Tuesday, January 12, 2016

'Not Your Dad’s Land!!!' Cina Chew Jetty Lwn Guan Eng..



Sejak semalam, khabarnya baju T eksklusif yang ditujukan kepada Ke­tua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah dijual secara rasmi.

Baju dalam pelbagai warna itu coraknya sangat ringkas. Hanya gambar tangan yang seolah-olah menuding jari kepada orang yang melihatnya.

Tetapi walaupun dengan hanya corak begitu, baju T tersebut dikatakan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk negeri ini. Promosi yang dilakukan secara online sejak beberapa hari lalu juga bertukar menjadi perniagaan yang sangat menguntungkan.

Apa yang menjadikan baju itu sangat istimewa adalah perkataan Not Your Dad’s Land!!! yang dicetak padanya.

Perkataan yang jika dalam bahasa Melayunya berbunyi `Bukan Tanah Bapa Kamu’ itu sebenarnya agak kasar untuk ditujukan kepada sesiapa sekalipun. Tetapi bagi masyarakat Cina di kawasan Chew Jetty, itu adalah manifestasi rasa kecewa mereka terhadap tindakan Guan Eng yang seolah-olah mengajak bermusuh dengan mereka.

Pergeseran antara masyarakat Cina Chew Jetty dengan Guan Eng bermula selepas Kerajaan DAP Pulau Pinang merancang mengadakan Festival Kebudayaan dan Warisan di kawasan mereka pada hari kelapan sambutan Tahun Baharu Cina.

Tetapi pada hari sama, masyarakat Cina Chew Jetty menyambut perayaan besar dalam komuniti mereka iaitu Thni Kong She atau ulang tahun ke-109 Maharaja Jade.

Apabila perkara ini dibangkitkan kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang, jawapan yang diterima masyarakat Cina Chew Jetty bukan sahaja mengecewakan, malah sangat mengejutkan.

Guan Eng seperti dilaporkan akhbar Cina dan portal berita didakwa berkata: ‘Ini bukan tanah bapa kamu’ dalam reaksi terhadap permohonan masyarakat Cina Chew Jetty itu.

Jawapan sebegitu sangat tidak wajar dan menunjukkan seolah-olah Guan Eng langsung tidak mempedulikan suara hati penduduk berkenaan. Dalam kalangan masyarakat Cina, rata-ratanya mengetahui hubungan Kerajaan DAP Pulau Pinang dengan masyarakat Chew Jetty tidaklah ‘begitu mesra’.

Hubungan kedua-duanya semakin renggang selepas pemimpin masyarakat Cina Chew Jetty menjemput bekas Pengerusi MCA Penang, Datuk Chew Mei Fun dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow menghadiri perayaan sama tahun lalu.

Tetapi itu tidak bermakna Kerajaan DAP Pulau Pinang de­ngan sewenang-wenangnya me­­­­nge­tepikan kepentingan ma­syarakat Cina Chew Jetty sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata ‘ini bukan tanah bapa kamu’.

Sementelah Guan Eng sendiri sepatutnya lebih berhati-hati dan berasa malu sebelum mengeluarkan perkataan yang agak biadab serta angkuh sedemikian. Beliau perlu bertanya diri sendiri terlebih dahulu adakah tanah di Pulau Pinang ini juga hak milik mutlak kerajaan negeri?

Persoalan ini memandangkan banyak dasar dan polisi Kerajaan DAP Pulau Pinang ketika ini yang seolah-olah menjadikan kawasan tanah, laut dan bukit sebagai `padang permainan’ mereka untuk mengaut keuntungan.

Lihat sahaja dalam rancangan menambak laut di Permatang Damar Laut seluas lebih 1,600 hektar untuk dijual bagi mencari modal kepada kerajaan negeri. Adakah projek tambak laut itu mendapat persetujuan dan diperlukan penduduk atau semata-mata kerana kemahuan kerajaan negeri?

Begitu juga dengan penggondolan bukit dan penarahan kawasan lereng bukit untuk tujuan pembinaan perumahan mewah.

Jika kerajaan negeri tidak beranggapan seolah-olah kawasan bukit itu seperti tanah milik mereka sendiri, mengapa begitu banyak projek seperti itu diberi kelulusan?

Lebih malang, apa pula kepentingan projek sedemikian kepada penduduk miskin negeri ini yang terus kempunan untuk memiliki rumah sendiri?

Dari sudut lain, Guan Eng juga perlu mencermin diri sebelum tergamak mengungkapkan kata-kata ‘ini bukan tanah bapa kamu’ kepada masyarakat Cina Chew Jetty. Sebab beliau sendiri bukan anak jati negeri ini dan pemilihannya sebagai Ketua Menteri sering dipersoalkan bukan sahaja oleh penduduk, tetapi ahli-ahli DAP sendiri.

Maka tidak hairanlah baju T yang bertulis Not Your Dad’s Land dengan mudah mendapat sambutan daripada penduduk negeri ini apabila dipromosikan secara online buat pertama kali. Ini kerana isunya sekarang bukan hanya pergeseran antara Guan Eng dengan masyarakat Cina Chew Jetty semata-mata.

Tetapi luahan rasa kecewa majoriti penduduk Pulau Pinang terhadap Kerajaan DAP Pulau Pinang yang seolah-olah menjadikan tanah negeri ini seperti hak eksklusif mereka. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment