SHAH ALAM – Pas menegaskan parti Islam itu akan terus berperanan sebagai pembangkang dan tidak akan mengadakan sebarang kerjasama politik dengan Umno dan BN kerana tragedi pembunuhan beramai-ramai ahli dan pimpinannya dalam peristiwa Memali yang genap 30 tahun, hari ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tragedi malang itu menjadi titik tolak kepada parti Islam itu untuk konsisten tidak akan menyertai parti pemerintah kerana kes itu tidak diadili di mahkamah, malah keluarga mangsa tidak mendapat pembelaan.
“Peristiwa Memali ini tetap dikenang sebagai lambang kezaliman kerajaan Umno-BN ke atas pimpinan dan ahli-ahli Pas. Sejarah sedih ini tetap tidak akan dilupakan walaupun kerajaan pernah mengeluarkan arahan melarang majlis memperingati peristiwa sedih ini.
“Meskipun 30 tahun sudah berlalu, kezaliman Peristiwa Memali ini akan tetap dituntut di akhirat. Pemimpin yang terlibat dan pasukan tentera yang menjadi alat kepada tindakan zalim ini mesti diadili,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Tuan Ibrahim, hari ini tercatat dalam sejarah sebagai hari yang sangat menyayat hati 30 tahun lalu di Kampung Siong, Memali Baling Kedah.
Seramai 14 penduduk kampung terkorban mempertahankan Ibrahim Libya dalam peristiwa yang dikenali sebagai Peristiwa Memali.
“Hak mereka mesti dikembalikan. Pemimpin yang terlibat mesti dihadapkan ke mahkamah dunia sebelum mereka dihadap ke mahkamah ALLAH di akhirat.
“Sementara peluang masih terbuka, Pas berharap mereka yang terlibat bertaubat, memohon maaf kepada waris yang terlibat dan ganti rugi mesti dibayar,” katanya lagi. (SH)
1 comment:
Bolehkah TITM berkonsistan dengan kenyataannya ini jangan nanti Hj.Hadi akan akan buat kenyataan pula itu dulu sekarang sudah lain kita kena lihat keadaan najib dengan mahadhir dizaman mahadhir hudud disanggah lain halnya najib sokong hudud tapi tidak dibahaskan dalam dewan rakyat sebaliknya diarah menteri agama jelaskan kenapa dan sebabnya tidak diusulkan,itulah kelebihan dalam PAS pemimpin tertinggi tidak beristiqomah sesama sendiri.
Post a Comment