Thursday, October 22, 2015

Azalina Beri Kit Siang Masa Hingga Jam 11.30 Pagi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dijadual membentangkan usul kedua untuk menggantung kehadiran Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) pada pukul 11.30 pagi ini.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Azalina berkata Lim mempunyai masa sehingga 11.30 pagi ini untuk menyelesaikan dengan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung tuduhannya terhadap Pandikar.
Katanya, jika speaker menerima apa yang hendak dikatakannya, maka kerajaan akan menarik balik usul itu.
"Ia kini antara beliau dan speaker," kata Azalina.
Pada hari Selasa, Lim menuduh speaker menyalahgunakan kuasanya dengan menghalang pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) terhadap1MDB.
Lim juga memanggil Pandikar sebagai diktator kerana didakwanya mensabotaj perintah tetap Parlimen dan mempolitikkan statusnya sebagai Speaker Dewan.
Usul Azalina itu mendakwa tuduhan Lim terhadap Pandikar adalah serius dan penghinaan kepada speaker bersamaan dengan penghinaan kepada prosiding Dewan Rakyat.
"Maka inilah dipersetujui bahawa Yang Berhormat Tuan Lim Kit Siang ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah hendaklah digantung daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat selama enam bulan dari tarikh usul ini diputuskan," kata usul tersebut.
Azalina sepatutnya membentangkan usul itu semalam tetapi Pandikar mengarahkan beliau menariknya balik.
Ini selepas Lim memberi penjelasan mempertahankan dirinya, dengan berkata beliau tidak mengkritik speaker.
Pandikar, bagaimanapun, masih menuntut supremo DAP mengatakan sama ada beliau akan memohon maaf atau menarik balik kenyataan itu selepas sejam perbahasan mengenai jerebu antara jam 4.30 petang hingga 5.30 petang semalam.
Tetapi apabila perbahasan berakhir, Lim telah meninggalkan Parlimen dan ahli-ahli Parlimen pembangkang mendakwa mereka tidak sedar bahawa Lim sepatutnya membuat penarikan balik itu pada hari itu sendiri.
Ini mendorong Azalina untuk memfailkan notis usul kedua untuk menggantung kehadiran Lim. (MK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails