Thursday, January 14, 2016

Masjid Perancis Buat Rumah Terbuka Peringati Tragedi Berdarah

PARIS – Beratus-ratus masjid di serata Perancis mengadakan rumah terbuka hujung minggu lalu, menawarkan orang bukan Islam peluang untuk masuk ke rumah Allah sambil meminum teh serta berbual-bual tentang Islam.
Dipanggil sesi minum teh persaudaraan, ratusan masjid di bawah inisiatif itu menawarkan pengagihan minuman panas dan pastri, menawarkan lawatan berpandu, menganjurkan sesi perbahasan serta bengkel seni tulisan khat.
Malah ada juga yang menjemput orang ramai turut sama hadir semasa para jemaah menunaikan solat fardu bagi melihat sendiri keindahan ajaran Islam di sebalik persepsi buruk konon umat Muslim lebih sebagai pengganas.
Inisiatif anjuran oleh badan Islam utama negara Eropah itu, Majlis Agama Islam Perancis (CFCM) bertujuan untuk menggalakkan dialog mengenai Islam dan mewujudkan perpaduan negara lebih kukuh dalam kalangan rakyat.
Ia diadakan kebetulan genap setahun selepas tragedi berdarah 17 orang dibunuh dalam siri serangan maut di sekitar Paris yang menyasarkan pejabat majalah satira kontroversi Charlie Hebdo dan sebuah pasar raya Yahudi.
“Objektifnya untuk mewujudkan satu ruang selesa di mana semua rakyat Perancis dapat berkumpul dan bertemu dengan komuniti penganut Islam yang biasa,” kata Presiden CFCM, Anouar Kbibech kepada agensi berita AFP.
Katanya, sempena ulang tahun serangan berdarah dari 7 hingga 9 Januari itu, pihaknya ingin menarik perhatian tentang nilai sebenar Islam dan hakis salah tanggapan yang kaitkan Islam dengan keganasan dan pengganasan.
“Daripada terlalu fikir tentang kes tragik itu, kami rasa lebih berguna dan penting ‘rai semangat 11 Januari’,” kata Anouar lagi, merujuk tarikh tahun lalu apabila jutaan orang berarak menunjukkan semangat perpaduan nasional.
Susulan lebih banyak serangan pengganas pada November tahun lalu, yang membunuh 130 orang, Perancis mengisytiharkan keadaan darurat dan polis melakukan sekitar 20 serbuan terhadap masjid-masjid di negara itu.
Antara pengunjung di rumah terbuka termasuk warga emas, Jean-Francois, berusia 60-an tahun; melawat sebuah dewan solat kecil di Ajaccio, Corsica, yang pernah diserang pelampau Islamofobia pada hari perayaan Krismas lalu.
“Jika seseorang tidak dikenali sanggup menghulurkan tangannya, saya pasti menerimanya dan menjabatnya semula,” kata beliau tersenyum sambil meminum teh panas disediakan oleh pihak penganjur masjid kecil itu.

Baca: Perancis Mungkin Akan Tutup 160 Buah Masjid

Juga: Di Sebalik Nahas Bot Karam, Islam ‘Subur’ Di Itali

Lagi: Cerita Unik Masjid Moscow, Kedua Terbesar Eropah

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve, juga menyambut jemputan tersebut dengan mengunjungi sebuah masjid berhampiran bandar raya Paris, sambil memuji inisiatif program anjuran CFCM itu.
Perancis, katanya, memerlukan “penglibatan semua orang Islam di Perancis” tetapi, beliau memberi amaran, pihaknya akan bertindak tegas terhadap individu yang menggalak dan menyebarkan kebencian di masjid-masjid.
Meskipun bukan kesemua 2,500 buah masjid dan tempat ibadah Islam di Perancis menyertai inisiatif CFCM, namun sejumlah masjid yang dianggap sebagai penting mengambil bahagian aktif, termasuk Masjid Besar Paris.
Inisiatif tersebut dijalankan setahun setelah meningkatnya tindakan anti-Islam di Perancis sebagai balas dendam oleh kumpulan Islamofobia tertentu, yang sesetengahnya menyasarkan langsung bangunan masjid tempatan.
Jumlah insiden itu bagaimanapun jauh lebih rendah ekoran serangan berdarah pada November berbanding pasca serangan awal Januari tahun lalu apabila masyarakat Perancis mulai faham Islam tiada kaitan dengan pengganas.
Perancis terdiri daripada lebih 5 juta umat Islam, sekali gus paling ramai di benua Eropah; yang sering mengadu tentang diskriminasi agama, paling ketara dalam soal pengambilan pekerja baharu. – Agensi.

No comments:

Post a Comment