Thursday, November 05, 2015

Dr Handsome, Teguran Terbuka Kepada Stesen Radio Hot FM


TIMBUL isu doktor 'handsome'. Iaitu  Dr. Shazril Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Dr Say yang dijemput ke konti bersiaran secara langsung untuk menjawab pertanyaan-pertanya oleh pendengar sebuah stesen radio tempatan.

Lebih memburukkan keadaan kisah seorang pemanggil wanita yang dikatakan mahu 'book' doktor hensem berkenaan untuk menyambut kelahiran anaknya apabila dia bersalin nanti. Rata-rata netizen mengecam tindakan wanita berkenaan dengan pelbagai kata.

Dilaporkan juga saudara Hafez Sabri Pengerusi Lujnah Dakwah Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak telah tampil membuat teguran terbuka kepada stesen radio berkenaan. Radio Hot FM, sila ambil perhatian..

TEGURAN TERBUKA BUAT RADIO HOT FM

Pagi 2 November lepas Radio Hot FM melalui AM Krew telah membawakan satu segmen perbincangan terbuka dari konti ke corong-corong radio segenap pelusuk negara. Segmen pagi kali ini menampilkan Dr. Shazril Shaharuddin, (Pegawai Perubatan yang terlibat mengendalikan bahagian sakit puan).

Namun didapati isu perbincangan tidak mendatangkan banyak manfaat dan tidak bersifat ilmiah apabila yang ditekankan di dalam segmen pagi ini adalah sekitar "ketampanan" paras rupa dan raut wajah si doktor serta respon balas pendengar radio melalui panggilan telefon yang tersasar dari ajaran Islam.

Justeru, saya sangat berharap agar HOT fm, DJ yg mengendalikan slot ini dan Dr. berkenaan supaya mengambil pengajaran dari pesanan-pesanan ini:

1. Hati-hati dalam Bicara

Islam ialah ad-deen, sebagai cara dan panduan hidup perlu dijulang dalam setiap tingkah laku dan amal kerja seharian terutamanya bagi seorang Muslim. Antara yang dititik-beratkan di dalam agama ini adalah butir kalimah ketika tutur kata.


Tutur kata melambangkan peribadi seseorang. Lantas, haruslah dijauhi dari membicarakan perkara-perkara yang sensitif dan negativ lebih-lebih lagi berkenaan maruah wanita dan Agama Islam ini.

Isu perbincangan dalam slot ini seakan-akan melupakan aspek hukum-hakam dalam agama dan dikhuatiri ianya bakal mengundang petaka. Bimbang-bimbang yang jahil akan terus merasakan perbuatannya betul.

Pentingnya menjaga tutur kata, tidak mengungkapkan hal buruk, menyakiti hati sesama muslim dan manusia, meringan-ringankan hukum agama kerana bertutur tanpa berfikir kesannya akan membawa kepada permusuhan dan kekacauan dalam masyarakat.

Perbincangan yang sudah terbabas dari landasan ilmiah ini dikhuatiri mendatangkan silap faham terhadap hukum-hakam berkaitan wanita dan perbidanan.

2. Islam mengangkat Maruah Wanita

Islam adalah agama yang sempurna telah mengangkat martabat dan memelihara maruah wanita serta menjaga penganutnya dari terjerumus ke lembah kehinaan. Cukuplah Surah An-Nisa sebagai satu bukti Islam memuliakan wanita.

Namun reaksi penyampai radio dan pendengar wanita seperti mencampakkan semua kemuliaan tadi dan terjun ke lembah yang hina. Kebanyakan pemanggil umpama sudah tidak ada lagi adabnya sebagai seorang wanita. Atas alasan mahu menceriakan pagi tidak dapat menghalalkan cara kalian.

Saya teringat satu hadith Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu”(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari)

Ada yang sudah pasang niat mahu Dr. lelaki ini mengendalikan proses bersalinnya. Sedangkan di luar sana, ramai doktor Muslimah wanita sedang mempertahankan hak dan aurat wanita ketika bersalin. Bukankah menjaga aurat dari diperlihatkan kepada ajnabi itu sangat mulia di sisi Allah?

Ada yang menawarkan diri sebagai calon isteri nombor dua. Sedangkan mereka sudah bersuami. Na'uzubillah. Maka tundukkanlah pandangan kamu dan jagalah kemaluan kamu nescaya kamu mulia.

Allah berfirman dalam Surah An-Nur ayat 31:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنّ


Maksudnya:
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka;

3. Doktor Mukmin Idaman Ummah

Profession dalam bidang perubatan adalah profession yang mulia. Allah subhanahu wa taala telah menjadikan Nabi Isa alaihissalam sebagai seorang yang terkenal dalam menyembuhkan dan merawat penyakit. Inilah salah satu mukjizat Nabi Isa.

Umum mengetahui untuk menjadi seorang doktor seseorang perlu menjalani latihan dan menimba pengetahuan yang sangat luas, namun tidak cukup sekadar pengetahuan berkaitan perubatan dan kesihatan sahaja, seorang doktor Mukmin perlu mendalami ilmu agama dalam bidang perubatan.

Seorang doktor Mukmin sentiasa meletakkan hukum Allah mengatasi segala urusan dan keputusan. Mereka juga sentiasa membimbing pesakit bersama-sama mendekati Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Agar hasilnya sama-sama beroleh peningkatan Iman dan dilimpahi keberkatan dalam kehidupan.

Justeru, sepatutnya Dr. Shazril menceritakan prosedur yang diamalkan secara profesional bagi pengendalian kes perbidanan ini ketika dilontarkan soalan dan harapan oleh pendengar melalui panggilan ke konti Hot FM. Hal ini kerana persoalan ini berkait rapat dengan aurat pesakit yang pada hukum asal melihat aurat bukan mahram adalah haram sama sekali.

4. Seruan kepada Hot FM

Dalam keadaan masyarakat hari ini yang amat memerlukan bimbingan untuk kembali kepada asas kehidupan berteraskan Al-Quran dan sunnah, kewujudan rancangan dan segmen di radio harus diberi penelitian dari pelbagai aspek agar maklumat yang disebarkan adalah benar dan tepat serta memberi manfaat kepada pendengar bagi menambahbaik kehidupan bukan sekadar menjadikan pendengar terawang-awangan dengan gosip dan buah mulut yang tidak ada kesudahan.

Tuntasnya, diharapkan Hot FM, AM krew dan semua syarikat penyiaran yang berunsur hiburan semata-mata dapat menjadikan teguran ini sebagai iktibar dan pengajaran.

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”. (Al-Ahzab: 21)

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan memberikan taufik dan hiadayahNYA kepada kita.

Akhukum fillah

Hafez Sabri 
Pengerusi Lujnah Dakwah Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak
(IH)

1 comment:

Anonymous said...


Adakah negara kita tidak mempunyai doktor wanita di Department Sakit Puan untuk membantu wanita bersalin sehinggakan wanita-wanita jahil tanpa merasa malu dan segan menempah doktor lelaki untuk melihat dan menyeluk kemaluan mereka? Adakah perempuan-prempuan ini dan suami mereka tidak pernah belajar agama Islam sehinggakan mereka tidak mengetahui aurat dan maruah wanita dan batas-batas aurat wanita?

Adakah darurat telah berlaku sehinggakan maka hukum tentang aurat wanita itu terangkat mengikut satu Kaedah Fiqh “ad-Dharurah Tubihu al-Mahzurat” atau ‘Darurat Mengharuskan yang Terlarang’?

Bacalah perintah Allah:

" Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."(An-Nuur:30-31)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails