Ini rahsianya dilaporkan media
SUKAN
JAKARTA – Rio Haryanto dianggap duta kecil Indonesia dalam arena pemotoran lasak Grand Prix 3 atau GP3 masa kini apabila muncul dalam kelompok lima pelumba terbaik dunia daripada sasaran asal cuma tempat ke-15.
Dalam kancah GP3 yang disertainya ketika ini, Rio tampil cukup hebat berbanding kehadirannya pada awal musim, malah namanya sudah mula dikenali ramai sejak berusia 17 tahun apabila muncul menjuarai sirkit Turki.
Hasilnya bendera Indonesia telah berkibar megah sebaris negara-negara lain pada setiap sirkit GP3 yang dianggap acara pembukaan sebelum berlangsungnya perlumbaan elit Formula 1 di mana-mana litar terpilih serata dunia.
Bagi Rio sendiri, dia bukan sekadar berlumba demi kerjaya, malah menurut media tempatan, pemuda kelahiran Solo pada 22 Januari 1993 itu memapar imej bendera Sang Saka Merah Putih di bampar jenteranya, model Cosworth.
Beraksi untuk pasukan British, Manor Racing, Rio tidak setakat terima dukungan penuh keluarga terutama bapa, Sinyo Haryanto dan ibu, Indah Pennywati serta abangnya, Ryan yang kerap menemani dirinya di setiap litar.
Jangan terkejut, di sebalik sokongan padu para peminatnya kerap jerit memanggil namanya, ada satu lagi perkara menjadikan diri Rio bersemangat terus berlumba tanpa jemu hadapi saingan sengit ramai pelumba handalan lain.
Rahsianya dilaporkan media Indonesia baru-baru ini, di setiap litar, Rio selalu memulakan perlumbaan dengan berdoa dan aura paling menarik, ia sentiasa membaca Ayat Kursi yang ditampal di dalam kokpit jenteranya itu.
“Ini dapat membuatkan diri saya lebih berasa tenang saat tampil di litar,” ungkapnya secara ringkas ketika diwawancara wakil beberapa media republik tersebut pada sesi perlumbaan GP3 di Hungary baru-baru ini.
Demi kerjaya lasak itu, Rio menjadikan Ayat Kursi bukan sekadar pelindung diri daripada bencana, malah sebagai wadah untuk memberi kekuatan rohani yang amat jarang diamalkan hampir semua pelumba profesional dunia.
Tanpa disedari itulah hikmah ayat 255 surah al-Baqarah selain mukjizat al-Quran yang sering diabai umat Islam sendiri walhal hakikatnya banyak rahsia tersembunyi setiap ciptaan Allah SWT. – Agensi
Video:
No comments:
Post a Comment