Friday, December 25, 2015

Selepas Brunei Dan Somalia, Israel Pula Digesa Haramkan Krismas.


Selain menggesa Krismas diharamkan di Israel, seorang pemimpin Yahudi melabelkan penganut Kristian ‘pontianak penghisap darah’ yang mesti diusir. — Foto Reuters

DOHA, 24 Dis ― Selepas Brunei dan Somalia mengharamkan Krismas, yang akan disambut esok, pemimpin gerakan politik kanan Yahudi turut menggesa perayaan itu diharamkan di Israel.

Pemimpin kumpulan Lahava, atau “api” dalam bahasa Ibrani, juga mendesak penganut Kristian dihalau keluar dari negara itu dengan melabelkan mereka “pontianak penghisap darah”.
Benzi Gopstein minggu lalu menulis di laman web golongan ortodoks Yahudi menyifatkan penganut Kristian yang “tidak suci” perlu meninggalkan rantau itu, lapor portal Al Jazeera hari ini.
“Tiada tempat bagi Krismas di tanah suci,” akhbar Israel memetik beliau sebagai berkata.
“Jangan benarkan kerja dakwah mereka bertapak. Mari halau pontianak itu keluar dari tanah suci kita sebelum mereka menghisap darah kita lagi.”

Pada Ogos lalu, Gopstein menyeru gereja Kristian di Israel dibakar. Lahava juga dituduh menghalang perkahwinan antara orang Arab dengan Yahudi.
Mengulas lanjut tulisannya itu, Gopstein memberitahu Al Jazeera bahawa kenyataannya disalah anggap.
Beliau hanya bermaksudkan kumpulan mubaligh Kristian sebagai “pontianak”, bukannya semua orang Kristian.
Selain Brunei yang mengumumkan untuk mengharamkan sambutan Krismas sejak hujung tahun lalu, kerajaan Somalia juga dilaporkan melarang sambutan perayaan itu demi menyelamatkan akidah Islam.
“Perayaan itu tidak kena-mengena dengan Islam,” lapor portal BBC semalam, memetik seorang pegawai kementerian hal-ehwal agama.
Pihak berkuasa keselamatan diarahkan untuk menyekat sebarang bentuk sambutan walau warga asing di negara itu masih bebas merayakannya di rumah masing-masing.
Seperti juga larangan di Brunei, Somalia dilaporkan mengharamkan hotel dan premis awam merayakan Krismas.
Di Brunei, orang Islam diharamkan sama sekali menyambut Krismas selaras dengan undang-undang syariah yang diperkenalkan di negara itu sejak April 2014.
Dalam laporan AFP semalam, orang Islam di negara itu dilarang menyambut Krismas, termasuk menghias atau mengenakan sebarang simbol perayaan tersebut, mulai tahun ini.
Mereka yang melanggar larangan tersebut boleh dihukum penjara sehingga lima tahun.
“Menggunakan simbol-simbol keagamaan [Kristian] seperti salib, menyalakan lilin, pokok Krismas dan menyanyikan lagu-lagu agama, menghantar kad ucapan … bertentangan dengan akidah Islam,” agensi berita itu memetik khutbah Jumaat seperti disiarkan dalam akhbar tempatan.
Bagaimanapun penganut agama lain boleh menyambut Krismas, asalkan tidak terbuka dan  tidak pula keterlaluan.
Premis-premis perniagaan diberikan amaran agar tidak menghias simbol-simbol Krismas dan pihak berkuasa juga meningkatkan rondaan untuk memastikan larangan itu dipatuhi. (malaymail online)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails