KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia hanya kerana mahu memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Katanya, beliau tidak melihat kedatangan Obama itu dapat membawa sebarang perubahan lain kepada negara.
"Saya tak rasa ia (kedatangan Obama) akan mengubah apa-apa.
"Paling penting bagi dia (Obama), nak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak 'sign' TPPA," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku "Assalamualaikum" yang ditulis bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, Jumaat.
Dr Mahathir bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu apa yang akan berlaku selepas TPPA ditandatangani.
"Lepas tu tak tau apa jadi," jawabnya ringkas.
Dr Mahathir ditanya pandangannya sama ada kunjungan pemimpin negara kuasa besar dunia itu dapat membawa perubahan kepada negara.
Obama tiba di Malaysia petang Jumaat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-27 di ibu negara.
Ini adalah lawatan kali kedua Obama ke Malaysia dalam tempoh kurang dua tahun selepas lawatan bersejarah Presiden AS ke-44 itu pada April tahun lalu.
Kali terakhir lawatan Presiden AS ke Malaysia adalah pada 1966 di mana Presiden Lyndon Johnson ketika itu berusaha meraih sokongan serantau dalam kempen AS dalam perang Vietnam. (IH)
No comments:
Post a Comment