Sunday, August 09, 2015

Bagaimana Hijrah Pakai Tudung Dimudahkan Tuhan.. -Jue Aziz




HALAMAN HIBURAN
Jue Aziz menangis syukur kerana diberikan hidayah secara lembut oleh Allah untuk berhijab sepenuhnya sejak Rabu lalu.

“Niat untuk memakai tudung sudah lama ada dalam diri. Tambahan pula, melihat adik-beradik semuanya bertudung. Ketika itu, saya masih fikir kerja dan karier lakonan.
“Ibu bapa saya juga sudah lama suruh pakai tudung. Ketika itu, saya cuma minta doa daripada mereka agar dibukakan pintu hati. Sebabnya, hati saya masih tidak tergerak untuk berhijab. Saya juga tidak suka bertudung kerana orang lain suruh. Takut nanti saya pakai tidak ikhlas,” jelasnya tanpa berselindung.
Kata-kata penuh semangat Jue tiba-tiba berubah sayu tatkala menceritakan detik pintu hatinya dibukakan Allah. Jue sungguh tidak menyangka, penghijrahannya dimudahkan oleh Tuhan. Semuanya bermula ketika dia melawat pusara bapanya pada pagi Isnin lalu.
Bapa Jue, Abd. Aziz Maidin, 68, menghembuskan nafas terakhir pada petang Jumaat, 31 Julai lalu, akibat serangan jantung.
“Alhamdulillah, penghijrahan saya dipermudahkan Allah. Malam Ahad lalu ketika saya ambil wuduk untuk solat, hati saya dirundung perasaan rindu teramat pada arwah ayah. Saya teringin sangat menatap wajahnya dengan senyuman. Malam itu, ketika tidur, saya mimpikan ayah. Malangnya, ayah tidak senyum sehingga saya memegang kedua-dua belah pipinya untuk memaksanya senyum.
“Keesokannya, pada hari Isnin saya pergi ke kubur arwah ayah dengan dua kakak. Setibanya di kubur ayah, saya berasa tenang sekali. Saya tidak dapat gambarkan perasaan tersebut. Lalu, saya menceritakan mengenai mimpi tersebut kepada kakak kedua.
“Dengan nada lembut kakak memberitahu, mungkin itu pesanan daripada Allah meminta diri saya berubah untuk bertudung. Saya terus menangis dan memeluk kakak. Tiba-tiba pintu hati saya untuk memakai tudung dibuka luas-luas. Saya cakap pada kakak, maknanya Allah dengar doa saya. Maknanya Allah sayangkan saya,” luahnya sambil menangis.
Mengusap air mata yang tadi mengalir deras, Jue nyaman dalam elusan kasih sayang Allah terhadap dirinya. Dia mengaku dirinya dahulu jahil tetapi tidak menyangka doa untuk berhijab diperkenankan oleh Allah.
“Selepas melawat kubur ayah, saya terus ajak kakak beli tudung. Saya rasa inilah masanya untuk saya bertudung penuh sehingga menutup dada. cukup-cukuplah penampilan saya sebelum ini,” katanya yang bersyukur kerana dipilih Allah untuk mendapat hidayah-Nya.
Rabu lalu, selepas suaminya, Bayu Pramana Putra Achmad, Sensasi Bintang menjadi saksi kedua melihat Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abd. Aziz, 32, menyarung hijab sepenuhnya buat pertama kali.
“Masa masuk kereta tadi (Rabu lalu), saya buat-buat tidak pandang abang (suami). Sebab rasa segan bertudung depannya. Lama dia pandang saya, lepas itu dia bertanya sama ada saya mahu pakai tudung. Bila saya mengangguk dia terus ucap alhamdulillah.
“Selepas pulang dari kubur ayah Isnin lalu, saya tidak keluar rumah dan tidak menyuarakan lagi hasrat untuk memakai tudung di depan suami. Hari ini (Rabu lalu) baru saya keluar memakai tudung sepenuhnya di depannya dan hadir untuk sesi fotografi sempena filem terbaharu, Kapsul,” ujarnya sambil tersenyum memandang suami yang setia menemaninya sepanjang sesi fotografi bersama Sensasi Bintang pada Rabu lalu. (Disaing dari Kosmo!)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-87: Cara Fikir Salah Artis
E-Buku IH-87: Cara Fikir Salah Artis

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails