Berakhir sudah muktamar PAS. Lengkap sudah saf pimpinan yang baharu (kecuali beberapa jawatan lantikan). Naiklah ramai muka baharu. Kecundang sudah ramai tokoh lama.
Tokoh-tokoh yang dilihat sebagai “think tank” parti, yang muncul dengan gagasan-gagasan yang boleh difahami dan diterima rakyat seluruhnya, bercakap dengan bahasa politik yang sesuai dengan konteks Malaysia, mendukung aspirasi rakyat untuk menjatuhkan Umno-Barisan Nasional (BN) dan mengambil alih tampuk Putrajaya; 99% daripada mereka tewas.
Persoalan yang besar timbul; siapa mampu hadir dengan gagasan politik yang boleh menatijahkan kejayaan kepada PAS?
Apakah muka-muka baharu ini mampu menggalas tugas yang diamanahkan sebagai pemikir baru parti?Siapa akan menggantikan posisi dan peranan mereka-mereka yang disebut ini dalam membawa agenda PAS?
Dr Mujahid Yusof Rawa, anak bekas Presiden PAS Yusof Rawa – yang saya anggap “Bapa Perpaduan Malaysia” abad ke-21 – pernah muncul dengan idea pembaharuan parti.
Namun berapa ramai ahli PAS yang membaca karya beliau, “Menuju PAS Baru” dan “Rejuvenasi PAS”?
Berapa kerat ahli PAS yang menghargai idea-idea beliau dalam mereformasi wajah dan pendekatan parti?
Peranan penting yang beliau mainkan dalam memimpin Dewan Himpunan Penyokong PAS (sebelumnya bertaraf kelab), bertanggungjawab menggembleng ribuan tenaga non-Muslim dalam menggerakkan kempen ketika pilihan raya, menambah undi non-Muslim untuk PAS secara signifikan, yang menjelajah ke gereja-gereja seluruh pelosok negara ketika kemelut isu kalimah Allah dan dirakamkan dalam travelog “Berdialog Dengan Gereja”; semua ini tampaknya dipandang sepi dan tidak dianggap penting para perwakilan.
Dr Dzulkefly Ahmad, salah seorang “think tank” idea “Negara Berkebajikan”, perangka manifesto PAS dan Pakatan Rakyat (PR), juga penulis aktif yang sering melontarkan kritikan terhadap isu-isu ekonomi dengan analisis yang didukung kuat fakta (mungkin kerana fakta-fakta inilah beliau ditolak perwakilan, kerana menurut Datuk Mahfuz, golongan profesional yang suka berhujah dengan fakta ini menyukarkan keputusan dibuat dalam mesyuarat – rujuk temu bual ketua Dewan Ulama ini dengan Utusan Malaysia).
Sering muncul dalam forum dan wacana anjuran NGO dan teguh mempertahankan dasar-dasar PAS, berbekalkan hujah tradisi Islam dan rasionalisme ketika berhujah dengan kelompok sekular, liberal, kiri dan sebagainya. Siapa bakal mengambil tempat beliau?
Sementara di peringkat pemuda, Hasbie Muda, tokoh pemuda yang makin meningkat naik, penulis prolifik dan sentiasa hadir dengan idea-idea segar, dipandang sebelah mata oleh perwakilan, hanya kerana beliau menolak amalan fitnah dan label-melabel yang dilakukan secara berleluasa oleh pihak “sebelah sana”.
Usaha beliau dalam Lujnah Pendidikan Politik Pemuda Pusat nampaknya tidak dianggap sebagai “benchmark” dalam memilih saf kepimpinan Pemuda. Analisis beliau terhadap keputusan PRU-13 untuk Parlimen terpilih dalam buku “Kemenangan Yang Tertangguh” nampaknya tidak dianggap penting oleh kebanyakan ahli PAS, yang lebih diberi tumpuan ialah satu dua bab dalam buku itu yang bersifat kontroversial.
Seminar “Pemikiran Politik Datuk Asri Muda” kelolaan beliau juga menunjukkan majoriti ahli PAS masih enggan berlaku jujur dengan sejarah, dan terperangkap dengan naratif yang sangat tidak adil terhadap Almarhum Asri.
Tokoh pemuda mana dalam saf pimpinan sekarang, yang mengangkat nilai intelektualisme seperti beliau?
Ramadan Fitri Elias, Dr Zaharuddin Abdul Rahman, Hasrizal Jamil; semua ini tokoh-tokoh ilmuwan muda yang di zaman muda mereka sangat cenderung dan aktif dengan PAS, akhirnya tidak dihargai oleh ahli. Kerana apa?
Kerana mereka melawan arus, tidak mahu parti terus terjerat dengan tarbiah ala indoktrinasi, tidak mahu ahli terus dikhayalkan dengan candu wala’ yang dimainkan “ustaz-ustaz tarbiah” dan tidak mahu parti ini menjadi parti yang mempergunakan nama Islam untuk agenda kelompok tertentu.
Usah risau. PAS masih punyai ramai tokoh profesional dalam AJK PAS Pusat yang tentunya sangat berkepakaran dalam bidang masing-masing. Dr Zaharuddin Muhammad, menantu kesayangan presiden PAS, seorang pakar ekonomi Islam, pastinya akan mencetuskan banyak idea dan teori ekonomi Islam untuk melahirkan umat Islam yang mampu membeli kereta Mercedes.
Razman Zakaria, bekas pegawai Kastam, pastinya pula akan menjadi ejen “check and balance” kepada badan Kastam dalam mengawal kegiatan penyeludupan di sempadan-sempadan negara.
Tidak ketinggalan juga Dr Zuhdi Marzuki, pensyarah Universiti Malaya, seorang intelektual tersohor yang mampu mengemukakan analisis yang terperinci melalui “teori jentik” dan pandangan PAS kini dalam landasan betul dan kedudukan yang terkuat dalam sejarah.
Dan pastinya, “core” kepada saf pimpinan yang baharu ini, para ulama haraki, ‘amilin dan faqih yang meneruskan tradisi kepimpinan ulama dalam parti. Khairuddin at-Takiri, kita harapkan akan muncul lagi dengan teori “kafir haraki” atau sebagai kesinambungan daripada teori “munafiq haraki” yang menjadi ratib ramai ahli bawahan.
Ridhuan Md Noor,seorang penulis prolifik, dengan karya-karya yang dipenuhi dengan sumber-sumber dan rujukan-rujukan yang “credible”, naratif sejarah yang sangat adil dan tidak berpihak; beliau pastinya wajar diangkat sebagai ideologue dan tokoh pemikir parti.
Jangan lupa juga kepada Norazli Musa a.k.a Ustaz Taliban, dengan ceramah beliau yang lemah lembut dan berhikmah, pastinya menarik lebih ramai Muslim dan non-Muslim terhadap keindahan dan kesejahteraan ajaran Islam.
Mokhtar Senik, tokoh tarbiah parti yang setanding dengan tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dalam menjernihkan pemikiran ahli PAS daripada fikrah songsang yang bercanggah dengan dasar perjuangan Islam.
Tidak ketinggalan juga ketua dua sayap penting parti, Dewan Pemuda dan Dewan Ulama.
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pastinya akan terus menggegar Parlimen dengan soalan-soalan bernas yang membuatkan menteri-menteri Umno-BN tidak senang duduk.
Berbekalkan pengalaman sepenggal menjadi timbalan ketua Pemuda sebelum ini, beliau pastinya hadir dengan idea-idea baru yang lebih baik daripada ketua Pemuda sebelum ini.
Dr Mahfoz Mohamed pula, tidak syak lagi seorang ulama muktabar negara, yang sumbangannya terhadap perkembangan Islam dalam negara cukup besar, pastinya akan muncul dengan teori-teori fikah yang menjadi panduan penting untuk Muslim seluruhnya.
Kerana itu, jangan sedih dan khuatir, kerana Allah akan sentiasa menolong perjuangan Islam yang didukung para ulama muktabar dan ‘amilin mukhlisin dalam PAS.
Allah juga akan menggantikan “ayam-ayam sabung” PAS seperti Mohamad Sabu, Khalid Samad dan Hanipa Maidin – yang sekian lama melawan rejim Umno hingga keluar masuk penjara – dengan “kuda-kuda perang” yang lebih gagah berani dalam mempertahankan presiden daripada dikritik dan lebih terkehadapan dalam menzahirkan ‘izzah Islam di mata DAP dan PKR.
Tokoh-tokoh baharu yang disebut di atas akan hadir dengan idea-idea politik segar yang pasti akan mencorakkan perjalanan politik negara. – 10 Jun, 2015.
2 comments:
Ya.... hebat... dengan idea inzal pra-matang.
Nampaknya macam ISIL hampir betul dekat Malaysia.
Post a Comment