Saturday, November 21, 2015

Raja Perlis Kesal Tv Siar Program Melalaikan. Ibnu Hasyim Sokong.

WEBLOG Ibnu Hasyim menyokong penuh titah Raja Perlis, seperti berita di bawah ini..
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melahirkan rasa kurang senang baginda mengenai program dan acara berunsurkan hiburan dan melalaikan yang lebih banyak disiarkan oleh televisyen berbanding program agama.
Baginda bertitah walaupun program-program dan kelas penghayatan Islam banyak disiarkan di televisyen dan masjid-masjid namun program hiburan yang keterlaluan lebih banyak disiarkan.
"Saya berharap jabatan dan agensi agama Islam, para pemimpin masyarakat dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan bersama-sama menggembleng tenaga dan usaha mengadakan lebih banyak program dan gerak kerja memperkasa akidah dan akhlak umat Islam negara ini.
"Penganjuran kelas tadabbur al-Quran dalam kumpulan kecil yang membincangkan pengajaran yang terkandung dalam al-Quran hendaklah dihidupkan untuk membuka minda umat Islam mengenai realiti kehidupan dengan mesej kalimah suci daripada Allah SWT," titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah merasmikan program 'Perkampungan Sunnah Sesi Kedua 2015' anjuran Jabatan Mufti Perlis dan Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Alwi di Kangar malam tadi.
Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Sumber Manusia Negeri, Khairi Hassan turut hadir.
Baginda merakamkan penghargaan kepada Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin kerana sering memberikan hujah dan pandangan berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah terhadap isu-isu yang membelenggu umat Islam.
"Khazanah ilmu dalam al-Quran sangat luas, tepat dan penuh dengan fakta-fakta saintifik tetapi al-Quran bukanlah buku teks atau buku rujukan yang menyenaraikan fakta-fakta sains dan sejarah semata-mata," titah baginda.
Azlan dalam ucapannya sebelum itu berharap program tersebut memberi kesempatan kepada orang ramai khususnya rakyat Perlis menambah ilmu sejajar dengan hasrat kerajaan negeri.
Perkampungan Sunnah kali kedua itu bertemakan 'Al-Quran Khazanah Pengetahuan' berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini.
Program pertama Mei lepas mendapat sambutan di luar dugaan.
Bernama

Komen Weblog Ibnu HasyimHiburan perlu dinikmati secara baik yang jauh daripada perbuatan cela. Ia adalah bentuk hiburan dinyatakan Rasulullah melalui sabdanya yang bermaksud: 
  • “Seorang yang berakal tidak selayaknya menghabiskan waktu kecuali untuk tiga perkara iaitu mencari bekalan akhirat, memperbaiki taraf hidup atau menikmati hiburan tidak diharamkan.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban). 
Sifat sentiasa ingin menikmati hiburan adalah kesalahan dan jika dibiarkan berterusan pasti dosa akan berganda. Benar sekali, hiburan memang dekat dengan masyarakat kita. Konsep hiburan dalam Islam adalah untuk mencapai ketenangan dan kepuasan. Dalam skop yang lebih luas, ia dapat memelihara diri serta berasa damai dengannya. 

Hiburan sebaiknya dibangunkan dalam acuan yang sederhana, objektif yang jelas, positif, terkawal dan mempunyai ciri bersifat mendidik tanpa melampaui batas. Ali RA mengibaratkan hiburan dalam hidup seseorang seperti garam dalam makanan; cukup dipergunakan sekadarnya saja. Apabila berlebihan, ia akan merosakkan. Tidak kiralah siapa kita, yang penting mampu mempamerkan dan membawa perubahan baik kepada agama Islam. 

Lebih bermakna, matlamat untuk membawa orang ramai menghayati dan mendekati ajaran Islam sebenar. Masyarakat perlu bijak memilih saluran yang betul dan tidak boleh menikmati hiburan yang membawa kemaksiatan. Penghasilan satu produk filem atau drama perlu bermutu sesuai dengan kehendak Islam. Sekiranya ia diamalkan, golongan berkenaan pasti mendapat ganjaran baik di sisi Allah SWT kelak. 

Apabila masyarakat terkesan dan membawa perubahan lebih baik dalam kehidupan mereka, maka industri ini mampu menjadi wadah perjuangan Islam yang murni. Begitu juga jika bercanggah dengan syariat Islam, ia membawa keburukan kepada masyarakat. 

Rasulullah bersabda yang bermaksud: 
  • “Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala itu dari pahala-pahala mereka; dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak menguranginya sedikit pun dosa itu dari dosa-dosa mereka”. (Hadis riwayat Muslim Abu Daud dan Tirmizi) 
Hiburan yang keterlaluan mampu menggugat kekuatan iman masyarakat terutama mereka yang lemah pegangan agama. 

Firman Allah yang bermaksud: 
  • “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan dan sia-sia dan hiburan yang melalaikan, dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik orang-orang yang bertakwa. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir?” (Surah al-An’am ayat 32) 
Keruntuhan akhlak remaja masa kini juga berkait rapat dengan hiburan melampau. Bagaimana caranya dengan kepelbagaian saluran hiburan mampu membina masyarakat? Karya seniman melalui bidang kesenian mesti mampu mengangkat kesedaran ke arah keharmonian cara hidup manusia yang bertamadun. 

Firman Allah yang bermaksud: 
  • “Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagiaanmu dari (kenikmatan) duniawi, dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan”. (Surah al-Qasas ayat 77) 
Justeru, menjadi cabaran dan tanggungjawab fardu kifayah golongan seniman melakukan kajian, penilaian dan kritikan terhadap hasil kerja mereka. Golongan artis yang menjadi ikutan remaja perlu sentiasa menjaga tingkah laku mereka sesuai dengan budaya masyarakat Timur, menjaga tatacara berpakaian supaya tidak nampak keterlaluan serta menjaga pertuturan dalam memperkatakan sesuatu perkara. 

Seharusnya hiburan tidak dicemari dengan hal diharamkan syariat. Ini kerana hiburan yang pada dasarnya diharuskan syarak berubah menjadi haram akibat ‘ternoda’ dengan perkara bertentangan nilai agama dan sosial. Faktor keruntuhan kebanyakan tamadun Islam pada zaman dahulu berpunca daripada masalah berkaitan hiburan yang melampau. Keruntuhan khalifah Abbasiyyah kerana mereka tidak pernah terlepas daripada gaya hidup hedonisme, suka berfoya-foya dan bermewah-mewahan. 

Sebagai pengajaran, apa saja bentuk hiburan dibawa perlu kepada mesej berguna yang bertujuan menyedarkan masyarakat. Elemen seperti memfitnah, mengaibkan individu, perlakuan maksiat, pemujaan serta permusuhan perlu dihindarkan. Konsep ‘mencari’ hiburan dalam memenuhi tuntutan nafsu perlu dielakkan. Kesan hiburan itu sendiri perlu kembali kepada Islam yang jelas membezakan perkara halal atau haram. 

Firman Allah yang bermaksud: 
  • “Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang jijik (keji, buruk).” (Surah al-A’raf, ayat 157) 
Kita perlu mewujudkan jaringan hiburan yang sesuai dan terpisah daripada pengaruh Barat. Hiburan yang diketengahkan Barat terlalu sarat dengan unsur lucah berlebihan, meminum arak, lelaki berimej samseng yang ternyata jauh tersasar daripada peradaban manusia. Produk mereka hasilkan adalah alat yang menyelinap secara halus dalam misi untuk menghanyutkan umat Islam. Jika tidak dikawal, amat mudah umat Islam terjerumus ke lembah kefasikan. 

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Jabatan Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fadhlan Mohd Othman berkata, hiburan dalam Islam adalah sebagai meraikan keadaan dan kelemahan manusia. 

“Islam memberi ruang kepada manusia untuk bergembira dan berhibur asalkan bertepatan dan mengikuti garis panduan yang didasari syariat. 
“Contohnya dalam bidang lakonan, ulama berbeza pendapat dengan menetapkan dua syarat iaitu membenarkan dengan syarat dan melarang sama sekali,” katanya. 

Beliau berkata, dalam lakonan tidak boleh memaparkan sama sekali watak syaitan, Firaun, Tuhan, haiwan, lelaki berwatak perempuan atau sebaliknya. 

“Semua perlu mengetahui bahawa tidak boleh melakonkan watak yang memperlekehkan Allah, ayat Allah dan syiar kehebatan Allah walaupun berhujah untuk mendidik orang ramai atau ia dilakukan secara gurauan. 
“Selain itu, jika ada babak yang perlu melakonkan watak orang sedang bersembahyang atau membaca al-Quran, ia perlu dilaksanakan dengan sempurna,” katanya. 

Fadhlan mencadangkan supaya di Malaysia diwujudkan badan syariah khas syarikat perfileman jika mahu menghasilkan produk yang berkualiti yang digariskan Islam. 

“Perlu ada panel syariah yang berperanan menerapkan nilai ilmu dan dakwah yang memurnikan akidah, ibadah dan akhlak,” katanya. 

Beliau berkata, tiba masanya industri seni di negara ini menggiatkan usaha Islamisasi supaya bidang itu dapat memberi sumbangan besar dalam usaha dakwah. 

“Ada saranan supaya golongan ulama perlu turut sama terbabit dalam bidang ini yang bertindak sebagai pencetus idea serta nasihat dalam memperbaiki kelemahan yang tidak sepatutnya berlaku. 
“Tidak hanya melemparkan kritikan tetapi golongan ulama perlu bersedia dengan idea murni mereka,” katanya. 

Sementara itu, aktivis sosial, Dr Muhaimin Sulam berkata, filem mempunyai nilai yang mampu menjana ekonomi sesebuah negara. 

“Filem mampu mengembangkan industri hiliran seperti fesyen dan komputer. Sebuah filem Islam tidak perlu kepada unsur dan perwatakan mesti memakai kopiah, berjanggut dan menggunakan simbol atau istilah Arab. 
“Yang penting, semua yang terkandung dalam skripnya perlu menyedarkan orang ramai mengenai kebenaran. Penggiat yang minat menghasilkan filem perlu daripada kalangan mereka yang mempunyai kepakaran yang mendalam terutama dalam penghasilan skrip,” katanya. 

Dengan itu Weblog Ibnu Hasyim menyokong penuh titah Raja Perlis, seperti berita di atas, sesuai dengan matlamat dakwah blog ini, bermoto..  'Sampaikan...walau 1 ayat'. 
Al-hamdulillah!

NOW Londeh Lagi: Dana Anak Yatim Biayai Tiket Ke Australia

Setelah Amerika Syarikat dan Perancis, NGO Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) hari ini mendedahkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) turut menganjurkan program di Australia.
Pengarah NOW, Akmal Nasir pada sidang media mendakwa program itu menelan perbelanjaan RM218,505 dan daripada jumlah itu lebih satu pertiga dana datang daripada Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN).
Beliau turut mendedahkan bahawa hampir satu pertiga daripada kos program itu adalah bagi membiayai beberapa peserta yang menaiki penerbangan kelas bisnes ke Australia.
Selain penerbangan kelas bisnes, kos program itu juga digunakan bagi membiayai penerbangan kelas ekonomi dan beberapa penerbangan lain ke Australia.
"Apakah rasional Yapeim terlibat dalam penganjuran program ke luar negara sebegini yang kosnya begitu mahal sedangkan hanya sebilangan kecil yang menerima manfaat?
"Apakah keperluan menaiki penerbangan kelas bisnes dan siapakah mereka yang menaiki penerbangan kelas bisnes?" soal Akmal pada sidang akhbarnya di Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, tambang penerbangan kelas bisnes yang berjumlah RM70,000 itu adalah perbelanjaan paling mahal.
Beliau turut mengemukakan salinan dokumen yang diterimanya mengenai perbelanjaan program "Promoting Islamis: Values In Multi Culture and Religion: Future and Challenges" yang diadakan di Brisbane, Sydney dan Melbourne pada 16 hingga 26 Apriil tahun lalu.
Agihan perbelanjaan
Menurut Akmal, jumlah peserta yang disasarkan adalah seramai 50 sehingga 70 orang yang dikatakan terdiri daripada pelajar Malaysia yang menuntut di Australia.
Akmal berkata mengikut dokumen anggaran perbelanjaan dan agihan mengikut agensi Program Kembara Santun 2014, terdapat empat agensi Yapeim yang terbabit untuk menjayakan program ini iaitu Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN), Yapeim, Institut Penyelidikan dan Perundingan Yapeim (INPUT) serta Ar-Rahnu.
Katanya, berdasarkan bukti-bukti dokumen tersebut, agihan perbelanjaan adalah seperti berikut:
(a) Pembiayaan melalui PEMANGKIN adalah RM73,800
(b) Pembiayaan melalui Yapeim adalah RM106,840
(c) Pembiayaan melalui INPUT adalah 25,215
(d) Pembiayaan melalui Ar-Rahnu adalah 12,650
Akmal menuntut pihak berkenaan menjawab benarkah agihan perbelanjaan seperti yang dinyatakan di atas.
Akmal juga mempertikaikan kenapakah pembiayaan melalui PEMANGKIN dan Yapeim adalah paling besar sedangkan agensi perniagaan Yapeim iaitu Ar-Rahnu hanya menampung sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan program di Australia?
PEMANGKIN tidak menanggung penerbangan kelas bisnes tetapi menanggung perbelanjaan kelas ekonomi sebanyak RM6,250 dan juga penerbangan lain yang jumlahnya RM9,560.
Fakir miskin
Akmal turut menuntut Lembaga Pemegang Amanah Yapeim dan menteri berkenaan iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom supaya tampil menjawab soalan-soalan yang dikemukakan.
"Jika terdapat lebihan pendapatan sekalipun, wang tersebut haruslah disampaikan kepada mereka yang memerlukan seperti anak yatim, fakir dan miskin mengikut konsep amal jariah,” katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Yapeim dan masih menunggu maklum balas daripada mereka.
Pada sidang akhbar itu, Akmal juga ditanya mengenai saman Jamil Khir terhadapnya, semalam kerana dakwaannya mengenai penyalahgunaan dana untuk anak yatim.
Akmal berkata beliau akan merujuk kepada peguamnya untuk tindakan selanjutnya.
"Saya hanya seorang pemberi maklumat, dia (Jamil Khir) ada hak untuk membawa perkara ini ke makhamah tetapi pada masa yang sama dia harus menjawab pelbagai persoalan yang dibangkitkan," kata Akmal.
Semalam, Jamil Khir memfailkan writ saman menerusi Tetuan Adnan Sharida & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Jamil Khir berkata tindakan saman itu bertujuan membersihkan nama dan sebagai usaha menghentikan budaya memfitnah yang dilakukan sewenang-wenangnya.
NOW sebelum ini mendakwa Yapeim membelanjakan dana RM410,978 untuk menampung lawatan Jamir Khir ke Amerika Syarikat dan juga dana RM290,000 untuk membiayai dua kursus perkahwinan di Paris, Perancis. (MK)

Pas Kekal Dalam S'gor, Walau Pembangkang Di P.Pinang.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.


SHAH ALAM - Pas Selangor kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri itu, meskipun Pas pusat semalam mengisytiharkan parti Islam itu menjadi pembangkang di Pulau Pinang.

Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, anggota Exco Pas akan meneruskan tugas seperti biasa dalam pentadbiran Selangor bersama PKR dan DAP seperti yang diputuskan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

"Anggota Exco dan Adun Pas di Selangor tetap bersama Pakatan (Rakyat) dan tetap dalam kerajaan Selangor. MB Selangor juga telah putuskan perkara ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Khairuddin diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan semalam yang mengisytiharkan parti itu menjadi pembangkang di Pulau Pinang.

Ini berikutan tindakan kerajaan negeri itu memecat 300 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daripada kalangan anggota Pas di negeri berkenaan.

Tiga anggota exco Pas Selangor ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang merupakan Pesuruhjaya Pas Selangor (exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar); Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor (exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi); serta Zaidy Abdul Talib (exco Infrastruktur Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).  

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Shuhaimi Shafie menegaskan tidak berlaku sebarang perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri buat masa ini.

Beliau berkata Menteri Besar dan kesemua anggota Exco daripada PKR-Pas-DAP akan terus bekerjasama dalam memikul mandat yang telah diberikan rakyat Selangor.

Mohamed Azmin tidak dapat dihubungi kerana kini berada di luar negeri.
Pada 2 November lepas, Mohamed Azmin dilaporkan berkata, kerajaan negeri Selangor masih berpegang pada pendirian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa parti itu akan terus bersama Pas dan PKR untuk berkhidmat kepada rakyat di negeri ini. - Bernama

Mali: Penyerang Melaungkan Slogan Islam Kini 80 Dari 170 Tebusan Bebas.

REUTERS melaporkan penyerang melaungkan slogan Islam semasa serangan. Kini, pasukan keselamatan khas Mali berjaya membebaskan kira-kira 80 daripada 170 orang yang menjadi tebusan kumpulan militan di Hotel Radisson Blu, di Bamako.
Menurut televisyen tempatan negara itu. saksi mendakwa pasukan khas sedang berbalas tembakan dengan kumpulan militan tersebut ketika operasi menyelamatkan mangsa.
“Penyerang masih lagi didalam, kami boleh dengar bunyi tembakan dari masa ke semasa,” kata saksi itu di luar hotel Radisson Blu.
AFP sebelum ini melaporkan dua individu bersenjata dipercayai anggota kumpulan militan menawan 140 tetamu dan 30 pekerja di Hotel Radisson, Bamako.
Agensi berita itu yang memetik kenyataan media rangkaian Hotel Rezidor berkata, maklumat awal yang diterima adalah dua individu itu menjadikan 170 orang sebagai tebusan.
"Kumpulan Hotel Rezidor mengesahkan insiden tebusan itu berlaku di dalam hotel kami.
"Maklumat awal yang kami terima, dua individu mengepung 140 tetamu dan 30 pekerja hotel," menurut kenyataan itu.
Reuters pula melaporkan individu berkenaan melaungkan slogan Islam semasa serangan berkenaan.
Sebelum insiden tebusan itu, kejadian tembak-menembak berlaku di dalam Hotel Radisson Blu oleh kumpulan militan.
Tembakan bertali arus itu turut didengar di luar hotel 190 bilik berkenaan.
"Insiden tembak-menembak itu berlaku di tingkat tujuh hotel," kata sumber dari pasukan keselamatan.
Kejadian di negara bekas jajahan Perancis itu berlaku, kira-kira seminggu selepas kumpulan militan Negara Islam (IS) menyerang Paris dan menyebabkan 129 orang terbunuh. (IH)

Kedatangan Obama Hanya Mahu Najib Sign TPPA. Lepas Ni Tak Tahu Apa Jadi.. -Dr M.


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia hanya kerana mahu memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Katanya, beliau tidak melihat kedatangan Obama itu dapat membawa sebarang perubahan lain kepada negara.
"Saya tak rasa ia (kedatangan Obama) akan mengubah apa-apa.
"Paling penting bagi dia (Obama), nak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak 'sign' TPPA," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku "Assalamualaikum" yang ditulis bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, Jumaat.
Dr Mahathir bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu apa yang akan berlaku selepas TPPA ditandatangani.
"Lepas tu tak tau apa jadi," jawabnya ringkas.
Dr Mahathir ditanya pandangannya sama ada kunjungan pemimpin negara kuasa besar dunia itu dapat membawa perubahan kepada negara.
Obama tiba di Malaysia petang Jumaat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-27 di ibu negara.
Ini adalah lawatan kali kedua Obama ke Malaysia dalam tempoh kurang dua tahun selepas lawatan bersejarah Presiden AS ke-44 itu pada April tahun lalu.
Kali terakhir lawatan Presiden AS ke Malaysia adalah pada 1966 di mana Presiden Lyndon Johnson ketika itu berusaha meraih sokongan serantau dalam kempen AS dalam perang Vietnam. (IH)

Obama Akan Bangkitkan Ketelusan Dalam Tadbir Najib..

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berjanji untuk membangkitkan isu ketelusan dalam tadbir urus dalam perbincangannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Saya akan lakukannya. Saya perlu akui saya akan melakukannya juga tetapi sekarang saya sedang mendengar daripada anda, saya pasti akan lakukannya," kata Obama pada sesi Townhall bersama alumni Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) di Kampus Taylor's University Lakeside, di Subang Jaya, hari ini,
Kira-kira 500 peserta menghadiri acara tersebut.
"Amerika Syarikat perlu sedikit berhati-hati kerana kita adalah sebuah negara besar dengan banyak pengaruh dan ada pula yang mengatakan mereka tidak mahu kita campur tangan dalam urusan dalaman negara mereka," katanya ketika menjawab satu soalan daripada felo YSEALI.
Obama diminta mendesak Najib supaya lebih telus dengan institusi-institusi negara ini, khususnya berkaitan dengan SPRM, Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang terlibat dalam siasatan ke atas firma pelaburan negara 1MDB yang Najib turut terpalit.
Peserta juga mahukan Obama menangani isu "sistem keadilan Malaysia yang gagal" dan menimbulkan isu kekangan kebebasan bersuara dalam pertemuannya dengan Najib.
"Negara menjadi terbaik apabila rakyat mempunyai suara yang dihormati, di mana akhbar boleh melaporkan kepada apa yang berlaku dan apabila rakyat boleh berhimpun secara aman," kata Obama. (MK)

Artis Hebohkan Babak Cium Di Media Umum, Wajarkah?

HALAMAN HIBURAN
WAJARKAH pihak-pihak yang bertanggung jawab membina generasi muda Malaysia dalam pembangunan material dan spiritual, dunia serta akhirat membiarkan media-media perosak seperti ini berleluasa?
Siapa yang patut menjawab dan membimbing generasi muda Malaysia dari jatuh ke lembah kehancuran?
Contohnya, lihat berita untuk remaja hari ini..
Bila sebut filem arahan Osman Ali, pasti ada yang boleh menjangkakan filem tersebut bakal menyajikan babak-babak intim untuk memberi impak yang lebih romantis.
Buktinya, lihat sahajalah kontroversi yang melibatkan pelakon Izara Aisyah dan Remy Ishak yang dilihat berani melakonkan babak berpelukan dalam filem Pilot Cafe.
Namun, nampaknya nama aktres wanita itu kembali menjadi sebutan dek menimbulkan sensasi apabila dikatakan bercium di dalam filem Sinaran di bawah arahan pengarah tersebut.
Menjelaskan isu itu, Izara berkata, dia tidak berbuat seperti yang didakwa kerana babak ciuman itu sebenarnya adalah teknik kamera semata-mata.
“Saya tak cium dan tak kena pun, tetapi bunyi ciuman sahaja yang lebih. Biasalah dalam lakonan akan guna camera trick untuk menunjukkan perkara tersebut betul-betul berlaku,” katanya kepada Media Hiburan.
Bagaimanapun, Izara akui babak tersebut menimbulkan kerisauan kepada dirinya kerana bimbang akan ada maklum balas negatif daripada penonton.
Oleh itu, Izara berharap peminatnya tidak menghukum tanpa menonton terlebih dahulu filem berkenaan.
Dalam filem Sinaran, Izara dikatakan melakonkan babak bercium dengan Syarif (Sleeq).
Mari kita sama-sama fikirkan demi agama, kemanusiaan dan tanah air! (IH)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-87: Cara Fikir Salah Artis
E-Buku IH-87: Cara Fikir Salah Artis 

Friday, November 20, 2015

Kenapa Hanya 300? Pecatlah Semua 1083 – Pas P.Pinang


PETALING JAYA: Pas Pulau Pinang mencabar Ketua Menteri, Lim Guan Eng memecat kesemua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari Pas di negeri itu. 

Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah berkata, Pas sudah bersedia berdepan dengan tindakan itu malah mempertikaikan mengapa hanya 300 JKKK sahaja yang dipecat.


“Kenapa hanya 300 JKKK sahaja dimaklumkan sebagai dipecat, sedangkan rekod sebenar menunjukkan 1,083 ahli Pas negeri yang berkhidmat dan terlibat dengan JKKK. Kenapa 783 orang lagi dibiarkan,” katanya kepada FMT.

Jelas Husni lagi, pihaknya juga bersedia untuk mendedahkan rekod-rekod terperinci JKKK Pas di negeri itu.

“Di setengah tempat, semua JKKK itu adalah ahli-ahli Pas sama ada pengerusi, setiausaha juga seluruh ahli jawatankuasanya. Andai kata kerajaan negeri tiada rekod terperinci, maka saya bersedia mendedahkannya nanti,” katanya lagi.

Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang (BPPPP) , katanya, tetap berfungsi seperti sediakala dan akan terus menyumbang khidmat bakti kepada rakyat sepertimana Pas berfungsi sebelum berjaya menawan Pulau Pinang dari Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Secara ikhlasnya, kami tidak terkilan atau jatuh lemah dengan tindakan zalim Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang terhadap Pas.

“Seteruk-teruk Pas dizalimi kerajaan UMNO/BN ketika ditendang keluar dari Kerajaan Campuran 1973/1974, Pas tetap berupaya bangkit semula membina kekuatan sehingga keahlian Pas mencecah hampir 1.4 juta orang pada hari ini di seluruh negara,” jelasnya.

Selain itu, Yusni berkata, kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang perlu lebih telus dan berintegriti dalam mentadbir negeri.

“Kenyataan yang tidak benar seperti itu khususnya dari Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd Rashid Hasnon menyerlahkan sisi yang tidak baik dan tidak bertanggungjawab, jauh dari realiti sebenar yang sedang berlaku di Pulau Pinang,” katanya.


Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP memecat 300 ahli JKKK Pas dari Kawasan Parlimen Kepala Batas yang enggan menyokong Pakatan Harapan. (IH)

Najib Kukuh? 132 Dari 191 Bahagian Umno Sokong.

Daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara, 132 menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Menurut naib presiden Umno, kesimpulan itu dibuat berdasarkan resolusi setiap bahagian semasa mesyuarat agung masing-masing yang diadakan di antara 27 Julai dan 31 Ogos ini.
Hishammuddin, yang juga menerajui jawatankuasa resolusi Umno, berkata tiada satu pun bahagian yang menyatakan bahawa Najib perlu berundur, termasuk bahagian Sepang, di mana beberapa pemimpin akar umbi menggesa Perdana Menteri meletakkan jawatan, semalam.
"Saya yang menjaga jawatankuasa usul. Saya boleh sahkan, tiada usul menolak kepimpinan Najib dibawa ke perhimpuan agung bulan depan.
"Apa yang lebih penting adalah sama ada terdapat bahagian yang mengeluarkan resolusi tidak percaya terhadap kepimpinan Najib. Saya kata, tidak ada satu (pun)," katanya pada sidang media di lobi Parlimen
Walau bagaimanapun, Hishammuddin yang juga adalah menteri pertahanan tidak memberikan sebarang jawapan apabila ditanya mengenai pendirian baki 59 bahagian lain itu.
"Tidak ada keperluan bagi mereka untuk mengeluarkan resolusi untuk menyokong (Najib)," katanya.
Najib ketika ini berdepan dengan kontroversi dalam isu membabitkan syarikat pelaburan negara 1MDB yang sarat hutang dan ‘derma’ RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.
Beliau juga berdepan dengan bidasan pemimpin akar umbi yang lantang, terutama selepas beliau melakukan rombakan kabinet Julai lalu yang menyaksikan pengkritiknya, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal tersingkir.
Semalam, beberapa cawangan Umno dalam Bahagian Sepang mendesak supaya Najib meletak jawatan kerana hilang kepercayaan terhadapnya dan kredibilitinya yang dipersoalkan.
Selain itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sebelum ini penyokong kuatnya tetapi kini bertukar menjadi penentang utamanya, turut menggesa supaya Najib meletak jawatan. (MK)
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-105: 'Saya tidak akan turun!' -PM Najib Tegas.
E-Buku IH-105: 'Saya tidak akan turun!' -PM Najib Tegas.

Pusat Zakat Mesti 'turun padang' Cari Orang Miskin.

Tidak sempurna iman seseorang itu jika ia tidur dalam kekenyangan sedang jirannya  tidur dalam kelaparan

Sudah menjadi kewajipan kepada orang Islam untuk membayar zakat setiap tahun dan kebiasaannya mereka akan melunaskan tuntutan rukun Islam keempat itu dibuat melalui pusat pungutan zakat.
Namun kini, terdapat orang Islam yang memilih untuk membayar zakat terus kepada fakir miskin kerana tidak mahu ada ‘orang tengah’ yang mengendalikan termasuk mahu sumbangan mereka terus kepada golongan yang memerlukan.
Malaysiakini membuat tinjuan di ibukota untuk mendapatkan pandangan umat Islam mengenai perkara itu.
Antara respons yang diperolehi ialah ada yang berpandangan bahawa pusat pungutan zakat lambat bertindak dan tidak pro-aktif.
“Pernah bayar zakat terus kepada orang miskin kerana dia orang yang saya kenal. Rakan mahu minta kepada pusat zakat tapi pusat itu lambat bertindak," kata suri rumah Roslina Abdul Majid, 52.
“Orang zakat tidak datang tanya, patut pusat pungutan zakat ini sendiri mencari orang miskin dan memudahkan dalam memberikan sumbangan,” katanya.
NGO dan badan persendirian
Manakala Ahmad Sabri Idris, 34, pula berpendapat badan persendirian seperti NGO lebih mendekati golongan miskin berbanding pusat zakat.
Beliau yang membayar zakat melalui pusat zakat mahu pusat itu memainkan peranan dan tanggungjawab dengan lebih komprehensif agar golongan yang memerlukan, lebih terbela.
“Pusat zakat memang ada bantu orang miskin tapi saya lihat lebih banyak NGO turun padang sendiri untuk lihat orang miskin berbanding pusat zakat itu sendiri.
“Kalau lihat di Facebook pusat zakat ada beri maklum balas sekiranya ada yang bertanya tapi tidak cukup dengan itu, Pusat zakat harus bergerak lebih lagi untuk membantu golongan miskin,” katanya.
Teliti masalah fakir miskin
Bagi wanita yang mahu dikenali sebagai Anum pula berkata, beliau yang kehilangan ibu dan bapa menghadapi masalah dalam memohon sumbangan daripada pusat zakat untuk lima orang adiknya.
Katanya, pusat zakat tidak memberikan sumbangan dengan alasan dia bekerja.
Menceritakan perkara itu, beliau berkata, pada tahun 2000, gajinya dan suami hanya RM3,000 dikatakan tidak layak memohon zakat untuk lima adiknya kerana badan itu menganggap beliau mampu untuk menyara adik-adiknya.
“Gaji yang banyak itu tidak cukup untuk sara adik-adik saya memandangkan saya sudah ada anak dan mempunyai kereta serta rumah yang perlu dibayar.
“Masa itu bayangkan susah lah bila tidak dapat bantuan, perlukan bantuan sebab terdesak sehingga adik-adik perlu kerja di kedai makan semasa masih lagi belajar. Kalau dapat RM100 sebulan atau RM50 sebulan pun okey, sekurang-kurangnya dapat ringankan beban,” katanya.
Beliau itu turut meminta kepada pusat zakat memberi bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan meneliti permasalahan yang dihadapi oleh golongan miskin.
Perlu lebih pro aktif
Sementara itu, seorang mahasiswi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula menyarankan supaya cara pusat zakat bekerja mungkin harus diubah supaya dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.
"Dari segi organisasi, pusat zakat dilihat tidak pro-aktif. Harus lebih pro-aktif kerana kita negara Islam yang menjalankan kutipan zakat," katanya.
Manakala Yusoff Talib, 63, pula berkata pada tahun 1990 iaitu tahun pertama penubuhan pusat pungutan zakat, beliau membayar kepada badan tersebut namun, pada tahun kedua, beliau tidak lagi berbuat demikian.
“Tahun pertama bayar zakat, tapi tahun kedua pusat zakat mahu tahu butiran pendapatan, jumlah harta saya...
“Saya terkilan, jadi saya berhenti daripada bayar zakat melalui pusat zakat. Sampai sekarang saya serahkan zakat saya kepada fakir miskin sendiri," tegasnya.
Manakala bagi wanita yang mahu dikenali sebagai Julia pula berkata, beliau membayar zakat melalui pusat zakat namun secara peribadi sering berkunjung ke rumah anak yatim bagi menyalurkan sumbangan.
“Saya suka berjumpa dengan orang miskin kerana doa mereka lebih terus," katanya. (MK)

'Pengganas' Singapura Mahu Mohon Kerakyatan Indonesia..


SINGAPURA – Mohammad Hassan Saynudin, seorang pengganas terkenal dari Singapura yang ditahan di Indonesia berhasrat memohon kewarganegaraan Indonesia setelah selesai menjalani hukuman penjaranya.
Akhbar Singapura, The Straits Times melaporkan pada Rabu, Saynudin atau juga dikenali sebagai Fajar Taslim melalui peguam belanya menyatakan hasrat tinggal di Indonesia setelah hukuman penjaranya berakhir pada 2027.
Memandangkan undang-undang Indonesia pula memang tidak mengizinkan dwikewarganegaraan secara serentak dalam satu masa, maka banduan tersebut dijangka terpaksa perlu akur melepaskan kerakyatan Singapuranya.
Hassan merupakan salah seorang pengikut Mas Selamat Kastari, antara tokoh utama kelompok militan Jemaah Islamiyah (JI) yang diketahui mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas al-Qaeda dan terbaharu ialah IS.
hassan1
Dia telah dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah pada 2009 lalu setelah terbukti sebagai terlibat aktif dalam kegiatan terorisme termasuk berjaya membunuh seorang mubaligh Kristian terkenal di Indonesia sebelum itu.
Warga Singapura ini juga dikatakan mempersiapkan rancangan jahat untuk mengebom sebuah kafe popular di Bukittinggi, Sumatera Barat yang sering dikunjungi ramai pelancong Barat di bandar terkenal Minangkabau itu.
Hassan bagaimanapun berjaya ditahan polis di Palembang, ibu kota wilayah Sumatera Selatan bersama-sama dengan sembilan lagi rakannya yang lain di dalam sebuah rumah yang dipenuhi bahan peledak berkuasa tinggi.

Baca: IS Didakwa Seludup Pengganas Ke Indonesia

hassan2
Dia pada akhir perbicaraan enggan memohon rayuan terhadap hukumannya dengan alasan sistem perundangan Indonesia sebagai warisan sekular penjajah, malah tidak menunjukan reaksi penyesalan atas perbuatan kejamnya.
Jika dia kembali ke Singapura, pengganas berumur 42 ini hampir pasti akan langsung ditahan oleh pemerintah republik pulau kecil itu dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang jauh lebih tegas.
Di bawah undang-undang ‘ketat’ itu yang telah dimansuhkan di Malaysia baru-baru ini, seseorang dianggap berbahaya boleh ditahan oleh pihak berkuasa Singapura tanpa menjalani apa-apa proses perbicaraan mahkamah.
Badan Nasional Pencegahan Terorisme Indonesia mendakwa kumpulan militan IS menggunakan khidmat jaringan penyeludupan manusia serantau bagi membawa masuk ramai pengganas ke negara itu termasuk dari Malaysia.
– Agensi

Suspek Wanita Serangan Di Paris, Rumahnya Diserbu Polis..


Boulahcen (tengah) antara dalang utama serangan di Paris, Jumaat lalu.

PARIS: Polis Perancis menyerbu kediaman emak kepada keluarga suspek wanita yang dipercayai meletupkan dirinya ketika pihak berkuasa menjalankan operasi pemburuan besar-besaran, sepanjang minggu ini.
Dua terkorban dalam serbuan selama tujuh jam yang mensasarkan sebuah bangunan di Saint-Denis, pinggir Bandaraya Paris.
Serbuan itu dilakukan bagi memburu pejuang kumpulan militan Negara Islam (IS), Abdelhamid Abaaoud dan seorang wanita yang juga pengebom berani mati.
Sumber memberitahu wanita berusia 26 tahun yang dikenali sebagai Hasna Ait Boulahcen, iaitu sepupu kepada Abaaoud, menjadi dalang utama serangan di Paris, Jumaat lalu.
Dalam insiden itu seramai 129 dilaporkan terkorban.
Satu klip video dirakam oleh penduduk tempatan di kawasan itu dengan menunjukkan anggota polis menyerbu masuk sebuah bangunan di Saint Denis, pada pagi Rabu lalu.
Polis pada Khamis menyerbu rumah ibu kepada Boulahcen dan rumah abangnya.
Mereka dilaporkan mengenal pasti suara menerusi rakaman video itu.
"Fikirannya sudah dipengaruhi," kata ibunya yang mengakui Boulahcen berkelakuan pelik sejak enam bulan lalu.
Abang Boulahcen berkata, adik perempuannya itu berubah sikap dengan tiba-tiba dan berhijab sepenuhnya.
Seorang sumber lain berkata, serbuan polis itu diadakan di rumah enam suspek di sekitar Aulnay-sous-Bois, sebuah pekan di timur laut Paris, lokasi tempat tinggal Boulahcen sejak enam bulan lalu. (IH)
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-99: Bermula Perang Hina Agama Di Eropah..
E-Buku IH-99: Bermula Perang Hina Agama Di Eropah..

Peristiwa Memali, Titik Tolak PAS Tidak Konsisten Sertai Pemerintah. -Tuan Ibrahim Tuan Man.



SHAH ALAM – Pas menegaskan parti Islam itu akan terus berperanan sebagai pembangkang dan tidak akan mengadakan sebarang kerjasama politik dengan Umno dan BN kerana tragedi pembunuhan beramai-ramai ahli dan pimpinannya dalam peristiwa Memali yang genap 30 tahun, hari ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tragedi malang itu menjadi titik tolak kepada parti Islam itu untuk konsisten tidak akan menyertai parti pemerintah kerana kes itu tidak diadili di mahkamah, malah keluarga mangsa tidak mendapat pembelaan.

“Peristiwa Memali ini tetap dikenang sebagai lambang kezaliman kerajaan Umno-BN ke atas pimpinan dan ahli-ahli Pas. Sejarah sedih ini tetap tidak akan dilupakan walaupun kerajaan pernah mengeluarkan arahan melarang majlis memperingati peristiwa sedih ini.
“Meskipun 30 tahun sudah berlalu, kezaliman Peristiwa Memali ini akan tetap dituntut di akhirat. Pemimpin yang terlibat dan pasukan tentera yang menjadi alat kepada tindakan zalim ini mesti diadili,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, hari ini tercatat dalam sejarah sebagai hari yang sangat menyayat hati 30 tahun lalu di Kampung Siong, Memali Baling Kedah.
Seramai 14 penduduk kampung terkorban mempertahankan Ibrahim Libya dalam peristiwa yang dikenali sebagai Peristiwa Memali.

“Hak mereka mesti dikembalikan. Pemimpin yang terlibat mesti dihadapkan ke mahkamah dunia sebelum mereka dihadap ke mahkamah ALLAH di akhirat.
“Sementara peluang masih terbuka, Pas berharap mereka yang terlibat bertaubat, memohon maaf kepada waris yang terlibat dan ganti rugi mesti dibayar,” katanya lagi. (SH)