Sunday, November 08, 2015

Melayu Terakhir Di Singapura, Hasil Perjuangan UMNO.

HARI ini, Malaysiakini melaporkan kisah bangsa Melayu terakhir di pulau-pulau Singapura. Inilah hasil dari perjuangan UMNO yang diberi amanah oleh rakyat Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya, untuk menjaga bumi dan bangsa Melayu. 
Pilihan raya pertama 1955, UMNO/Perikatan memperolehi 51 dari 52 kerusi parlimen, rakyat memberi mandat kepada UMNO untuk menjaga bangsa Melayu termasuk yang tinggal di Singapura. Tetapi sehingga kini bukan sahaja bangsa Melayu Singapura terabai, tetapi UMNO sendiri pun sudah lenyap dari pulau tersebut.
Bangsa Melayu Terakhir Di Singapura..
Sebanyak 63 pulau di selatan Singapura sebelum ini menempatkan kira-kira 10,000 orang penduduk asal orang Melayu yang mendirikan kampung, bercucuk tanam dan menjadi nelayan.
Kini segalanya hanya tinggal kenangan. Kebanyakannya ditebus guna untuk kegunaan industri petroleum, ketenteraan dan pelancongan.
Jurugambar, Zainal Zakaria berkata beliau bersama rakan-rakannya berjaya menjejak lebih 100 orang penduduk berkenaan untuk projek rakaman dokumentari Island Nation.
Jurugambar bersekutu untuk agensi kreatif Captured itu menjelaskan, pada pertengahan 1990-an, masyarakat Melayu di kepulauan tersebut ditempatkan semula di pulau besar Singapura.
Jelasnya, ada kalangan warga ini menganggap rumah pangsa yang diperolehi sebagai pampasan itu tidak lebih dari sebuah penjara.
Katanya, mereka terpaksa menjalankan projek dokumentari tersebut secara tergesa-gesa kerana bimbang tidak dapat merakam sejarah lisan daripada warga tersebut.
"Salah seorang daripada penduduk asal yang ditemubual oleh mereka meninggal dunia sebelum projek tersebut dapat disiapkan," kata Zainal.
Masih ke laut menahan bubu
Tambahnya, ada individu yang hanya mampu menangis hiba apabila terkenang pada perahu, karang laut dan ikan yang menjadi punca rezeki.
“Apabila kerajaan menawarkan pampasan ke atas tanah, ada yang OK kerana anak mereka tidak lagi perlu bangun seawal jam 5 pagi untuk menaiki bot selama satu jam ke sekolah.
“Yang lainnya berasakan bahawa syurga mereka sudah tiada. Cara hidup ibu bapa dan nenek mereka yang tidak memerlukan sebarang wang sudah tiada lagi,” kata Zainal, 30.
Dokumentari berkenaan antara lain merakam kehidupan Mohamed Sulih Supian, satu-satunya penduduk yang masih tinggal di Pulau Sekijang Bendera, yang juga dikenali dengan nama St John's Island.
Sulih akan menaiki bot ke pulau besar Singapura sekali seminggu untuk sembahyang Jumaat dengan tambang SG$18 untuk setiap perjalanan.
Siri dokumentari itu turut memaparkan kehidupan nelayan Pulau Seking dan Pulau Semakau yang masih turun ke laut untuk menahan bubu.
Projek ini merupakan salah satu daripada inisiatif Singapore Memory Project bawah National Library Board.
Projek berkenaan mempersembahkan kenangan negara republik itu sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-50.

Demikian diangkat dari Malaysiakini.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Konon kata Hang Tuah, pendekar Melayu tersohor, 'Takkan Melayu Hilang di dunia', apakah sekarang sudah hilang di dunia Singapura? 

Teringat diceritakan dalam kitab 'Sejarah Melayu' yang menjadi asas perjuangan UMNO... Disebutkan bagaimana Sang Nila Utama menjumpai seekor singa pulau Singapura yang dulunya dipanggil Temasik. Sejak itu Temasih dipanggil Singapura. 

Ada cerita tambahan yang lucu, bagaimana wujud perkataan 'singapura'? Kerana kehebatan Sang Nila Utama, singa yang terserempak beliau itu terkejut lari. Kata seorang India, "Itu sebab dipanggil Singapura, kerana 'Singa porrah!', ertinya singa itu sudah lari!!"

Kini, bukan lagi singa yang lari, tetapi Melayu yang lari, mungkin sudah bosan dengan dendangan tarian singa. Erti nama 'melayu' itu sendiri dalam bahasa Jawa bererti 'lari'. Bagaikan bunga yang 'melayu'.

Maka kembalilah kita kepada perjuangan Islam yang mendunia dan global, berpandukan Ai-Quran dan Hadis. Di situlah perjuangan dan percantuman umat sedunia, bukan perjuangan asobiah yang sempit di kalangan alam Melayu sahaja.. Mendifinasikan takrif 'Melayu' pun sudah berubah-rubah dengan realiti kemodenan hari ini.

Pemimpin-pemimpin PAS termasuk Allahyarham Tok Guru Nik Aziz pernah berkata, 'Kalau UMNO sanggup tukar perjuangannya dari Melayu kepada Islam, parti PAS sanggup tutup dan ahlinya baramai-ramai masuk UMNO.' United Malay National Organisation jadi United Muslim National Organisatian, yang masih tetap namanya UMNO. 

Hidup UMNO kalau berasaskan Islam!

Lihat juga : 

1 comment:

  1. Bagaiman dengan Melayu Pulau Pinang,Pas juga ada saham kerana termasuk dalam Pakatan Haram Di Malaysia.

    ReplyDelete