KUALA LUMPUR 20 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 10 suspek termasuk enam anggota pasukan keselamatan kerana disyaki terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) di beberapa buah negeri di seluruh negara semalam.
Lebih membimbangkan, suspek-suspek yang ditahan itu juga dipercayai merancang untuk membeli senjata api bagi tujuan melancarkan serangan di Malaysia.
Operasi yang dilakukan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman itu dilaksanakan secara serentak di Perlis, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek yang ditahan ialah lapan lelaki dan dua wanita warga tempatan yang berumur antara 24 hingga 42 tahun.
Menurutnya, enam daripada mereka merupakan anggota pasukan keselamatan, dua kakitangan jabatan kerajaan, seorang bekas pereka hiasan dalaman dan juga seorang guru tadika.
“Kesemua mereka ditahan kerana disyaki terlibat alam aktiviti mempromosi ideologi kumpulan IS, mengumpul dana serta mengatur pemergian rakyat Malaysia menyertai kumpulan terbabit di Syria.
“Malah, mereka juga dipercayai merancang untuk membeli senjata api bagi melancarkan serangan di negara ini, membantu penyusupan masuk ahli-ahli kumpulan itu kembali dari Syria, merekrut rakyat tempatan menyertai IS serta menyembunyikan maklumat berhubung aktiviti IS di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Khalid, kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
2 comments:
Teringat Kes Bukit Jenalik, satu masa dulu. Kununnya Al-Ma'unah nak serang kerajaan Malaysia! Berani masok kem tentera, curi/rampas senjata. Dalam ramai-ramai anggota Al-Ma'unah, cuma tiga orang je pernah pegang senjata. Yang lain-lain, tak pernah tengok dengan mata kepala pon ade gamaknya. Lepas curi senjate, angkut bawak masuk bukit Jenalik. Dentum-dentam bunyi tembakan.. kununnye buat latihan menembak. Wey.. nak serang kerajaan, masa tu le jugak baru nak kenal senapang.. baru nak belajar menembak?
Dah la latihan menembak pakai peluru hidop tepi jalan.. tepi kampung. Malaysia... Malaysia...
Apa ni pon macam tu..
Post a Comment