Prof Dr Mahmood Zuhdi (Sumber:mahmoodzuhdi.com)
BUKAN mengendap! Saksi kes zina dalam perundangan hudud perlu melihat
persetubuhan itu dengan jelas "seperti melihat benang memasuki lubang
jarum", dan bukannya menghendap.
Demikian kata Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid
dari Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM).
Justeru, katanya lagi, adalah agak mustahil untuk menghukum seseorang yang didakwa berzina.
"Malah, ketika zaman Rasulullah, hanya ada satu kes saja hukuman hudud dikenakan kepada penzina.
"Itu pun, beliau (pelaku) sendiri bertemu Rasulullah SAW dan mengaku perbuatannya.
"Tetapi Baginda SAW bertanyakan pelbagai soalan untuk memastikan
perbuatan itu benar-benar dilakukan dan memahami maksud perzinaan,"
jelas Dr Mahmood.
Mengapa?
Menurut
Dr Mahmood Zuhdi, hukuman yang digariskan dalam agama Islam itu bukan
sekadar menghukum, tetapi juga untuk mendisiplinkan pesalah.
"Perkara utama dalam agama adalah membimbing, sebaliknya perundangan menjadi langkah terakhir.
"Apabila seseorang sudah diberikan didikan, tetapi berbuat jahat, maka hendaklah dikenakan dengan hukuman berat.
"Tetapi untuk membolehkan hukuman berat itu dilaksanakan, ia memerlukan beban pembuktian yang ketat," katanya seperti dilapor
Berita Harian.
Dalam
temu bual itu, Dr Mahmood Zuhdi menjelaskan kekeliruan masyarakat
mengenai hukum hudud yang cuba dilaksanakan di Kelantan. Katanya, Islam
adalah agama yang mementingkan disiplin, berlainan dengan sistem Barat
yang hanya menekankan kebebasan.
"Apabila manusia terlalu bebas, mereka tidak mempunyai disiplin," katanya lagi.
Beliau mengambil contoh hukum hudud ke atas mereka yang melakukan zina,
yang memerlukan empat saksi yang mempunyai pegangan agama yang kukuh
dan jujur, seperti yang disebutkan di atas.
Mengulas, apakah Kelantan melaksanakan hukum
hudud, Dr Mahmood Zuhdi berkata Kerajaan Kelantan perlu banyak memberi
pemahaman kepada masyarakat tentang apa itu hudud terlebih dulu.
"Untuk mengemukakan perlu dengan cara bijak dan berhati-hati.
"Undang-undang itu sama seperti sastera kerana mahu mengutamakan
masyarakat. Perlu ada ijtihad baru yang mampu menyesuaikan dengan
konteks semasa.
"Sekarang ini, asas ada tetapi isunya penganjur perlu benar-benar menjiwai syariat Islam semasa," katanya.
Menurunya
juga, hukum hudud akan dikatakan kolot jika dilihat melalui kaca mata
Barat. Bahkan menurut weblog Ibnu Hasyim, golongan yang menentang hudud
di Malaysia adalah golongan yang kolot, tak kira samada dari parti
pemerintah atau parti pembangkang, orang mengaku Islam atau bukan Islam,
walaupun menteri di Jabatan perdana menteri sendiri. (IH)
Lihat sebelum ini..
Isu Hudud, 1 Hingga 3
E-Buku IH-88: Hudud, Perspektif Baru Atau Goncang PR?