Thursday, December 10, 2015

Islam Tidak Tegah Serbuan Khalwat -ISMA

ULASAN Kefahaman nahi mungkar atau mencegah maksiat adalah perkara yang sangat asasi dalam jiwa seorang muslim. Ianya merupakan kewajipan yang jelas bahkan ianya turut menjadi kayu ukur kepada keimanan seseorang itu.
Cukuplah satu hadis yang biasa kita dengar ini menjadi dalil kepada kefardhuannya:
  • “Siapa yang melihat kemungkaran maka rubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka rubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman.” Riwayat Abu Sa'id Alkhudri
Mencegah maksiat bukan sekadar suruhan agama tetapi juga untuk memelihara maslahat umum masyarakat dalam sesebuah negara.
Maksiat akan memusnahkan sistem kemasyarakatan serta negara keseluruhannya, maka tindakan mencegah kemungkaran akan memelihara sistem dan kestabilan negara tersebut.
Maka, salah satu tugas utama pemerintah adalah mencegah kemungkaran atau alhisabah. Orang yang mewakili pemerintah dalam menjalankan tugas ini dipanggil almuhtasib.
Mereka bertanggungjawab memastikan masyarakat menjauhi perilaku maksiat. Mereka berperanan untuk mencegah kemungkaran apabila ianya jelas dilakukan.
Dalam masa yang sama, Islam juga melarang perbuatan tajassus iaitu mengintai atau mencari-cari akan kesalahan muslim yang lain. Perkara ini juga jelas disebut oleh syarak bahkan difahami oleh sahabat serta ulama selepasnya.

  • “Wahai orang-orang yang beriman. Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.” (Al-Hujrat: 12)
Asas kepada wujudnya larangan tajassus ini adalah kerana hubungan sesama muslim sepatutnya berdiri atas perasaan husnuzon (bersangka baik). Maka tindakan tajassus ini adalah satu lambang kepada perasaan suuzon (bersangka buruk) yang ditegah oleh syariat itu sendiri.
Gagal melihat sempadan
Jadi pada peringkat ini jelas bahawa mencegah kemungkaran adalah wajib, melakukan hisbah oleh pemerintah itu perlu dan dalam masa yang sama kefahaman larang tajassus itu benar wujud.
Cuma, yang menjadi masalah dalam perbincangan kita pada hari ini adalah kita gagal melihat garis sempadan antara tajassus dan nahi mungkar.
Gagal memahami persempadanan ini dengan betul menyebabkan akhirnya kita menuduh akan suatu tindakan nahi mungkar seperti serbuan khalwat dan lain-lain itu tajassus dan sebaliknya. Salah faham ini bukan sekadar berlaku dalam masyarakat umum tetapi di kalangan asatizah atau pemimpin masyarakat juga terjadi.
Lebih menyedihkan isu ini telah diambil peluang oleh golongan Islam liberal seperti SIS, G25 dan lain-lain lagi demi memastikan kerangka kefahaman nahi mungkar di vkalangan masyarakat khususnya umat Islam terus celaru.
Hakikatnya mereka bukan perjuangkan supaya tidak berlaku tajassus dalam hisbah, tetapi yang mereka mahukan adalah kebebasan melakukan maksiat.
Beza hisbah dan tajassus
Demi memperbetulkan kefahaman ini, saya gariskan tiga perkara berkaitan tajassus dan nahi mungkar bagi membina gambaran jelas berkenaan sempadan antara dua perkara ini.
Secara umum, nahi mungkar itu hendaklah berlaku terhadap maksiat yang benar-benar terjadi. Ini jelas seperti yang disebutkan dalam hadis di atas, iaitu tegahan mungkar itu berlaku apabila maksiat itu “dilihat”.
Ianya hendaklah sampai kepada peringkat yakin bahawa maksiat itu dilakukan bermaksud jika berada dalam keadaan syak, nahi mungkar tidak berlaku.
Inilah yang dimaksudkan daripada hadis Rasulullah SAW:

  • Dari Abi Barzah al-Aslami, beliau berkata Rasulullah bersabda: “Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya (tetapi) tidak masuk iman itu ke dalam hatinya. Janganlah mengumpat orang-orang Islam dan janganlah mencari-cari keaiban mereka, sesungguhnya sesiapa yang mencari-cari keaiban orang maka Allah akan mencari keaibannya, dan sesiapa yang dicari oleh Allah akan keaibannya maka Dia akan menyingkap keaibannya (hatta) di rumahnya sendiri.” (Riwayat Abu Daud; dinilai oleh al-Albani sebagai hasan sahih)
Namun dalam hal maksiat yang menjangkaui zon (hampir kepada yakin) ianya juga perlu ditegah. Keadaan ini berbeza dengan syak kerana syak adalah sangkaan semata-mata tanpa berdirinya sebarang asas. Dalam hal ini, ada tanda-tanda yang menunjukkan maksiat itu dilakukan.
Perkara ini juga selari dengan kefahaman mencegah kemungkaran yang hampir pasti berlaku jika perbuatan itu dilakukan.

  • Berkata imam Abi Muhammad At-Tamimi bahawa ini adalah kepercayaan Imam Ahmad rahimallah lalu berkata: Imam Ahmad berpendirian adalah tidak boleh kita mengintai kemungkaran yang dilakukan secara rahsia seperti mana tidak boleh kita membiarkan sesuatu kemungkaran itu apabila kita melihatnya kerana kita perlu bersangka baik sesama muslim, namun Imam Ahmad membezakan antara terdapatnya petanda kepada berlakunya kemaksiatan itu atau mencari-mencari keaiban orang lain (tajassus).
Sebab itulah Imam Ahmad pernah berkata: Kemaksiatan yang dilakukan secara tersembunyi hendaklah dibendung jika wujud padanya suara (petanda berlaku zina) atau bau (petanda minum arak)
Secara logik akalnya pun perkara ini mudah kita fahami, bayangkan jika seseorang itu ditemui bersama satu mayat dalam keadaan pada dirinya ada senjata tajam.
Sudah tentu kita akan jadikan individu itu suspek utama walaupun hakikatnya kita tidak nampak dia melakukan mungkar perbuatan bunuh itu ataupun tidak. Yang ada hanyalah tanda-tanda kepada perbuatan itu dilakukan olehnya. Adalah tidak logik untuk kita melepaskannya sekadar dengan hujah kita tidak nampak dia lakukan maksiat itu.
Tegahan mungkar yang dimaksudkan dalam situasi ini adalah dilakukan siasatan seperti soal siasat, bertanya saksi dan lain-lain hingga dapat membawa kepada yakin adakah maksiat itu telah dilakukan ataupun tidak.
Dalam hal berkaitan kehormatan bermaksud maksiat yang melibatkan zalim terhadap orang lain maka tajassus itu dibenarkan walaupun sekadar syak.
Ini juga antara perkara yang perlu kita fahami, larangan tajassus bukanlah bersifat mutlak tetapi mengikut keadaan atau situasi yang dibenarkan untuk dilakukan, iaitu apabila ianya berkaitan kezaliman orang lain.

  • Menurut ilmuan Islam, Ibnu Al-Majashun, kita hendaklah sentiasa mengawasi dan memerhatikan pencuri dan penyamun dan mereka boleh ditentang, diperangi dan dibuang negeri.
Pemerhatian ini tidak akan sempurna melainkan dengan tajassus (mengintip) serta mengikuti perkembangan mereka.
Menurut Imam Nawai, Imam al-Mawardi juga pernah menyebut bahawa tajassus dibenarkan ketika adanya kemungkinan berlakunya pencerobohan ke atas kehormatan seseorang.
Contohnya jika seseorang melaporkan bahawa ada lelaki berdua-duan bersama perempuan untuk lakukan zina, atau aduan seorang lelaki yang ingin bertindak membunuh dan lain-lain.
Salam situasi ini walaupun bukti yang ada adalah lemah, tajassus hendaklah dilakukan.
Ini juga kerana demi maslahat umum iaitu memastikan kezaliman itu tidak terjadi terhadap orang lain adalah lebih besar berbanding melihat maslahat peribadi. Perkara ini selari dengan kaedah fiqh yang menyebut dilakukan mudarat yang kecil demi menolak mudarat yang lebih besar.
Maka jelas bahawa ruang tajassus itu adalah pada sesuatu maksiat peribadi iaitu maksiat yang tidak menzalimi pihak lain dan yang dilakukan secara tersembunyi hingga tidak ada sebarang tanda dilakukan.
Maka, jika ini yang terjadi pihak al muhtasib tidak boleh melakukan nahi mungkar.
Serbuan khalwat bukan tajassus
Kembali kepada persoalan asal yang banyak dibicarakan oleh masyarakat – adakah serbuan khalwat itu satu bentuk tajassus? Jika kita lihat kepada amalannya secara undang-undangnya sendiri, serbuan khalwat itu berlaku apabila wujudnya aduan oleh mana-mana pihak berkaitan perbuatan tersebut.
Ianya bukanlah serbuan secara tiba-tiba tanpa sebarang maklumat dan bukannya atas syak semata-mata. Jelas menunjukkan ianya bukan tajassus.
Jika ianya suatu serbuan berdasarkan maklumat yang "tidak hampir kepada yakin" sekalipun, ianya tetap dibenarkan oleh Islam kerana khalwat bukanlah suatu bentuk maksiat peribadi.
Maksiat melibatkan pihak lain dan termasuk dalam bentuk tajassus yang dibenarkan oleh syarak seperti digariskan dalam hujah di atas.
Dari satu sudut lain, tindakan serbuan tersebut bukanlah kerana takut wujudnya maksiat lain dalam khalwat itu, tetapi kerana tindakan berdua-duaan dengan bukan muhrim itu sendiri adalah satu bentuk maksiat.
Sesungguhnya khalwat dengan muhrim itu sendiri adalah satu bentuk maksiat kerana ianya adalah satu perbuatan yang akan membawa kepada maksiat (zina). Perkara yang menghasilkan maksiat adalah satu maksiat.
Mengikut syarak, jika natijah sesuatu perbuatan adalah suatu dosa yang berat, maka wasilah (jalan) kepada dosa tersebut juga mestilah dibanteras. Ini dinamakan qawaid al-wasail.
Khalwat ini membawa kepada dosa yang besar iaitu zina, maka khalwat yang merupakan wasilah kepada zina tersebut mesti dibanteras.
Walaupun ia mengganggu sedikit maslahah yang lain, namun untuk menolak mudarat yang lebih besar, mudarat yang lebih kecil ini dibolehkan.
Kesimpulan
Di akhir ini dapat kita fahami bahawa serbuan khalwat yang dilakukan pegawai jabatan agama Islam pada pada hari ini bukanlah satu bentuk tajassus.
Ia adalah satu bentuk nahi mungkar demi memelihara syariat Islam dan kemaslahatan masyarakat itu sendiri. Ia adalah satu perbuatan yang syarie serta perlu diimani oleh semua muslim tanpa terkecuali.
Jika berlaku pelaksanaannya bermasalagm teguran dan penambahbaikan boleh dibuat. Namun undang-undang ini tidak harus dihapuskan dan kefahaman yang jelas ini tidak harus ditolak.
Kita juga perlu hati-hati dalam memahami konteks ayat al-Quran dan hadis kerana ditakuti kita akan meninggalkan suatu kewajipan yang sangat jelas dalam syarak lalu mengundang laknat Allah.
Tidak kiralah jika kita adalah pelaku maksiat atau sekadar berdiam diri melihat kemaksiatan yang dilakukan oleh orang lain.

  • "Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam.
  • "Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. (78) Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan.
  • "Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Al-Maidah 78-79).

MUHAMMAD FIRDAUS ZALANI pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS).

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails