KUALA LUMPUR- Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini membuat laporan polis terhadap anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli berhubung dakwaan kononnya TH memberi jaminan korporat kepada syarikat bersekutunya, TH Heavy Engineering Berhad (THHE).
TH dalam satu kenyataan hari ini berkata Rafizi yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut diminta menamakan bank yang memberi pinjaman kepada THHE seperti yang didakwa.
“TH amat kesal dengan penyebaran dokumen-dokumen melalui laman sosial secara rambang dan tuduhan tidak berasas serta berunsur fitnah.
“Dakwaan tersebut memberi impak negatif kepada TH dan akan menjejaskan kepentingan para pendepositnya, TH juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan secepat mungkin,” kata kenyataan itu.
TH berkata laporan polis itu dibuat sebagai langkah bagi menjaga kepentingan para pendeposit dan reputasi TH sebagai sebuah institusi Islam di Malaysia – BERNAMA
No comments:
Post a Comment