Friday, December 11, 2015

Muhyiddin Tenggelam, Najib Menang Dalam Aura Ucapan Tegasnya.


CERITA politik ‘kedai kopi’ menerusi Facebook, portal berita dan blog propembangkang menjelang Perhimpunan Agung UMNO ini, dikatakan pada tanggal 10 Disember ialah hari terakhir Datuk Seri Najib Tun Razak. Benarkah? 
Kononnya Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal mengisi jawatan tertinggi parti umat Melayu Islam terbesar di dunia itu yang disokong teguh oleh lebih 3 juta ahli UMNO selain 27 juta rakyat Malaysia sendiri.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang digugurkan daripada jemaah Kabinet baru-baru ini khabarnya begitu bersemangat dilaporkan pengguna media sosial pro-Muhyiddin bakal ambil alih UMNO menerusi kem Team 5M.
Meskipun pemilihan jawatan parti dijangka sekitar 2018, pengumuman bersejarah itu konon akan diumumkan menerusi perjumpaan khas di dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampong Bharu, Kuala Lumpur pada 7 Disember.
Malang, kempen perang saraf kem Muhyiddin gagal, bukan kerana Najib pecat beliau daripada UMNO, sebaliknya salah seorang calon kononnya Team 5M itu dakwa beliau tidak terlibat dan terkejut namanya ada terselit sama.
Tindakan berani Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengaibkan Muhyiddin membuktikan ‘tembelang’ bekas Menteri Pendidikan itu cuba membina persepsi palsu konon sokongan hebat terhadap dirinya.

Lawaknya, Mohamed Khaled memang diketahui tiada ‘hubungan istimewa’ dengan Muhyiddin dan lebih parah apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir pun menafikan turut terbabit 24 jam kemudian.

Bayangkanlah apabila anak negarawan yang diketahui tidak mesra dengan Najib memalukan Muhyiddin, memang patutlah ahli Parlimen Pagoh itu ‘ghaib’ ketika acara penting Taklimat Presiden menjelang perhimpunan tersebut.

Kelakarnya netizen anti-Najib dan propembangkang tidak memainkan dua berita penafian itu, sebaliknya cuba perbesarkan konon ‘kejayaan’ perhimpunan bersama Muhyiddin di Kampong Bharu; yang sebenarnya sah gagal!

Dengan lebih kurang 1,000 orang sahaja, majoriti bukan ahli UMNO, hadirin pada malam itu dilihat terkial-kial ketika diminta pengacara menyanyikan lagu rasmi UMNO iaitu Bersatu Bersetia Berkhidmat dan Warisan.

Pengguna media sosial dan portal antikerajaan sebaliknya mengutamakan berita cabaran Muhyiddin agar Najib ‘berehat’ daripada jawatan, tetapi tidak pula melaporkan kegagalan beliau mengumumkan pelancaran Team 5M.

Walhal, itulah sebab utama ramai hadirin termasuk puluhan pemberita asing sanggup hadir ke dewan kelab Melayu tersebut untuk melihat karier Najib ‘berakhir’ dengan pengumuman paling ‘bersejarah’ oleh Muhyiddin.
pau1
Akibat aib tidak dijangka itu, Muhyiddin gagal muncul pada program taklimat Presiden UMNO dan gambar kerusi beliau di atas pentas ‘kosong’ tidak diusik Najib menjadi viral lagi sensasi menerusi laman maya ke seluruh dunia.

Anehnya, pada keesokan hari beliau boleh pula muncul secara mengejut sihat wal afiatdi sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyaksikan sementara sesi perbahasan sayap pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.

Ia cetus kekecohan tetapi yang tidak dilaporkan netizen pro-Muhyiddin selain propembangkang, situasi kelam-kabut itu disebabkan keterujaan jurugambar dan wartawan, bukan dek sambutan hangat ramai ahli UMNO pun.

Buktinya, menjelang perasmian perhimpunan itu oleh Najib pada pagi Khamis, portal propembangkang sendiri melaporkan suasana ‘hambar’ ahli UMNO menyambut Muhyiddin, bahkan ramai pula cuba ‘menjauhkan’ diri.

Kononnya, ramai ahli parti bakal berbaju warna biru sebagai tanda sokongan terhadap Muhyiddin, sebaliknya apa berlaku kurang 70 remaja belasan tahun diangkut dengan dua buah van sanggup berpakaian pelik itu di PWTC.

Walhal, sebelum itu dilaporkan penganjurnya telah mengedarkan lebih 1,000 baju-T khas warna biru bertulisan ‘Negaraku Tanah Tumpahnya Darahku’ bagi memalukan Najib sendiri dan menjerit ‘Hidup Tan Sri Muhyiddin!

Di manakah silapnya strategi Muhyiddin? Adakah kerana tersebar berita beliau ‘mengamuk’ pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam Rabu hingga mengeluarkan kata-kata kesat itu akhirnya memakan diri Muhyiddin?
Bertambah parah apabila Najib ketika berucap langsung dari ‘hati ke hati’ berjaya meminggirkan usaha Muhyiddin termasuk bertegas pantang menyerah kalah, hanya kerana permainan persepsi dakyah jahat parti pembangkang.

“Saya,… Najib Razak, mahukan terdiri dan terbangunnya sepasukan Wanita, Pemuda dan Puteri yang taat lagi setia,… BANTULAH SAYA… memacu Malaysia menuju puncak hingga ke mercunya.

“Biar mati berkalang tanah, perjuangan UMNO tidak akan dibiarkan musnah. Gantungkanlah azam dan semangat tinggi, setinggi bintang di langit, biarpun ada paling tadah, biar berkali-kali kita ditolak supaya rebah.

“Tidak akan ada yang berundur, tiada tunduk! Tidak berundur! Tidak tunduk!!!” tegas Najib berkobar-kobar di tengah-tengah lautan baju merah mewarnai Dewan Merdeka, PWTC sehingga berjaya menggegarkan sesiapa sahaja.

Pernyataan berani Najib yang tidak disangka itu disambut tepukan penuh bergemuruh seisi dewan itu, malah amat dinanti-nantikan oleh warga UMNO serta seluruh rakyat Malaysia dalam suasana penuh bersemangat tinggi.

Perwakilan dan tetamu di dalam Dewan Merdeka turut bangun memberi ‘standing ovation‘ atau tepukan gemuruh apabila Najib menegaskan beliau tidak akan sekali-kali menyerah kalah meskipun menerima tentangan hebat.

Untuk rekod, ketika semua hadirin serentak bingkas melakukan standing ovation, Muhyiddin pula dilihat ‘lambat’ berdiri seolah-olah tidak percaya itulah ucapan seorang pemimpin yang menerima sokongan padu ahli partinya.

Mungkin terkejut, Muhyiddin rupa-rupanya terlupa, Najib bukan sembarangan tokoh dan ucapan Presiden UMNO itu membuktikan, Perdana Menteri ini masih lagi ada aura yang zahir di sebalik cabaran bertubi-tubi diterimanya.
(IH/Mynewshub.cc/HAA)

Lihat juga..
E-Buku IH-105: 'Saya tidak akan turun!' -PM Najib Tegas.
E-Buku IH-105: 'Saya tidak akan turun!' -PM Najib Tegas.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails