ADUN Ba'Kelalan Baru Bian kesal kerana keadaan jalan raya di Sarawak berada dalam keadaan usang dan boleh menimbulkan risiko terhadap nyawa dan kenderaan pengguna.
"Saya kerap ulang alik di Ba'Kelalan dan beberapa bulan-bulan kebelakangan ini saya dapati keadaan semakin teruk setiap kali aya melalui jalan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Keluhnya, jalan dari Long Semadoh ke Ba'Kelalan lazimnya memakan masa satu setengah jam, tetapi kini ia memerlukan masa tiga jam kerana jalan berlubang teruk.
"Tanpa ragu-ragu, ini adalah jalan paling teruk dan berlubang Sarawak. Saya lihat kerbau pun boleh berkubang dalam lubang berlumpur di jalan," katanya.
Menurut pemimpin PKR itu, keadaan yang sama dilaporkan di jalan Long Luping-Long Semadoh.
Beliau memberi amaran pengguna berdepan dengan risiko apabila menggunakan jalan-jalan berkenaan.
Selain itu, katanya, kenderaan kerap kali rosak akibat jalan yang berlubang dan perlu sentiasa dibaiki.
Oleh itu, katanya Jabatan Kerja Raya (JKR) bertanggungjawab bagi penyenggaraan jalan seharusnya mempunyai jadual tetap pembaikan jalan raya untuk mengelakkan keadaan sedemikian.
Dengan musim tengkujuh tidak lama lagi, Bian berharap JKR akan melakukan kerja-kerja penyenggaraan segera.
"Sudah beberapa dekad, penduduk pendalaman di Sarawak terpaksa bersabar dengan jalan yang tidak bermutu ini.
"Dalam usaha untuk menggalakkan aktiviti pertanian tempatan dan merangsang ekonomi luar bandar, infrastruktur seperti jalan adalah penting.
"Sampai bila kita akan dapat nikmati jalan yang rata dan tidak berlubang yang diambil mudah oleh mereka yang tinggal di semenanjung?" soalnya. (MK)
No comments:
Post a Comment