Sunday, February 07, 2016

Isu Kewangan Tabung Haji, Ini Sikap PAS

KUALA LUMPUR – PAS menerima penjelasan yang dibuat oleh Tabung Haji (TH) mengenai isu kewangan organisasi terpenting umat Islam Malaysia tersebut dengan baik.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tun Man berkata, penjelasan itu diperoleh PAS melalui satu pertemuan dan perbincangan yang diadakan dengan wakil TH semalam.


“Alhamdulillah, pertemuan dan perbincangan dua hala selama lebih dua jam itu sangat bermanafaat dan pihak PAS sungguh menghargai kesediaan TH menerima kunjungan kami dan memberi penjelasan kepada rombongan.
“Kunjungan oleh PAS Pusat berlangsung dengan baik. Menerajui budaya politik matang dan sejahtera, PAS hadir untuk mendapatkan maklumat langsung dari pihak TH,” katanya dalam satu kenyataan media.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli sebelum ini menuduh kononnya TH tidak lagi mampu bayar dividen dan bonus kepada para pencarumnya kerana berlaku penyelewengan dalam badan tersebut.

Tuan Ibrahim menjelaskan, PAS mengadakan pertemuan dengan TH kerana parti itu bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat sesuatu isu yang berkait rapat dengan kepentingan dan kebajikan umat Islam.
tabunghaj
Justeru, katanya. PAS berharap pihak TH dapat memberi penjelasan yang sama kepada orang ramai mengenai isu yang sengaja dibangkitkan oleh PKR tersebut berdasarkan maklumat yang benar dan tepat.

“Secara keseluruhannya penjelasan pihak TH telah kami dengar dengan teliti dan insya Allah kami harap TH dapat beri penjelasan yang baik kepada seluruh rakyat selepas ini bagi merungkai polemik dan isu yang menyelubungi,” katanya.

Beliau dalam nada yang menyindir Rafizi menyatakan harapan supaya TH selaku institusi terbesar dan terpenting bagi umat Islam Malaysia berusaha menangani perkara-perkara yang boleh merosakkan reputasi dan prestasi organisasi umat Islam tersebut.

Pada pertemuan semalam, PAS diwakili Tuan Ibrahim; Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan dan beberapa lagi pemimpin PAS.

Manakala, TH diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Pengarah Urusan, Tan Sri Ismee Haji Ismail dan beberapa pegawai kanan TH yang lain. – mynewhub.cc

No comments:

Post a Comment