Saturday, September 26, 2015

Sidang DUN S'gor.'Pengkhianat' Ini Duduk Di Mana?



ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnol Baharuddin akan duduk di kerusi barisan mana dalam sidang Dewan Undangan Negeri bermula  30 Oktober hingga 13 November depan?

Adakah mereka duduk di kerusi dalam barisan kerajaan atau pembangkang? Atau, adakah mereka akan menemani Adun dari Pelabuhan Kelang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai ADUN bebas?

Jika mereka dikira sebagai pembangkang, maka sudah tentu mereka akan duduk sebaris dengan wakil-wakil rakyat Umno yang membentuk sektor pembangkang dalam Dewan Negeri.

Hasnol dan Saari secara automatik meninggalkan PAS apabila menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) yang dilancarkan pada 16 September lalu.

Jika berdasarkan perkembangan politik mutakhir, parti baru mereka Amanah, adalah anggota Pakatan Harapan, gagasan yang dibentuk pada 22 September lalu bersama PKR dan DAP.

Justeru jika menurut semangat setiakawan Pakatan Harapan sewajarnyalah mereka di barisan kerusi wakil rakyat kerajaan. Namun Amanah masih bukan parti politik rasmi kerana belum mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Bagaimanapun realiti politiknya, kerajaan negeri Selangor kini diterajui bersama PAS, DAP dan PKR. Adalah jelas PAS bukan ahli Pakatan Harapan yang baru dibentuk itu dan secara moralnya, tidak wajar berada di barisan kerusi kerajaan.

Persoalannya, Menteri Besar Selangor, Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR mahu mengikut protokol politik yang mana – mengutamakan wakil-wakil rakyat dari parti yang membentuk kerajaan sedia ada (iaitu PKR, DAP dan PAS) atau menghormati ahli baru Pakatan politik nasional, Amanah?

Agak pelik keadaannya jika ada wakil kerabat Pakatan Harapan diletakkan bersama wakil-wakil Umno sebagai pembangkang atau dianggap wakil yang tidak berparti seperti Tan Sri Khalid. Jika demikian, tidakkah itu bermakna Azmin tidak mengiktiraf Amanah?

Jika mereka diletakkan di barisan kerajaan, tentu itu akan menyinggung sensitiviti PAS. Kedua-dua bekas wakil rakyat PAS itu kini dianggap “pengkhianat” oleh PAS.

Sudah pasti PAS akan tidak selesa dan perlu membuat protes terbuka berhubung isu tempat duduk Hasnol dan Saari jika diletakkan sebaris mereka sebagai wakil-wakil kerajaan.

Kedudukan mereka dalam sidang Dewan akan datang menarik perhatian kerana ia membayangkan sama ada penubuhan barisan Pakatan Harapan oleh parti-parti pembangkang sudah mula berkuatkuasa atau tidak.

Keadaan ini agak berbeza dengan kedudukan bekas ahli-ahli PAS lain baik di Dewan Undangan negeri mahupun Dewan Rakyat yang melompat parti menyertai Amanah dan PKR.

Bekas wakil rakyat PAS seperti Datuk Nizar Jamaludin (Perak), Datuk Pharolrazi Zawawi (Kedah) Aminohuda Hassan (Johor), dan Syed Hamid Syed Ahmad (Pahang) tidak menghadapi masalah seperti Saari dan Hasnol. Mereka tetap di barisan pembangkang kerana negeri-negeri berkenaan dipimpin BN.

Begitu juga dengan bekas ahli-ahli parlimen PAS, Dr Siti Mariah Mahmood (Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Kuala Kerai), Abdul Khalid Samad (Shah Alam), Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu) dan Hanifa Maidin (Sepang). Keadaan ini meliputi Kamaruddin Jaafar (Tumpat) yang menyertai PKR. Mereka kekal di barisan pembangkang dalam parlimen. 
Kes Saari dan Hasnol agak unik kerana nyata baik PKR mahupun PAS nampaknya masih perlu berpaut pada kedudukan dalam kerajaan Selangor.

Jika Azmin memilih untuk meraikan Pakatan Harapan yang baru ditubuhkan, sudah tentu beliau boleh memutuskan Hasnol dan Saari duduk di barisan wakil rakyat kerajaan. 
Namun seperti disentuh sebelum ini, tindakan itu pasti mengusik sensitiviti PAS. Bagaimanapun jika Hasnol dan Saari didudukkan bersama Khalid Ibrahim ia melambangkan PKR kurang hormat pada sekutu barunya, Amanah.

Yang pasti, Azmin tidak akan berani menganggap Amanah sebagai parti pembangkang dalam Dewan Selangor dan mengizinkan Hasnol dan Saari duduk sebaris dengan wakil rakyat Umno.

Kini terpulang kepada PAS untuk membantu meleraikan dilema ini. PAS boleh mengarahkan wakil-wakil rakyatnya beralih tempat duduk ke barisan pembangkang. 
Ini bermakna PAS berani meninggalkan kerusi empuk dan kuasa pentadbiran dalam kerajaan negeri dan bertindak sebagai pembangkang di Selangor.

Apa yang perlu PAS gusarkan. Lambat laun memang di situlah tempat mereka duduk selepas pilihanraya umum ke-14 kelak kecuali jika ia mampu menawan sekurang-kurangnya 28 kerusi kelak.

PAS juga harus akur dan bersedia menjelang PRU 14 ia akan akan 'dibelasah' PKR dan kawan-kawannya dari DAP dan Amanah kerana PAS bukan lagi anggota pakatan pembangkang.

Di peringkat ini, PAS seharusnya berasa maruahnya tercabar kerana hanya 'menumpang ihsan PKR' untuk terus berada dalam kerajaan negeri Selangor.

Sebaliknya, jika wakil-wakil rakyat PAS menyeberang tempat duduk, bolehlah ia mencongak bagaimana mahu menawan kembali kerusi pemerintahan kerajaan Selangor. Satu pilihan ialah membuat kejutan bersama jiran barunya, Umno.

PKR kini memang tidak tergamak dan tidak berani menolak PAS dari gabungan parti memerintah Selangor kerana ia kini tinggal 13 kerusi dan perlu “memimpin” DAP yang mempunyai 15 kerusi.

Tambahan pula kini masih belum diketahui dengan pasti di antara PKR dan DAP, siapakah pilihan utama Amanah.

Jika Amanah cenderung pada DAP, maka parti itu akan mempunyai sokongan 17 wakil rakyat. Jika sebaliknya, keutuhan maruah PKR masih boleh dipertahankan untuk PKR memimpin Selangor kerana ada 15 kerusi, setara dengan DAP.

Oleh itu, jalan selamat bagi PKR ialah menjadikan PAS “kuda tunggangan” untuk beberapa bulan akan datang demi memelihara “air muka”nya dengan mengizinkan wakil PAS duduk di barisan kerusi parti kerajaan.

Di sisi lain, bicara tempat duduk ini membayangkan realiti politik di Malaysia hari ini. Walaupun prestasi BN sebagai pemerintah dilihat agak lesu kini, namun pihak pembangkang pun juga tidaklah seutuh mana.

Dilema politik di Selangor membuktikan Pakatan Harapan masih tiada kekuatan moral mahupun teknikal untuk membuktikan ia mempunyai iltizam politik untuk menggantikan BN memerintah Malaysia.

Jika ia benar yakin, seharusnya Azmin mendudukkan Hasnol dan Saari di barisan kerajaan dan mengarahkan wakil-wakil rakyat PAS duduk di pihak pembangkang.

Begitu juga dengan PAS. Jika ia yakin mampu berdikari dalam politik Malaysia, berilah notis akan berpindah keluar dari gabungan kerajaan Selangor.

Dengan cara itu, mesej yang dihantar kepada pengundi akan lebih jelas bahawa PAS dan Pakatan Harapan adalah dua entiti politik yang mempunyai keberanian dan iltizam yang melayakkan mereka menggantikan BN.

Oleh  Lokman Ramlee
ANTARA POS

1 comment: