Saturday, January 16, 2016

Hilang Kepercayaan Terhadap Kepimpinan, Gunting Kad Ahli DAP..


SEPANG – DAP Cawangan Pantai Sepang Putra hari ini mengumumkan keluar parti selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti tersebut berikutan status Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC) yang tidak diiktiraf oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Ketua Cawangannya, N. Muthusamy berkata, selain itu, DAP turut disifatkan sebagai sebuah parti yang mengamalkan politik perkauman dan mengabaikan kebajikan masyarakat India di kawasan tersebut.

Katanya, segala rayuan yang dibuat oleh cawangan tersebut dalam hal ehwal kebajikan masyarakat setempat tidak diendahkan oleh DAP Pusat serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Lai Nyuk Lan.

“Pemimpin-pemimpin DAP hanya mencari kita jika mereka mahukan sesuatu sahaja. Ketika pilihan raya umum, mereka akan menghubungi dan berjumpa kita, selepas menang, tiada lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebanyak 25 ahli cawangan tersebut selepas itu bertindak menggunting kad keahlian DAP mereka sebagai simbolik keluar parti dan seterusnya menghantar borang keahlian kepada Parti Alternatif Rakyat (PAP).

Yang turut hadir Setiausaha Agung PAP, David Dass.

ROS sebelum ini telah membuat penafian pernah mengiktiraf pemilihan CEC DAP sebagai sah.

Malah ROS turut mempersoalkan dakwaan yang dibuat oleh DAP itu dan tertanya-tanya bagaimana parti tersebut boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada mahkamah. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment