Tuesday, October 27, 2015
Kebajikan Mahasiswa: MP PAS Ketengah Tuntutan Gamis
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini menyerahkan memorandum Tuntutan Mansuh GST dan Tangani Isu Kebajikan Mahasiswa kepada Ahli Parlimen PAS.
Memorandum itu diserahkan kepada wakil Ahli Parlimen PAS, Ustaz Idris Ahmad di lobi Parlimen.
Menurut Idris, Ahli Parlimen PAS akan membawa tuntutan Gamis di dalam perbahasan mereka pada sesi kali ini.
Presiden Gamis, Mohd Imran Md Ishak yang ditemui berkata, langkah penyelesaian kerajaan bersifat pukul rata sehingga mahasiswa terpaksa memikul beban pelbagai jenis cukai.
"GST yang dikenakan kepada rakyat juga dikenakan kepada mahasiswa maka secara atomatik kos sara hidup mahasiswa meningkat.
"Tahun ini sahaja kerajaan telah mengurangkan kadar pinjaman PTPTN dari 100 peratus kepada 75 peratus. Satu pengurangan yang besar yang mana mahasiswa selama ini bergantung kepada PTPTN," katanya kepada Harakahdaily.
Malah katanya, Perdana Menteri dalam Bajet 2016 turut mengurangkan peruntukan universiti awam sebanyak RM7.3 bilion berbanding RM8.7 bilion pada 2015.
Pengurangan ini katanya, akan memberi pelbagai implikasi terhadap pengurusan dan pembangunan pendidikan di peringkat pengajian tinggi khususnya membabitkan yuran pengajian.
"Kerajaan mahu mewujudkan sistem pendidikan terbaik, mana mungkin hasrat ini tercapai jika kehidupan mahasiswa ditekan sebegini?" soal beliau.
Justeru katanya, kerajaan perlu memberi jaminan bahawa dengan pemotongan peruntukan ini mahasiswa tidak terkesan atau kerajaan mesti menarik balik pemotongan bajet universiti awam dan kemukakan cadangan solusi lain.
Turut bersama menerima memorandum itu Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan, Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz, dan Ahli Parlimen Bachok Ahmad Marzuk Shaary. - HARAKAHDAILY
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment