suhaizan

Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata, beliau juga sedar pendekatan ‘politik budiman’ yang dianjurkannya demi mendamaikan pimpinan PAS dan rakan komponen PR yang lain – PKR dan DAP – juga bukan tindakan yang popular. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 2 Jun, 2015.
Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata, beliau juga sedar pendekatan ‘politik budiman’ yang dianjurkannya demi mendamaikan pimpinan PAS dan rakan komponen PR yang lain – PKR dan DAP – juga bukan tindakan yang popular. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 2 Jun, 2015.
Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat hari ini berkata, beliau sedia menjadi "punching bag" kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak popular sehingga dikecam rakan dari sayap Pemuda demi memastikan parti Islam itu tetap kekal bersama Pakatan Rakyat (PR). 
Katanya, beliau juga sedar pendekatan "politik budiman" yang dianjurkannya demi mendamaikan pimpinan PAS dan rakan komponen PR yang lain - PKR dan DAP - juga bukan tindakan yang popular. 
 
"Saya sedar, tindakan ini bukanlah tindakan yang popular, malahan saya setiap hari dikecam dan diperlekehkan termasuk adik-adik dalam Pemuda," kata Suhaizan dalam buku teks ucapannya yang diedarkan kepada semua hadirin.
"Tetapi, demi memastikan perpaduan PAS tidak berkecai dan Pakatan tidak berpecah, saya rela terus menjadi 'punching bag' asalkan agenda besar kita membuka pintu Putrajaya dan mengisinya dengan agenda Islam tidak akan digagalkan di tengah jalan," katanya pada perasmian Muktamar Pemuda PAS ke-56 di Shah Alam hari ini. 
 
Beliau berkata dalam teks ucapannya, PAS seharusnya melihat dalam kerangka yang lebih luas dan bukannya berpandangan sempit supaya ia lebih fokus pada matlamat yang ingin dicapai.
Beliau mendakwa, ukhuwah (persaudaraan) di kalangan ahli PAS, termasuk sayap Pemuda parti itu, masih longgar dan belum erat dan pulih sepenuhnya.
 
"Pergolakan dalaman Umno nampaknya tidak akan membawa erti besar jika kita juga dilihat turut sama bergolak," kata Suhaizan merujuk krisis dalam parti Melayu pemerintah terbesar itu. 
 
Beliau berkata, susulan kegagalan PAS menguruskan perbezaan pendapat susulan beberapa isu, parti Islam itu kini dilihat berada dalam krisis dan konflik. 
 
"PAS kini dilihat wujud dua kumpulan sebagaimana Umno pernah berpecah kepada 'Team A' dan 'Team B' pada 1987 dulu. Ada yang menyebut ia (dalam PAS) pertembungan antara kumpulan ulama dengan profesional. 
"Saya tidak setuju, kerana dalam kedua-dua aliran yang dilihat bertembung dalam parti pada masa ini,wujud ulama, profesional, dan aktivis. 
"Apa yang berlaku bukanlah perpecahan tetapi perbezaan ahli kita dalam menanggapi isu yang berbangkit mutakhir ini," kata Suhaizan. 
Beliau berkata, perbezaan pendapat adalah lumrah dalam kehidupan di dunia ini, namun jika tidak diuruskan dengan baik, ia bakal mencetuskan perbalahan dan pertumpahan darah, seperti pernah berlaku dalam sejarah Islam sebelum ini. – 2 Jun, 2015.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails