Hampir 1,000 orang berkumpul di perkarangan Bangunan Umno Negeri Kedah di Alor Stari malam ini sebagai tanda sokongan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Mereka berkumpul sejak pukul 8 malam, menunggu ketibaan Mukhriz di bangunan itu dikatakan untuk menghadiri mesyuarat Umno Bahagian Jerlun.
Sebaik sahaja Mukhriz yang juga ketua Umno bahagian itu tiba kira-kira pukul 9 malam, orang ramai melaungkan kata-kata sokongan terhadapnya.
Beliau sempat melambai-lambaikan tangan kepada mereka sebelum masuk ke bangunan itu.
Turut berada di perkarangan Bangunan Umno ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Shariff.
Terdahulu pada sebelah petang, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan hampir seluruh kepimpinan Umno Kedah menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.
Bashah membuat pengumuman itu selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan hampir kesemua Adun dan anggota Parlimen negeri ini daripada Umno, di Alor Star.
Turut hadir dalam pertemuan itu ketua-ketua sayap Pemuda, Puteri dan Wanita Umno negeri. – Bernama, 20 Januari, 2016.
No comments:
Post a Comment