Sunday, February 07, 2016

DAP Pecah Lagi. Sim & Goh Digantung, Ini Rahsianya.

dap-melaka-coverPenggantungan keahlian DAP selama setahun terhadap Sim Tong Him dan Goh Leong San yang diumumkan oleh Setiausaha jawatankuasa tatatertib parti pusat, Tai Xing Piao semalam adalah salah usaha untuk menamatkan kemelut dalaman parti yang berlarutan sejak dari Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).
Sim, Ahli Parlimen Kota Melaka boleh disifatkan mentor DAP negeri, manakala Goh yang juga ADUN Duyong merupakan bekas Pengerusi DAP negeri.
Dalam bahasa ringkas Goh merupakan anak buah kepada Sim.
Ketika dihubungi NST, Sim berkata beliau tidak tahu menahu dirinya telah digantung keahlian parti kecuali selepas dihubungi media.
“Apabila saya memeriksa e-mel, saya melihat mesej daripada Setiausaha Jawatankuasa Disiplin Tai Xing Piao yang menyebut Goh dan saya telah digantung keahliannya selama tahun bermula hari ini (semalam),”katanya.
Sim melahirkan rasa kecewa dengan penggantungan itu yang disifatkan sebagai terlalu cepat kerana ia dilakukan hanya dua hari sebelum tahun Baru Cina.
“Kadang-kadang, kami tidak menghadapi halangan dari luar, tetapi dari dalam.
“Saya tidak akan merayu dan saya hanya akan membuat kenyataan rasmi apabila saya mendapat surat rasmi penggantungan saya,”katanya lagi.
Digantung sebab kritik parti
Tai, Setiausaha jawatankuasa tatatertib DAP dalam satu kenyataan berkata Sim dan Goh digantung keahlian mereka kerana berulangkali membuat kenyataan yang merosakkan reputasi parti.
“Sim dan Goh, sebagai pemimpin kanan parti, sepatutnya menunjukkan teladan yang baik, terutamanya pada masa rakyat perlu DAP untuk menyediakan kepimpinan.
“Tetapi bukan sahaja gagal berbuat demikian, mereka juga telah membuat tuduhan palsu terhadap kepimpinan parti di media dan di majlis-majlis awam,” kata Tai.
trio-dap melaka
Tindakan tatatertib dikenakan terhadap Sim dan Goh berpunca dari pertikaian undang-undang mereka dengan Pengerusi Cawangan DAP Bukit Palah, Dr Wong Fort Ping.
Tai berkata, selepas kedua-duanya kalah dalam pertikaian undang-undang terhadap Wong pada 15 September tahun lepas, Sim dan Goh telah mengkritik kepimpinan DAP pusat dan mendakwa kepimpinan tertinggi parti membalas dendam terhadap mereka.
Beliau berkata ekoran kejadian ini, Sim dan Goh membentuk kumpulan yang digelar ‘Justice League’ dan pada 1 November tahun tersebut, mengadakan majlis makan malam untuk mengumpul dana untuk bayaran guaman mereka, di mana seorang bekas ahli parti telah dijemput untuk berucap dan mengecam DAP.
“Dalam pendengaran tatatertib pada 18 Disember tahun lalu, mereka diminta untuk menjelaskan tindakan mereka tetapi kedua-duanya gagal memberi jawapan yang memuaskan,” katanya.
Penubuhan kumpulan anti Guan Eng itu pernah didedahkan dalam artikel bertajuk “Tunggu Saat Kejatuhan Dinasti Lim, Dr Boo Bentuk Pakatan Selatan”
Kes mahkamah Wong vs Sim dan Goh
Wong telah mengemukakan saman fitnah terhadap Sim dan Goh pada Mei 2014 kerana kedua-dua tokoh politik DAP Melaka itu menuduh beliau sebagai tidak bermoral.
Goh ketika itu Pengerusi DAP Melaka bersama mentornya, Sim telah menuduh Wong sebagai seorang doktor yang mempunyai naluri seks yang tidak normal, mencabul kehormatan pesakitnya dan juga menuduh adiknya terlibat dalam aktiviti haram.
Wong berkata, beliau telah membuat beberapa percubaan untuk menyelesaikan perkara itu secara baik di luar mahkamah, namun Sim dan Goh enggan bekerjasama dan mempertahankan kenyataan awal mereka kepada media.
Pada 17 September 2015, Mahkamah Sesyen Melaka memutuskan Sim dan Goh bersalah memfitnah Wong dan mereka diperintahkan membayar RM300,000 sebagai ganti rugi kepada Wong.
Sebab isu moral Wong dibangkitkan
Isu moral Wong dibangkitkan oleh kedua-dua orang kuat DAP Melaka itu disebabkan faktor kerusi DUN Kota Laksamana, Melaka yang dikosongkan oleh Betty Chew Gek Cheng pada PRU 13.
Betty Chew adalah isteri Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Setelah Betty Chew enggan mempertahankan jawatannya sebagai ADUN Kota Laksamana, Goh sebagai Pengerusi negeri enggan mencalonkan Wong sebagai ADUN di DUN itu.
betty-dap melaka
Sedangkan nama Wong dicalonkan oleh Betty Chew sendiri kerana Wong merupakan pembantu peribadi beliau yang menjaga DUN Kota Laksamana ketika beliau berulang alik dari Melaka ke Pulau Pinang dari tahun 2008 hingga 2013.
Marah dengan keenganan DAP Melaka pimpinan Goh menerima pencalonan Wong sebagai calon DUN Kota Laksamana, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencalonkan kroninya, Lai Kuen Ban sebagai calon pengganti.
dinasti lim
Sim tidak bersetuju dengan tindakan DAP pusat mencalonkan Lai sebagai ADUN Kota Laksamana kerana dia merupakan musuh politik lamanya.
Justeru itu pada PRU 13, Sim bertanding di Parlimen Kota Melaka atas tiket DAP dan bertanding di DUN Kota Laksamana sebagai calon bebas.
“Ia adalah pelik! poster Sim masih membawa lambang roket dan namanya dipaparkan dalam senarai penceramah bagi perhimpunan DAP.
“Pengerusi DAP Melaka, Goh menegaskan bahawa ia adalah keputusan jawatankuasa negeri supaya Sim bertanding kerusi DUN itu. Dalam ceramah itu, Goh meminta semua orang untuk menyokong Sim,”ulas Joceline Tan.
Guan Eng marah dengan tindakan Sim bertanding sebagai ADUN bebas Kota Laksamana itu dan menghantar bapanya, Lim Kit Siang berunding dengan tokoh politik veteran Melaka itu.
“Jika saya tahu yang Sim sebenarnya mahu bertanding di Kota Laksamana sebagai calon bebas saya tidak akan tandatangan watikah tersebut sebagai Setiausaha Agung dan melantik Sim menjadi calon DAP di kerusi Parlimen Kota Melaka.
“Sim juga begitu bongkak dalam ceramahnya di ibu pejabat DAP Melaka di Lorong Pandan semalam (20 April 2013) dengan slogannya untuk PRU kali ini iaitu Sim=DAP dan DAP=Sim.
“Saya memberi amaran kepada Sim bahawa tiada sesiapa yang lebih besar daripada parti. Saya sendiri pun, sebagai Setiausaha Agung DAP tidak pernah mengatakan bahawa Lim Guan Eng = DAP dan DAP = Lim Guan Eng.
“Malah sekarang Sim bukannya ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, badan tertinggi yang membuat keputusan parti.
“Kepentingan parti mesti sentiasa diletakkan mendahului kepentingan peribadi. Kesilapan besar bagi Sim ialah menyangkakan bahawa beliau adalah lebih besar daripada DAP,”kata Guan Eng dalam satu kenyataan.
sim-lim
Selepas berunding dengan Kit Siang, Sim menarik diri sebagai calon bebas Kota Laksamana pada 22 April 2013.
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar dilapor berkata calon yang memutuskan menarik diri selepas hari penamaan calon, kekal dianggap bertanding dan nama calon itu tetap dicetak pada kertas undi.
Sebab Betty Chew tidak mahu dicalonkan sebagai ADUN
Betty Chew mengalami suasana yang sukar sebagai ADUN Kota Laksamana dari tahun 2008 -2013 kerana beliau terpaksa berulang alik ke Pulau Pinang bagi menemani suaminya yang menjadi Ketua Menteri.
Dalam masa sama, Betty Chew sebagai ADUN Kota Laksamana terpaksa kembali semula ke Melaka untuk mengikuti persidangan DUN.
Pada tahun 2012, persidangan DUN Melaka menjadi panas apabila ADUN MCA Duyong, Datuk Gan Tian Loo bertanyakan soalan kepada Betty Chew sama ada mengenali seorang wanita bernama Ng Phaik Kheng.
lim2
Ng merupakan seorang kakitangan wnita di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang yang dikaitkan mempunyai skandal dengan Guan Eng.
Wanita yang dikaitkan mempunyai skandal dengan Guan Eng itu kemudiannya dipindahkan tempat kerja dari pejabat Ketua Menteri ke pejabat Warisan Dunia Pulau Pinang.
lim3
Gan menyoal Betty sama ada mengenali Ng sambil menunjukkan foto Guan Eng yang tertampal plaster di dahi.
Walaupun Betty mengelak daripada mengulas tuduhan itu, rakannya, Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) bangun mencabar Gan mengulangi soalan berkenaan di luar dewan sehingga berlaku cabar mencabar antara wakil DAP dengan penyokong kerajaan.
limTidak cukup dengan itu, keesokannya lima ADUN DAP termasuk Betty bertindak keluar dewan ketika persidangan baru bermula kerana membantah gambarnya disiarkan akhbar berhubung isu berkenaan.
Mereka turut mempertikaikan tindakan Speaker, Datuk Othman Mohamad membenarkan jurugambar mengambil gambar sewaktu berlaku kekecohan ketika Gan membangkitkan isu Ng.
Walaupun Guan Eng menafikan mempunyai hubungan sulit dengan Ng serta menolak dakwaan kononnya Betty pernah menyerang dirinya atau sesiapapun, namun cara DAP menangani isu itu lebih menimbulkan tanda tanya daripada meredakannya.
Apatah lagi, Guan Eng memilih pendekatan menyerang semula pimpinan MCA yang dikaitkan dengan skandal seks.
Krisis Lim vs Sim & Goh berlarutan selepas PRU 13
Walaupun Sim akur dengan kehendak Kit Siang menarik diri sebagai calon bebas di DUN Kota Laksamana, namun krisis kepimpinan DAP Melaka terus berlanjutan hingga parti berpecah kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan pro DAP pusat dan kumpulan pro DAP negeri pimpinan Goh.
Pada Oktober 2013, Goh telah meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang di DUN Melaka.
Goh meletak jawatan selepas dikritik oleh ADUN pro DAP pusat, Lai (Kota Laksamana) dan Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) kerana beliau memuji Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Keputusan Goh meletak jawatan atas alasan “terlalu banyak campurtangan DAP pusat”.
Tindakan Goh itu memberi kesan pada pemilihan DAP negeri pada 2015 kerana DAP berpecah kepada dua kumpulan.
Kumpulan pro Goh adalah Sim; Lim Jack Wong (Timbalan Pengerusi/ADUN Bachang,); Chin Choong Seong (Bendahari/ADUN Kesidang) dan Yeo Shen Li (Setiausaha).
Manakala kumpulan pro DAP pusat adalah Lai (ADUN Kota Laksamana), Khoo (ADUN Ayer Keroh) dan Tey Kok Kiew (ADUN Bandar Hilir).
Pada Disember 2015, ketika pemilihan DAP negeri diadakan kumpulan pro DAP pusat yang dketuai Tey memenangi lebih ramai daripada kumpulan Goh dalam 15 jawatan Ahli Jawatankuasa Negeri.
Tey dipilih sebagai Pengerusi DAP negeri yang baharu bagi menggantikan Goh.
Walaupun Goh, Sim dan beberapa sekutunya yang lain masih dipilih, namun mereka hanya dilantik AJK biasa sahaja.
Kesemua jawatan penting dalam kepimpinan negeri dibolot oleh kumpulan Tey. (AIDCNews) 

4 comments:

  1. Kalau yg ini sori lah nak tgk PAN salahkan TGLGE kerana di mata mereka beliau itu maksum..

    ReplyDelete
  2. Kalau yg ini sori lah nak tgk PAN salahkan TGLGE kerana di mata mereka beliau itu maksum..

    ReplyDelete
  3. Hari hari jadi penyambung lidah aidc nampaknya.. belum bersama lagi tapi dah sekepala nampaknya pak aji ih... declare le terang terang dah bersama umnu.. jgn jadi mumafik haraki.. cakap lain buat lain..

    ReplyDelete
  4. tak lama lg mgkin kita akn tengok pan plk brantakan krn kini dah ada bibit prpecahan.

    ReplyDelete