BEIRUT – Kumpulan Islamic State (IS) menyebarkan satu video kelmarin bagi menunjukkan sembilan anggota militan yang terlibat dalam serangan di Paris pada November lalu menyebabkan kematian 130 orang.
Video berkenaan turut menyampaikan kata-kata ancaman terhadap negara-negara ‘perikatan’ termasuk Britain yang menyerang kedudukan IS di Syria dan Iraq.
Laman web IS yang menyiarkan video bertajuk Bunuh di mana sahaja kamu temui mereka menunjukkan empat warga Belgium, tiga Perancis dan dua dari Iraq yang dikatakan bertanggungjawab ke atas serangan tersebut.
Video itu turut menunjukkan sembilan anggota IS terbabit melakukan kekejaman sebelum serangan di Paris, termasuk memancung kepala dan menembak mangsa yang dikatakan tebusan kumpulan tersebut.
Dalam rakaman tersebut, anggota militan terbabit yang bertutur dalam bahasa Perancis dan Arab menyatakan, ‘mesej mereka adalah kepada semua negara yang mengambil bahagian dalam perikatan (diketuai Amerika Syarikat)’ yang menentang IS di Syria dan Iraq sejak September 2014.
Rakaman itu juga memaparkan gambar Perdana Menteri Britain, David Cameron dengan kenyataan bahasa Inggeris: “Sesiapa yang berdiri bersama orang kafir akan menjadi sasaran pedang kami.”
Presiden Perancis, Francois Hollande menegaskan bahawa video itu tidak akan melemahkan semangat negara itu untuk menentang keganasan.
“Tiada apa yang boleh mematahkan semangat kami, tiada ancaman akan melemahkan Perancis dalam perjuangan menentang keganasan,” kata Hollande kepada wartawan di New Delhi ketika sesi lawatan rasmi beliau ke India.
Tidak dapat dipastikan kenapa IS menyiarkan video itu lebih dua bulan selepas serangan berdarah pada 13 November tersebut dengan anggota militan menggunakan senjata api dan jaket bom untuk melancarkan serangan terancang di bar, restoran dan sebuah dewan konsert di Paris.
Tujuh daripada penyerang mati ketika serangan, manakala dua lagi ketika serbuan polis tetapi jumlah sebenar tidak dapat dipastikan. – AFP
No comments:
Post a Comment