Tuesday, December 29, 2015

P.Pinang: Penduduk Bimbang Projek Tambak Laut. -LOOI SUE-CHERN


Penduduk bimbang tentang fasa ke-2 projek itu STP2, yang sudah diluluskan projek 760 ekar pulau buatan manusia di hadapan Gurney Drive akan mengubah garis pantai, menyebabkan hakisan dan pemendapan serta memberi kesan pada aktiviti perikanan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 29 Disember, 2015. 
Penduduk bimbang tentang fasa ke-2 projek itu STP2, yang sudah diluluskan projek 760 ekar pulau buatan manusia di hadapan Gurney Drive akan mengubah garis pantai, menyebabkan hakisan dan pemendapan serta memberi kesan pada aktiviti perikanan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain.  

Kumpulan hijau berhak untuk bimbang mengenai projek penambakan tanah baharu di bahagian selatan Pulau Pinang ekoran pengalaman buruk yang dihadapi sebelum ini di sebelah utara negeri itu, walaupun kerajaan negeri cuba meredakan kebimbangan penduduk. 
 
Sebagai contoh, projek Seri Tanjung Pinang 1 (STP1) di pantai Tanjung Tokong menyebabkan pemendapan di sepanjang pantai Gurney Drive dan menjejaskan hasil tangkapan nelayan, kata Penasihat Malaysian Nature Society Pulau Pinang Datuk Dr Leong Yueh Kwong.

Kesan STP1 terhadap alam sekitar berlaku walaupun laporan penilaian awal pada kesan alam sekitar (EIA) menyatakan projek itu tidak akan memberi apa-apa kesan.

Sekarang, penduduk bimbang tentang fasa ke-2 projek itu STP2, yang sudah diluluskan projek 760 ekar pulau buatan manusia di hadapan Gurney Drive. "Saiz STP2 kira-kira 85% daripada saiz Pulau Jerejak. 
 
Terdapat kebimbangan projek itu akan mengubah garis pantai, menyebabkan hakisan dan pemendapan, dan memberi kesan pada aktiviti perikanan.

"Nelayan juga mengadu tangkapan mereka menurun selepas STP1.

"Terdapat banyak sebab punca kepada masalah itu, tetapi ia boleh menjadi sebahagian daripadanya disebabkan gangguan di persisiran pantai juga," katanya merujuk kepada penambakan 240 ekar STP1.

Satu kajian Jabatan Pengairan dan Saliran pada 2007 juga mengatakan pemendapan dan dataran lumpur disebabkan aktiviti penambakan.

Kebimbangan mereka berikutan cadangan kerajaan Pulau Pinang untuk mewujudkan pulau buatan manusia di luar pantai selatan pulau itu untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PTMP) bernilai RM27 bilion.

Projek penambakan tanah pulau A yang dicadangkan di selatan adalah untuk pengembangan masa depan zon perindustrian bebas dan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Pulau B akan
digunakan untuk perumahan dan pusat pentadbiran negeri.

Leong yang juga ahli ekologi, menggesa kerajaan negeri untuk memastikan pemantauan lebih baik projek pembangunan tersebut.

"Kita tidak menolak pembangunan termasuk penambakan tanah kerana menyedari keperluan untuk pembangunan dalam banyak perkara.

"Kita juga mahu pembangunan, tetapi ia mestilah berdasarkan pelan yang bersepadu mengawal ketumpatan, pengurusan lalu lintas dan infrastruktur yang diperlukan.

"Apa yang kita bimbang ialah kekurangan rancangan yang pasti, langkah-langkah kawalan dan perbincangan awam, dan juga kesan projek-projek baharu. Sebagai contoh, terdapat banyak projek besar daripada projek-projek infrastruktur yang berkaitan," katanya.

Katanya, dalam kes STP2, masih terdapat sedikit pemantauan daripada pihak berkuasa berkaitan.

"Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA) STP2  diluluskan dalam masa beberapa minggu selepas ia dikemukakan, ia merupakan tindakan yang agak pantas. Ramai yang tidak berpuas hati mengenainya.

"DEIA tidak menangani banyak isu, dan dikritik kumpulan-kumpulan seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Forum Pulau Pinang, yang mengkaji penilaian itu."

Pada Mac 2014, kumpulan Forum Pulau Pinang dan individu prihatin mengkaji semula DEIA STP2 yang mempersoalkan rasionalisasi projek itu.

Mereka juga mempersoalkan penemuan laporan mengenai kesan alam sekitar seperti pemendapan, hakisan dan kesan ke atas hidupan liar di pantai itu.

Kumpulan awam juga menimbulkan persoalan mengenai kesan sosial terhadap masyarakat nelayan dan lalu lintas, dan juga penekanan tentang keperluan pelan pengurusan alam sekitar, termasuk program pemantauan yang melibatkan pelbagai agensi. (IH/DR)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails